Monday, November 9, 2009

Pilis dan pitis





Oleh Muhammed Salehudin Aman

SEORANG pelajar telah bertanya kepada saya tentang maksud kata pilis. Tanyanya lagi; adakah perkataan ini variasi sebutan kata pilih? Maksudnya, kedua-dua kata itu boleh saling berganti untuk maksud yang sama. Teringat oleh saya akan seuntai bait lagu Melayu yang bunyinya lebih kurang:

Direnjis-renjis dipilis

Ditepungilah tawar

Hai beras kunyit ditabur

Disiram si air mawar.

Apakah maksud perkataan pilis? Ada dua maksud perkataan pilis ini. Pertama, pilis ialah ubat yang dipalit atau ditepekkan di dahi. Pada zaman dahulu, ada sejenis ubat yang dikenal sebagai ubat guna-guna atau ubat pengasih. Lazimnya, ubat ini dibuat daripada minyak. Jika seseorang itu berkehendak akan seseorang gadis supaya gadis itu jatuh kasih kepadanya, maka dicalitkan sedikit ubat guna-guna itu pada tubuh si gadis. Perbuatan “mencalit” ini disebut pilis atau palit.

Maksud pilis yang kedua pula ialah garis pangkah di dahi untuk tujuan menghindarkan sebarang penyakit. Dalam perubatan tradisi orang Melayu, apabila seseorang itu jatuh sakit, misalnya terkena sampuk orang halus, maka seketul kunyit hidup dikerat beberapa kerat; kemudian dibacakan jampi, lalu dengan kunyit itu, ditulis garis silang bentuk “X” di dahinya. Kadangkala, bukan sahaja pada dahi tetapi di bahagian lain tubuh pesakit seperti di kedua-dua tangan atau lengannya. Tujuannya sebagai tangkal penyakit.

Di sesetengah tempat, ubat pilis ini berwarna hitam yang juga dipalitkan atau dilekatkan di dahi dan di pelipis pesakit sakit kepala, atau wanita yang baru bersalin.

Pipis yang sebutan lengkapnya “berpipis” bermaksud sudah dilumatkan, atau sudah dihaluskan dengan batu giling/batu tumbuk. Perbuatan memipis itu dinamai juga “memipik”. Lazimnya, barang yang dipipis atau dipipik itu lada atau rempah. Bukankah dalam peribahasa Melayu terungkap kalimat “Burung terbang dipipiskan lada”? Maksud peribahasa ini bersiap sedia untuk meraih hasil yang belum diperoleh.

Pitis pula ialah sejenis mata wang yang digunakan pada zaman dahulu. Pitis ini dibuat daripada tembaga atau timah nipis yang berlubang bulat di tengahnya. Di negeri Kelantan dan di ranah Minangkabau, pitis disebut sebagai pitih.

Seperti halnya dengan kata pilis, kata pitis juga banyak terakam dalam peribahasa Melayu; antaranya termasuklah “Pitis habis, kemahuan tiba” (ertinya: Kemahuan datang setelah jatuh miskin). Jika dikatakan “Buang pitis” maksudnya perbuatan mempersembahkan wang kepada wali atau orang keramat untuk mendapatkan kepastian tentang sesuatu hal atau nasib seseorang.

Kata yang bersinonim dengan pitis ialah picis. Kata picis merupakan bahasa arkaik, yakni bahasa yang tidak ghalib digunakan lagi. Picis berupa wang yang bernilai sepuluh sen yang bersamaan dengan satu ketip. Jadi nilai sepuluh sen (pitis) ialah satu ketip.

Apabila kata picis diakhiri akhiran –an, maka terbitlah kata picisan. Picisan bermaksud sesuatu yang rendah mutunya. Lihatlah maksud picisan dalam ayat-ayat contoh yang berikut ini:

1. Mereka lebih suka membaca majalah picisan daripada majalah ilmiah.

2. “Sekarang, banyak benar roman picisan terjual di kios buku.” kata Ramli kepada Rahman.

Kata pisis pula berasal daripada bahasa Cina yang sama maksudnya dengan kata picis dan pitis, iaitu benda yang berkaitan dengan wang logam. Jadi, baik pitis, picis atau pisis maksudnya sama, iaitu kepingan wang logam yang digunakan pada zaman dahulu.

Satu lagi bentuk kata lain yang hampir sama bunyi sebutannya dengan kata pisis ialah pises. Pises ialah lambang yang kedua belas dalam zodiak bagi orang yang dilahirkan antara julat 21 Februari hingga 20 Mac.

Pinis ialah ringkasan daripada ejaan lengkap kata tempinis. Tempinis sejenis tumbuhan (kayu) yang keras batangnya dan tahan lama. Kayu tempinis disebut juga sebagai kepinis. Kayu tempinis ini banyak jenisnya, seperti tempinis hitam, tempinis merah, tempinis putih. Para pelajar harus berhati-hati apabila mengeja kata pinis ini. Jika kedua-dua huruf vokal dalam suku kata pertama dan suku kata kedua kata itu digantikan dengan huruf vokal e taling, terbentuklah ejaan penes. Penes ialah sejenis kapal yang saiznya kecil.

Demikianlah huraian tentang kata pilis (dan kata-kata lain yang hampir serupa bentuknya). Nyatalah bahawa kata pilis bukan bermaksud pilih; dan oleh itu pilis dan pilih tidak boleh saling berganti, kerana kedua-dua bentuk kata ini tidak bersinonim. Semoga huraian ini dapat menjawab soalan pelajar tadi.

Kata Sendi Nama Waktu

Oleh MUHAMMED SALLEHUDIN AMAN

PENGGUNAAN kata sendi nama waktu dalam konteks berbahasa, baik bahasa lisan mahu pun bahasa tulisan, masih kerap menimbulkan permasalahan yang sungguh menonjol. Dengan melihat kesalahan-kesalahan bahasa yang berkaitan dengan penggunaan kata sendi ini, dapat kita rumuskan seolah-olah pengguna bahasa tidak bijak memilih kata sendi nama yang sesuai untuk menyatakan sesuatu hal, khususnya hal yang bersabit dengan faktor waktu.

Pada sesetengah orang, kesalahan-kesalahan tersebut hanyalah permasalahan kecil sahaja, yang tidak pula menjadikan bahasa itu rancu. Anggapan begitu tidak harus dijadikan alasan untuk membiarkan bentuk bahasa yang sedemikian rupa. Ketidakprihatinan kita terhadap usaha membetulkannya akan mencetuskan bentuk bahasa yang tidak keruan kerana bahasa yang tidak menurut acuannya.

Tulisan pada kali ini berfokus pada kesalahan penggunaan beberapa kata sendi nama waktu bahasa Melayu.

Kata sendi nama dari, ke, pada, hingga, sejak (semenjak) digunakan di hadapan kata atau frasa nama yang menunjukkan waktu (masa). Selain itu, kata sendi dari, ke dan pada digunakan juga di hadapan kata nama yang menunjukkan tempat dan arah, seperti dalam frasa dari atas, dari Kajang, ke kedai, ke utara, ke sisi, pada Aiman,dan pada pipinya .

Kata sendi dari menjadi penanda frasa sendi nama yang menyatakan waktu. Hal ini ditunjukkan seperti dalam ayat yang berikut:

1. Mesyuarat itu berlangsung dari pukul 2.00 hingga 4.30 petang.

2. Penduduk kampung itu berkawal dari waktu Maghrib hingga waktu Subuh.

Kata sendi dari tidak boleh ditukar ganti dengan kata sendi nama daripada kerana kata sendi daripada tidak digunakan sebagai penanda waktu melainkan untuk menyatakan hal-hal seperti yang berikut:

(a) Punca bagi manusia, haiwan atau benda (daripada Ain, daripada Jabatan Perdana Menteri)

(b) asal kejadian dan sumber (daripada muntah lembu, daripada emas)

(c) unsur perbandingan atau perbezaan (lebih bijak daripada Sail)

(d) unsur pecahan atau bahagian (separuh daripada keseluruhannya)

(e) benda dan hal yang abstrak ( daripada pandangannya itu)

Oleh itu, ayat-ayat yang berikut ini tidaklah tepat penggunaan kata sendi nama daripada untuk waktu:

3. *Saya menunggu kamu daripada pukul 3.00 petang.

(seharusnya: ... dari pukul 3.00 petang)

4. *Syahmi tidur daripada pukul 8.00 pagi tadi.

(seharusnya: ...dari pukul 8.00 pagi tadi)

Kata sendi hingga digunakan di hadapan kata/frasa nama untuk membawa maksud perihal peringkat dan had masa, atau jarak waktu tentu. Tidak seperti kata sendi nama dari, kata hingga dapat bertukar ganti dengan kata sendi nama sampai yang juga menunjukkan konsep perhinggaan masa. Ayat contohnya:

5. (a) Mereka bergadang hingga dinihari.

(b) Mereka bergadang sampai dinihari.

6. (a) Pasukan ini mara hingga peringkat separuh akhir.

(b) Pasukan ini mara sampai peringkat separuh akhir.

Sebagai penanda jarak waktu tertentu, yakni merujuk lamanya tempoh dari detik permulaan sesuatu kejadian hingga detik penghabisan kejadian yang sama, kata sendi nama dari dan hingga atau sampai digunakan bersama. Contoh penggunaannya:

6. Petani gigih itu bekerja dari pukul 7.00 pagi hingga pukul 5.00 petang.

7. Tawaran barangan harga rendah itu bermula dari

1 November hingga 30 November 2009.

Oleh sebab kata sendi hingga dan sampai sedia mengandungi maksud titik penghabisan berlakunya sesuatu kejadian itu, maka kata sendi nama ke tidak perlu lagi mengikuti kata sendi nama hingga dan sampai itu. Ayat-ayat yang berikut ini tidak gramatis tatabahasanya:

8. (a) *Ayahnya keluar dari awal pagi hingga ke lewat malam.

(a) *Ayahnya keluar dari awal pagi sampai ke lewat malam.

Kata sendi nama sampai tetap juga menunjukkan titik penghabisan berlakunya sesuatu kejadian apabila digunakan tanpa berpasangan dengan kata sendi dari. Contohnya:

9. Pegawai itu bekerja sampai pukul 5.00 petang.

Selain digunakan untuk manusia, binatang, benda abstrak, dan benda konkrit tertentu, kata sendi nama pada digunakan juga untuk menunjukkan waktu. Hal ini ditunjukkan penggunaannya dalam ayat yang berikut:

10. Rombongan kebudayaan itu tiba pada pukul 10.00 lagi.

11. Kamus telapak itu ada pada Husna. (manusia)

12. Pada pendapat saya, rancangan itu baik. (abstrak)

13. Minyak angin itu disapukan pada kulitnya.

Harus diingat, kata sendi nama pada tidak boleh bersilih ganti dengan kata sendi di, kerana di digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Oleh itu, ayat-ayat contoh yang berikut ini salah tatabahasanya.

14. *Suasana di pagi hari raya sungguh meriah.

(seharusnya: pada pagi...)

15. *Di masa kemelesetan ekonomi ini, kita harus berhemat berbelanja.

(seharusnya: Pada masa ...)

Sebagai kata sendi nama, kata sejak/semenjak membawa maksud penanda waktu, yakni menyatakan makna bermula dari sesuatu masa tertentu, maka mestilah digunakan di hadapan kata nama dan frasa nama. Contoh penggunaannya:

16. Adib tinggal bersama-sama dengan bapa angkatnya sejak lima tahun yang lalu.

17. Semenjak kematian isterinya beberapa bulan ini, beliau kelihatan sugul sahaja.

Kata sendi nama yang menunjukkan waktu seterusnya ialah kata sendi ke. Contoh penggunaan kata tersebut dalam ayat adalah seperti yang berikut:

18. Pemeriksaan cukai jalan kenderaan akan diadakan dari

semasa ke semasa.

Dalam hal frasa sendi nama dari semasa ke semasa ini boleh sahaja disebut dari satu masa ke satu masa kerana awalan se itu membawa maksud satu. Salah pula jika kata bilangan satu atau se tidak digunakan pada kedua-dua kata nama itu sekali gus. Contoh-contoh kalimat yang salah:

19. *Pembangunan negara akan dilaksanakan dari masa ke semasa.

20. *Senarai daftar pengundi akan diperkemas dari semasa ke masa.

21. *Pemeriksaan kebersihan gerai-gerai makanan akan dilakukan oleh pihak Penguat Kuasa Perbandaran dari masa ke satu masa.

Penggunaan pasangan kata dari yang diikuti sendi nama ke tidak boleh digantikan dengan pasangan daripada dengan kepada seperti yang berikut:

22. *Pemeriksaan cukai jalan kenderaan akan diadakan daripada masa kepada semasa.

atau

23. *Daripada sehari kepada sebulan; daripada bulan kepada tahun usia kita akan bertambah.

Begitulah huraian tentang penggunaan kata sendi nama yang berkaitan atau yang menunjukkan waktu. Hakikat yang jelas ialah bahawa kata sendi nama waktu ini digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan hal waktu.

Aktif, aktiviti dan aktivisme






Oleh Muhammed Salehudin Aman

KATA adjektif aktif berasal daripada kata bahasa Inggeris active. Kata ini mendukung beberapa maksud, iaitu pertama, bertenaga dan giat (berkenaan orang, tubuh, otak). Yang kedua, bermakna pantas, deras atau cepat; dan yang ketiga ialah banyak menjalankan (sesuatu), atau terlibat dalam kegiatan-kegiatan. Ketiga-tiga maksud yang dinyatakan itu ditunjukkan dalam ayat-ayat contoh yang berikut:

1. Haris ialah murid Tahun Enam Bestari yang aktif.

2. Anggota Kadet Bomba itu bergerak dengan aktif sebaik-baik sahaja menerima arahan.

3. Aiman mengambil bahagian yang aktif dalam kegiatan kokurikulum di sekolahnya.

Dalam ketiga-tiga ayat contoh di atas, kata aktif dapat digantikan dengan kata cergas, kerana makna kata cergas dalam ketiga-tiga ayat tersebut sudah merangkumi makna active dalam bahasa Inggeris.

1. (a) Haris ialah murid Tahun Enam Bestari yang cergas.

2. (a) Anggota Kadet Bomba itu bergerak dengan cergas sebaik-

baik sahaja menerima arahan.

3. (a) Aiman mengambil bahagian yang cergas dalam kegiatan

kokurikulum di sekolahnya.

Penggunaan kata cergas dapat menunjukkan sifat kemelayuan ayat-ayat tersebut itu.

Kata aktif, yang digunakan dalam bidang ilmu linguistik, menunjukkan subjek ayat melakukan sesuatu terhadap objek. Maknanya, objek mengalami (menderita) oleh makna kata kerja aktif tersebut. Contohnya:

4. Hafiz memukul bulu tangkis dengan raketnya.

Dalam ayat 4, pelakunya, iaitu subjek ayat (Hafiz) melakukan perbuatan pukul terhadap objek ayat (bulu tangkis), dan objek menerima kata kerja aktif “memukul”. Oleh itu, ayat 4 itu dikatakan ayat aktif.

Dalam bidang ekonomi pula, khususnya yang berkaitan dengan pasaran saham, kata aktif juga kerap digunakan. Contohnya:

5. Warta Perdana menyiarkan berita tentang tujuh saham yang paling aktif apabila Bursa Saham ditutup.

Satu lagi makna kata aktif ialah giat. Perhatikan penggunaannya dalam ayat yang berikut:

6. Dato’Asyraf aktif dalam pergerakan politik. Atau

6. (a) Dato’Asyraf giat dalam pergerakan politik.

Daripada kata aktif, terbit bentuk kata aktiviti. Kata ini merupakan padanan daripada kata bahasa Inggeris activity.

7. Puan Rosmawati berminat dalam aktiviti sosial, sukan dan budaya.

Dalam bahasa Melayu, activity bermaksud kegiatan. Jadi, kata aktiviti dalam ayat 7 itu boleh digantikan dengan kegiatan.

Kata aktiviti digunakan juga dalam beberapa kata istilah khusus bidang tertentu, seperti dalam bidang pentadbiran, bidang sains, bidang linguistik, dan lain-lain. Misalnya, dalam bidang pentadbiran, perniagaan dan ekonomi ada istilah seperti akaun aktiviti (activity account), nisbah aktiviti (activity ratio) dan persampelan aktiviti (activity sampling).

Dalam bidang sains, dan linguistik terdapat istilah nitrogen aktif (active netrogen), jisim aktif (active mass), dan ayat aktif (active sentence).

Orang yang melibatkan diri dalam sesuatu kegiatan secara aktif digelar aktivis (activist). Contoh ayat:

8. Pada setiap kali sambutan ulang tahun kemerdekaan, kerajaan

memberikan penghormatan yang istimewa kepada tokoh-tokoh yang menjadi aktivis gerakan kemerdekaan negara.

Kata nama terbitan bagi kata aktif ialah keaktifan, yang bermaksud perihal bertindak dengan cergas. Ayat contohnya:

9. Kerana keaktifan dan semangat juangnya yang kental, Dato’ Murad sentiasa dipilih sebagai presiden parti pada setiap kali mesyuarat agung parti tersebut diadakan.

Seperti halnya dengan kata aktiviti, kata keaktifan juga digunakan untuk istilah sains. Misalnya, penalar keaktifan (activity constant), dan pekali keaktifan (activity coefficient).

Akhir sekali ialah aktivisme (activism). Aktivisme bermaksud amalan yang berteraskan tindakan kekerasan untuk mencapai sesuatu tujuan, khususnya tujuan politik.

Demikianlah huraian tentang kata aktif, iaitu salah satu kata serapan daripada kata bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu. Sesungguhnya amat digalakkan, kita menggunakan kata dalam bahasa Melayu yang sama maksudnya dengan kata aktif serta kata-kata terbitan daripadanya.

Buah Beralun-alun?

Oleh Muhammed Salehudin Aman

Ayat: Gugusan buah dipohon beralun-alun ditiup angin.

Hal tentang kegramatisan ayat contoh di atas pernah ditanyakan kepada saya. Gramatiskah kata kerja tak transitif berganda beralun-alun dalam predikat ayat, bagi menggambarkan keadaan gerakan gugusan buah di pokok?

Kata beralun-alun bermaksud berombak-ombak secara memanjang, dan tidak memecah; atau ombak yang bergulung-gulung (biasanya tidak tinggi daripada ombak biasa). Kata ini memang ghalib dikaitkan dengan hal ombak, Nyatalah, beralun-alun sesuai digunakan bagi menggambarkan keadaan pergerakan air, sama ada air laut atau air tasik yang besar dan luas bidangnya. Contohnya:

1. Laut luas beralun-alun.

2. Air danau Singkarak beralun-alun.

Benda-benda yang bergugus seperti buah langsat, buah dokong, jambu madu, duku, longan, mata kucing, dan lain-lain seumpamanya memang bergerak-gerak apabila ditiup angin (kencang). Gerakan yang berlaku itu tidaklah dikatakan beralun-alun, kerana beralun-alun tidak sesuai digunakan untuk menggambarkan gugusan buah yang bergerak-gerak. Kata yang sesuai bagi gambaran itu ialah berbuai-buai atau berayun-ayun.

Berbuai bermaksud berayun, sama ada ke belakang atau ke hadapan, ke kiri atau ke kanan. Jika digandakan kata berbuai menjadi berbuai-buai, maka maknanya berbuai berulang-ulang. Makna ini dinyatakan dalam ayat yang berikut:

3. Badannya yang gemuk itu kelihatan berbuai-¬buai apabila ia berjalan.

4. Kereta itu kelihatan bergantung dan berbuai-buai.

Kata lain yang seerti dengan berbuai-buai ialah berayun-ayun, dan bergoyang-goyang. Berayun-ayun menunjukkan sesuatu yang bergantung dan bergerak ke hadapan atau ke belakang, ke kiri atau ke kanan secara teratur. Maksud ini dapat difahami daripada ayat berikut:

5. Kanak-kanak sedang melihat kera berayun-ayun di pokok.

Sama seperti maksud kata berayun-ayun, bergoyang-goyang juga membawa maksud bergerak-gerak. Pergerakan itu berulang kali. Maksud seperti ini tersirat dalam ayat 6:

6. Kereta kecil itu bergoyang-goyang kerana jalan yang dilaluinya berlubang-lubang.

Jadi, maksud bergerak ke hadapan, ke belakang, ke kiri dan ke kanan terkandung dalam maksud kata berbuai-buai, berayun-ayun dan bergoyang-goyang. Dahan pokok bergoyang-goyang; buahnya berbuai-buai atau berayun-ayun. Ombak laut beralun-alun. Demikian itulah nama pergerakan yang terjadi pada dahan pokok (termasuk ranting dan daun), buah dan air laut.

Janggal benar kiranya kita mengatakan bahawa dahan pokok beralun-alun atau berayun-ayun. Untuk keadaan gerakan pokok, kata bergoyang-goyang yang lebih tepat. Untuk gugusan buahnya pula, kata berbuai-buai dan berayun-ayun yang sangat sesuai.

Harus diingat, kata ganda separa berimbuhan beralun-alun, selain menggambarkan pergerakan air ombak, kata ini dapat digunakan sebagai maksud kiasan pergerakan pokok padi. Misalnya:

7. Pokok padi beralun-alun seperti ombak di lautan apabila ditiup

angin.

Begitulah jawapannya kepada persoalan kegramatisan ayat “Gugusan buah dipohon beralun-alun ditiup angin”. Ketaralah bahawa beralun-alun, berbuai-buai dan berayun-ayun, dan bergoyang-goyang digunakan bagi menggambarkan keadaan yang tertentu untuk sesuatu benda yang tertentu juga.

Monday, September 28, 2009

Halangan-halangan Penggunaan Kata Ganti Diri I dan II

KATA ganti nama dikenal sebagai bentuk kata yang tugasnya menjadi pengganti nama. Kata ganti ini terbahagi kepada kata ganti diri, kata ganti tanya, kata ganti tempat, kata ganti tunjuk, dan kata ganti tak tentu. Contoh-contoh kata ganti nama tersebut adalah seperti yang berikut:

Kata ganti diri: saya, awak, dia

Kata ganti tanya: apa, siapa, mana

Kata ganti tempat: sana, sini, situ

Kata ganti tunjuk: ini, itu

Kata ganti tak tentu: apa-apa, siapa-siapa, mana-mana

Sama ada kita sedar atau tidak, bahawa kata ganti nama diri merupakan kata ganti yang banyak larangan ketika menggunakannya. Larangan ini memandu kita memilih kata ganti diri itu yang betul lagi tepat, kerana ketidaktepatan penggunaan kata ganti nama diri itu, bukan sahaja menyalahi hukum tatabahasa, bahkan menyalahi norma-norma kesantunan bahasa pula.

Kata aku, misalnya, tidak manis serta kurang sopan digunakan apabila kita bercakap dengan seseorang yang belum mesra dengan kita, atau seseorang yang lebih tua, atau seseorang yang perlu kita hormati. Kepada mereka ini, kata saya dianggap cukup neutral dan paling sesuai; dan jika dengan golongan raja, kata ganti diri patik pula lebih cocok daripada kata saya.

Kami ialah satu lagi kata ganti diri yang kerap salah digunakan pada masa berkomunikasi. Kata kami digunakan apabila kita bercakap dengan orang yang kedua. Namun, orang yang diajak bercakap (pihak yang ketiga) tidak disertakan. Sebaliknya, jika orang yang diajak bercakap itu disertakan, maka kata ganti diri kita, bukan kami paling tepat lagi sesuai.

Kata ganti nama daku mudah dikesan kesalahan penggunaannya dalam lirik atau seni kata lagu. Harus diingat, kata daku hanya boleh digunakan sesudah kata yang diakhiri huruf konsonan “n”. Demikian itulah peraturannya. Dengan demikian, jika kata sebelum daku bukan huruf “n”, gunakan sahaja kata aku. Perhatikan kesalahan penggunaan daku dalam ayat yang berikut:

1. *Dia memanggil daku dengan suara yang lantang.

Seharusnya: Dia memanggil aku dengan suara yang lantang.

Bentuk penggunaan kata daku yang betul seperti dalam ayat contoh 2 dan 3 yang berikut:

2. Dia meninggalkan daku bersendirian dalam kesejukan yang mencengkam tulang.

3. Masih cintakah engkau akan daku?

Selain itu, daku juga tidak boleh digunakan sebagai subjek atau predikat

ayat. Ayat-ayat contoh yang berikut ini dianggap salah tatabahasanya:

4. *Daku / sanggup menemanimu ke pesta muda mudi itu.

(daku sebagai subjek ayat)

5. *Dakulah / yang menemaninya pada malam itu.

(daku sebagai predikat ayat)

Oleh sebab kata daku tidak boleh berfungsi sebagai subjek dan predikat ayat, maka kata daku harus digantikan dengan kata aku, seperti ayat contoh 4 (a) dan 5 (a).

4. (a) Aku / sanggup menemanimu ke pesta muda mudi itu.

5. (a) Akulah / yang menemaninya pada malam itu.

Bagaimana dengan penggunaan kata ganti diri kedua pula? Seperti halnya dengan kata ganti diri pertama, kata ganti diri kedua juga mempunyai beberapa larangan dalam penggunaannya. Kata awak, engkau (kau), kamu dan anda tidak boleh digunakan untuk orang yang dihormati, atau orang yang lebih tua usianya. Oleh itu, wajarlah kita menggunakan kata panggilan menurut pangkat kekeluargaan, seperti kakak, abang, pak cik, mak cik; atau nama gelaran, iaitu Encik, Datuk (Dato’), Tuan Haji, Datuk Seri, Tan Sri, Datin, dan lain-lain seumpamanya.

Kata dikau ialah padanan kepada kata ganti diri pertama daku. Seperti juga halnya dengan daku, kata dikau tidak boleh digunakan sesudah kata yang tidak berakhir dengan huruf konsonan “n”. Jadi, gantikan sahaja kata dikau dengan kata engkau atau kamu supaya betul penggunaan kata ganti diri ini. Contohnya:

6. Sayangku! *Daku ucapkan selamat berbahagia kepada dikau!

Seharusnya: Sayangku! Aku ucapkan selamat berbahagia kepadamu (kamu)!

Kata ganti diri kedua anda dapat digunakan untuk maksud tunggal dan jamak. Kata ini digunakan untuk diri orang yang kedua apabila tidak berhadapan dengan kita, misalnya dalam surat-menyurat, dan dengan orang yang sebaya. Jika seseorang yang dihormati oleh status dan usianya, kata anda sungguh tidak sesuai untuknya.

Satu persoalan yang sering ditimbulkan, mengapakah kata ganti diri aku dan engkau (kau) digunakan apabila kita berdoa kepada Tuhan? Penggunaan aku dan engkau (kau) kepada Tuhan menunjukkan dekatnya kita dengan Tuhan seolah-olah tiada batas antara kita dengan Tuhan yang dapat menghalang permintaan kita dalam doa kepada-Nya.

Begitulah beberapa larangan yang juga berupa peraturan penggunaan beberapa kata ganti diri pertama dan kedua dalam berbahasa. Larangan merupakan peraturan yang dapat memandu kita menggunakan kata ganti diri dengan tepat lagi betul.

Wacana

SETIAP ayat yang dibina mempunyai satu tumpuan makna yang membentuk satu fokus pemikiran. Fokus pemikiran ini disebut wacana. Wacana ialah satu unit bahasa yang lengkap, yang melebihi batas ayat.

Dari segi tatatingkat tatabahasa, wacana terletak pada tingkat yang tertinggi selepas ayat, yakni bermula daripada “perkataan” di tingkat bawah kepada “frasa” (di tingkat kedua), kemudian “klausa”; selepas itu “ayat”, dan tingkat yang tertinggi “wacana”. Kedudukan ini diperjelas melalui rajah yang berikut:

Perkataan > Frasa > Klausa > Ayat > Wacana

Wacana boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian, dialog, bab, buku, siri buku dan sebagainya, yang memperlihatkan hubungan dan perkembangan fikiran secara berurutan serta lengkap. Sesuatu wacana, sama ada dalam bentuk lisan (pidato, khutbah), atau tulisan (surat, novel, cerpen, artikel) diujarkan/ditulis bagi tujuan menyampaikan sesuatu maklumat tentang sesuatu topik. Wacana bentuk tulisan ditulis dalam pelbagai bentuk, iaitu sama ada bentuk naratif (pemerian), deskriptif (penggambaran, eksposisi (pendedahan) atau penghujahan.

Sesuatu wacana yang utuh mempunyai dua ciri utama, iaitu kohesi (tautan) dan koheren (runtutan).

Kohesi bermaksud bahawa keserasian hubungan antara satu unsur linguistik dengan satu unsur linguistik yang lain. Keserasian hubungan ini, lazimnya, melalui hubungan antara satu perkataan, frasa atau ayat dengan perkataan, frasa atau ayat lain dalam wacana yang sama. Hal ini dijelaskan dalam ayat contoh yang berikut:

1. Pada waktu ini, abang dan kakak tinggal di bandar Kajang.

2. Sekarang, mereka tinggal di sana.

Kohesi antara ayat 1 dengan ayat 2 wujud melalui pertalian antara Pada waktu ini dengan Sekarang, abang dan kakak dengan mereka, dan di bandar Kajang dengan di sana.

Koheren atau runtutan pula merupakan kesinambungan idea yang terdapat dalam sesuatu wacana sehingga menjadikan teks itu bermakna. Contohnya:

Ekonomi Malaysia masih dalam keadaan gawat. Jelaslah, ekonomi kita masih belum betul-betul pulih. Harga komoditi kita masih rendah. Imbangan dagangan kita masih belum meningkat. Oleh itu, kita mesti menghadapi kenyataan ini dengan realistik. Kita tidak harus berbelanja lebih kerana keadaan ini.

Dalam contoh di atas, kesinambungan idea tentang keadaan ekonomi yang tidak menentu terjalin melalui perkataan dan frasa ekonomi Malaysia dalam ayat 1, belum betul-betul pulih dalam ayat 2, harga komoditi dalam ayat 3, imbangan dagangan dalam ayat 4, dan menghadapi kenyataan ini dalam ayat 5. Kelima-lima ayat dalam perenggan di atas menjadi koheren yang bermakna.

Untuk memahami ciri koheren dengan lebih jelas lagi, telitilah satu contoh lagi.

Sebutan berdasarkan ejaan dikenal juga sebagai sebutan fonemik.

Sebutan fonemik menegaskan bahawa pengucapan sesuatu bunyi

itu menurut nilai bunyi yang dilambangkan oleh huruf atau grafem.

Prinsip ini berasaskan hakikat bahawa hampir setiap fonem dalam

bahasa Melayu dilambangkan oleh sesuatu atau satu grafem yang

mendukung satu nilai bunyi.

Dalam contoh di atas, koheren terjalin daripada sebutan berdasarkan ejaan dalam ayat 1, sebutan fonemik dan pengucapan sesuatu bunyi itu menurut nilai bunyi yang dilambangkan oleh huruf atau grafem dalam ayat 2, prinsip ini dan morfem dilambangkan oleh sesuatu atau satu grafem dalam ayat 3. Ketiga-tiga ayat dalam perenggan ini menjadi koheren yang bermakna.

Selain ciri kohesi dan koheren ini, terdapat juga ciri-ciri lain yang membantu menghasilkan wacana yang utuh, seperti tujuan sesuatu wacana, penerimaan oleh pendengar atau pembaca, maklumat yang terkandung, keadaan yang mewujudkan wacana dan peranan wacana.

Dalam bentuk tulisan, seperti surat kiriman, esei dan lain-lain, wacana yang utuh mempunyai tubuh, yakni format teks yang lengkap. Format teks itu mengandungi pendahuluan, tubuh (isi dengan jalinan bahasa yang mantap), penutup, dan unsur lain (yang melengkapkan wacana seperti graf, jadual, peta, statistik, dan sebagainya).

Begitulah huraian tentang wacana dalam berbahasa. Wacana begitu penting dalam menentukan kegramatisan bahasa.

Diftong dan Vokal Rangkap




Bagaimanakah anda membunyikan (menyebut) perkataan meterai dan mulai?

(a) me. te. rai

(b) me. te. ra. i

(c) mu. lai

(d) mu. la. i

Jika anda memilih jawapan (a) dan (c) bermakna dua huruf vokal ai yang segugus dalam suku kata akhir perkataan-perkataan itu ialah diftong; maka bunyi diftong ai [ ai ] yang dilafazkan. Jikalau jawapan anda (b) dan (d), maka huruf vokal ai dalam suku kata akhir kata meterai dan mulai itu ialah vokal rangkap.

Diftong ialah gabungan dua bunyi vokal yang dilafazkan secara berterusan dalam satu hembusan nafas. Hal ini seperti demikian kerana bunyi diftong terhasil apabila bunyi satu vokal menggeluncur dengan cepatnya ke suatu vokal lain. Ertinya, lidah pada mulanya diletakkan pada keadaan sebagaimana membunyikan sesuatu vokal, kemudian digeluncurkan ke arah membunyikan vokal yang lain. Diftong dianggap sebagai satu suku kata, dan dilambangkan oleh dua vokal tetapi bertindak sebagai satu fonem.

Dalam bahasa Melayu, terdapat tiga jenis diftong, iaitu ai, au, dan oi. Bagaimanakah kita menghasilkan bunyi ketiga-tiga diftong tersebut?

Perlu diingat bahawa dalam proses pengeluaran bunyi-bunyi bahasa, lidah merupakan alat artikulasi (pertuturan) yang paling aktif lagi penting. Untuk menghasilkan bunyi diftong ai, lidah berkeadaan sebagaimana membunyikan vokal “a”, dan secara cepat geluncurkan lidah ke arah membunyikan vokal “i” pula. Demikian juga halnya cara membunyikan diftong au, dan oi. Kedudukan lidah pada keadaan membunyikan vokal yang pertama, lalu dengan pantasnya lidah digeluncurkan ke arah membunyikan vokal yang kedua pula.

Berdasarkan penelitian terhadap kamus, diftong ai merupakan yang paling banyak digunakan dalam pembentukan kata bahasa Melayu. Antara contohnya:

Aidilfitri baiduri meterai

Aidiladha syaitan landai

aising zaitun tapai

Harus diingat, bunyi diftong ai berlainan sekali dengan bunyi “ai” dalam perkataan-perkataan seperti dimulai, disukai, dihargai, memurkai, mengurniai, dan menganiayai. Vokal ai dalam kesemua perkataan tersebut merupakan vokal rangkap. Huruf vokal “i” dalam gandingan “ai” itu ialah akhiran “i”. Oleh itu, gugus “ai” dalam suku kata akhir perkataan-perkataan tersebut bukanlah diftong ai.

Contoh perkataan bahasa Melayu yang mengandungi diftong au, dan oi ialah:

aurat saujana lampau

autograf maujud imbau

auditorium tauliah kemarau

kaloi boikot tampoi

ngongoi konvoi sekoi

Apakah pula vokal rangkap? Dalam bahasa Melayu, ada deretan vokal yang menyamai diftong, iaitu deretan vokal ai, au dan oi seperti dalam perkataan air, aur, ajaib, daun, mulai, gaun, dan eksploit. Namun, jelas bahawa ai, au dan oi bukan satu bunyi yang tunggal; dan oleh itu bukan diftong. Kedua-dua vokal itu dapat berdiri sendiri secara terasing. Hal ini dapat diperhatikan apabila kita pecahkan perkataan-perkataan itu menjadi suku kata, iaitu:

a.ir a.ur a.ja.ib da.un ...dan seterusnya.

Sebagai kesimpulannya, deretan vokal itu ialah kewujudan dua bunyi vokal secara berurutan dalam perkataan, dan kedua-dua vokal itu terpisah dalam suku kata yang berlainan. Deretan vokal itu dinamai huruf vokal rangkap.

Selain tiga bentuk deretan vokal rangkap itu, ada lagi vokal rangkap yang lain yang wujud dalam perkataan bahasa Melayu asli, atau perkataan-perkataan serapan daripada bahasa Arab, bahasa Inggeris dan bahasa Sanskrit yang sudah menjadi kosa kata bahasa Melayu. Beberapa banyak contoh perkataan yang mengandungi vokal-vokal rangkap yang berkenaan adalah seperti yang berikut:

ai: aiskrim cair ghaib sains

au: taun maung kedaung pepauh

oi: koir heroin eksploit eksploitasi

ia: biara piagam sia-sia pianggang

io: ion biola antibiotik Zionis

iu: cium kiub siuman piutang

ua: buai buapak dualisme kuarantin

ui: juita puisi tuil suis

ea: bea gear teater reaktor

eo: neon video geometri ideologi

eu: neurologi neutral neutron reumatik

Begitulah huraian tentang huruf diftong dan vokal rangkap yang terdapat dalam perkataan-perkataan bahasa Melayu. Dengan mengenal bentuk huruf ini maka dapatlah kita membunyikan perkataan itu dengan betul lagi tepat.

Tanda Sempang, Tanda Pisah






Penggunaan tanda baca dalam penulisan, terutama bentuk penulisan naratif amatlah penting. Tanpa tanda baca atau kesalahan penggunaan tanda baca pada tempat yang perlu dan sesuai menyebabkan berlakunya kesalahan bahasa. Kesalahan yang berpunca daripada tanda baca ini boleh mengubah keseluruhan makna ayat.

Tulisan pada kali ini akan menyentuh cara penggunaan dua tanda baca yang hampir serupa, iaitu tanda sempang dan tanda pisah. Tanda pisah disebut juga sebagai tanda sekat atau tanda sengkang. Penggunaan kedua-dua tanda baca ini tidaklah begitu tinggi kekerapannya seperti penggunaan tanda koma (,) dan tanda noktah (.).

Tanda sempang berbeza penggunaannya daripada tanda pisah (dash). Garis yang dibuat sebagai tanda sempang itu lebih pendek daripada garis yang dibuat sebagai tanda pisah. Dengan perbezaan kecil ini, maka cara penulisan atau penggunaan tanda ini juga berbeza.

Dalam penggunaan tanda sempang, tiada ruang diberikan di antara kata dengan tanda sempang itu. Misalnya, kata kura-kura. Perhatikan bahawa di antara vokal “a” dalam perkataan kura yang pertama dengan tanda sempang, dan huruf konsonan “k” dalam perkataan kura yang kedua, selepas tanda sempang itu tiada ruang diberikan. Tetapi dari segi penggunaan tanda pisah pula, di antara kata dengan tanda pisah – baik sebelum atau selepas tanda pisah itu – sedikit ruang yang diberikan, Misalnya: Januari – Jun bukan *Januari-Jun.

Perhatikan perbezaan pada garis untuk tanda sempang dan tanda pisah, serta penggunaan kedua-dua tanda baca tersebut dalam ayat contoh yang berikut:

Beribu-ribu penonton – lelaki dan perempuan, tua dan muda – menyaksikan perasmian pembukaan bangunan baru itu oleh Perdana Menteri.

Sekarang, marilah kita lihat fungsi tanda sempang dan tanda pisah ini dalam penulisan.

Tanda sempang digunakan untuk menunjukkan kata ganda (termasuk penulisan kata ganda dalam ejaan Jawi). Contohnya: budak-budak, adik-beradik dan lintang-pukang. Fungsi tanda sempang yang kedua ialah tanda itu digunakan untuk menunjukkan atau menegaskan ejaan sesuatu perkataan. Contoh:

s-e-y-o-g-i-a bukan s-a-y-u-g-i-a

l-a-n-c-o-n-g dan l-a-n-c-u-n-g mempunyai makna yang berlainan

k-e-r-u-h maksudnya tidak jernih, k-e-r-o-h pula ertinya curang

Dalam penulisan dialog, tanda sempang boleh digunakan untuk menunjukkan pertuturan yang tidak lancar. Contohnya:

“Bu-bu-bukan saya yang melakukannya, tu-tuan,” katanya dengan gagap.

Fungsi ketiga tanda sempang adalah untuk tujuan memisahkan deretan angka yang berbeza fungsi. Contohnya:

O3-2148214, dan 013-2137540 (nombor telefon)

570831-10-5209 (tarikh lahir)

060 00930921 52-5 (nombor akaun bank)

983-41469-5-7 (International Standard Book Number – ISBN)

Merangkaikan kata dasar yang dipendekkan untuk menyatakan sifat sesuatu bangsa ialah fungsi tanda sempang yang keempat. Contohnya: Indo-Belanda, Anglo-China.

Selain itu , tanda sempang digunakan untuk memenuhi fungsi memisahkan angka daripada huruf; dan memisahkan huruf kecil daripada huruf besar. Contohnya:

ke-7, 1960-an

hamba-Mu, anti-Amerika

Dalam pada itu, tanda sempang perlu digunakan untuk memisahkan kata-kata yang tidak dapat ditulis selengkapnya oleh sebab ketiadaan ruang. Contohnya:

(a) ...pendengaran-

nya...

(b) ...sayur-

sayuran

Seperti juga tanda sempang, tanda pisah memenuhi beberapa fungsi tertentu. Pertama, tanda ini memisahkan keterangan bagi sesuatu idea atau satu siri idea sama ada di bahagian tengah ayat atau di bahagian akhir ayat. Contohnya:

(a) Segala impian – wang, nama dan kuasa – kini, musnah akibat

perbuatannya sendiri.

Tanda pisah juga digunakan untuk menyisipkan kata, frasa, klausa dalam ayat bagi menunjukkan aliran fikiran penulis yang berubah-ubah, terganggu, atau terhenti. Contohnya:

Semasa saya meninggalkan syarikat itu – hampir 15 tahun saya di sana – jawatan terakhir saya ialah sebagai pengurus.

Akhir sekali tanda pisah digunakan sebagai pengganti kata hubung “hingga”. Contohnya:

Jun – Disember

Tahun 2000 – 2005

Demikian huraian tentang penggunaan tanda sempang dan tanda pisah dalam penulisan.

Cekup, Cekut ???




Cara memasukkan makanan ke dalam mulut berbeza antara bangsa di negara kita ini. Ada yang menggunakan alat tertentu, dan banyak pula yang tidak menggunakan alat. Orang Melayu, orang India memasukkan makanan ruji mereka ke dalam mulut dengan menggunakan tangan tanpa alat. Orang Cina menggunakan batang sepit yang diperbuat daripada kayu, buluh atau plastik. Para pelancong, khususnya mereka yang dari Barat, seperti orang Inggeris menggunakan sudu dan garpu.

Dalam sesuatu majlis makan yang bersifat rasmi, hadirin daripada kalangan orang Melayu, Cina dan India, lazimnya menggunakan sudu dan garpu. Penggunaan alat ini dikatakan rasmi dan menurut protokol ketika makan.

Sejak dahulu lagi, cara orang Melayu makan menggunakan tangan kanan. Tentulah agak ganjil atau dikatakan kurang manis sekiranya tangan kiri digunakan. Sudu digunakan oleh orang Melayu apabila mereka makan bubur, makan emping padi, sensagun, atau menyuapkan makanan ke mulut bayi.

Jari-jari tangan berperanan membentuk kuncupan untuk menggenggam makanan yang diambil. Bentuk atau saiz genggaman ini pula bergantung pada jenis, bentuk dan kuantiti makanan itu. Kerana bentuk-bentuk yang dikatakan itulah lahirnya beberapa istilah bagi menggambarkan cara makanan itu diambil.

Jika kita mengambil sesuatu makanan dengan hujung jari sahaja, seperti mengambil sedikit garam, sedikit kelapa parut maka dikatakan cekup. Di sesetengah daerah, kata cekup tidak digunakan, dan sebaliknya istilah cekut dan jemput menjadi gantian. Perbuatan cekut ini dapat kita lihat apabila seorang ibu yang mengambil secekut nasi lalu disuapkannya ke dalam mulutnya atau mulut anak kecilnya.

Orang lelaki dewasa yang menghisap rokok menggunakan paip akan mengambil sejemput tembakau kemudian dimasukkannya ke dalam dapur (lubang) di bahagian kepala paipnya. Demikian jua halnya orang perempuan yang menggoreng kuih jemput-jemput. Perempuan ini menggunakan hujung jari bagi menjemput adunan, lalu memasukkannya sejemput demi sejemput ke dalam kuali. Berdasarkan perbuatan inilah maka kuih tersebut dinamai jemput-jemput.

Perbuatan yang hampir serupa dengan maksud cekup, cekut dan jemput ialah cubit. Nama lain yang bersinonim dengan cubit ialah sepit, dan jepit. Mencubit (seperti mencubit pipi) bermaksud menjepit sesuatu dengan menggunakan hujung ibu jari dan hujung jari telunjuk (atau hujung jari-jari yang lain). Jika mengambil sedikit makanan dengan menggunakan kaedah ini dinamai mencubit juga. Makanan tradisi seperti lempeng dicubit secubit demi secubit lalu disuapkan ke dalam mulut. Cara makan begini menunjukkan betapa tertibnya seseorang itu makan.

Orang Melayu tidak akan menggenggam atau mengepal makanan lempeng tadi atau makanan-makanan lain seumpamanya untuk dimakan. Jika ada yang berbuat begitu maka gelojohlah namanya. Cara makan seperti ini dikatakan tidak sopan, atau lebih kesat lagi dikatakan pelahap.

Ada pihak yang tertentu menganggap bahawa cekut dan cubit sama maknanya. Persamaan mungkin terletak pada kuantiti makanan yang diambil melalui kedua-dua cara ini. Ketidaksamaan pula terletak pada penggunaan jari tangan yang melakukan perbuatan cekut dan cubit itu. Orang yang melakukan perbuatan mencekut akan menggunakan hujung-hujung jari yang dikatupkan. Tetapi orang yang mencubit menggunakan ibu jari dan jari telunjuk, atau jari-jari yang lain menyepit makanan yang dicubit itu, tanpa menggunakan kesemua hujung jari.

Bila pula kita menggenggam makanan? Genggam bermaksud memegang makanan seperti keadaan mencengkam. Makanan itu ditutup oleh jari-jari tangan dengan rapat di atas tapak tangan. Orang Melayu, malah orang lain juga, tidak menggenggam nasi yang hendak dimakan, kerana sukar nanti menyuapkannya ke dalam mulut. Nasi yang digenggam itu terlalu banyak kuantitinya, maka sukar pula memasukkannya ke dalam mulut. Nasi itu dijemput dengan jari-jari sejemput demi sejemput.

Namun, ada ketika-ketika tertentu, kita memadatkan nasi, ubi atau sagu yang diparut, dan bahan-bahan mentah lain seumpamanya untuk membentukkannya menjadi bulat bergumpal; kemudian dimasak atau digoreng. Perbuatan menggumpal bahan ini dinamai mengepal. Air batu yang diparut halus juga dikepal hingga padat dengan tangan untuk dijadikan air batu kepal.

Makanan seperti tebu yang tidak dipotong kecil-kecil menurut ruasnya, harus dipegang agar mudah kita menguliti kulitnya yang keras itu dengan gigi. Perbuatan begini dinamai mengunggis atau mengerumit.

Begitulah huraian ringkas tentang beberapa cara kita mengambil makanan. Cara-cara tersebut, sesungguhnya, bergantung pada jenis, bentuk, serta kuantiti makanan yang diambil itu. Semua faktor itu menentukan kita mencekut, mencubit atau mengunggis makan itu.

Prafrasa dan parafrasa

Dalam ilmu tatabahasa terdapat dua istilah yang seakan-akan sama bentuk dan bunyinya, iaitu prafrasa dan parafrasa, walhal begitu jauh beza maknanya. Apakah maksud kedua-dua istilah ini?

Kata prafrasa merupakan istilah tatabahasa dalam bidang morfologi, yakni dalam aspek golongan kata tugas. Kata tugas termasuk sebagai salah satu empat golongan kata utama bahasa Melayu. Tiga golongan kata yang lain itu ialah kata nama, kata kerja, dan kata adjektif.

Pra ialah bentuk awalan daripada bahasa Sanskrit. Maksud pra dari segi bahasa ialah sebelum atau syarat kepada sesuatu yang mengikutinya. Perkataan prasekolah bermaksud sebelum memasuki sekolah (sekolahan dasar), dan prasiswazah bermakna sebelum lulus sebagai siswazah.

Namun, tidak setiap perkataan yang didahului di hadapannya dengan pra membawa maksud sebelum atau syarat kepada sesuatu yang mengikutinya. Misalnya, kata prasarana bermaksud keseluruhan kemudahan dan perkhidmatan seperti kemudahan pengangkutan dan perhubungan, bekalan elektrik, air yang perlu bagi pembangunan, dan prasetia bermaksud niat atau janji yang teguh.

Dalam golongan kata tugas, kata prafrasa merupakan kata yang agak besar jumlahnya, dan kerap pula menimbulkan masalah kepada pengguna bahasa Melayu. Kata prafrasa ialah sejumlah perkataan yang terletak di hadapan frasa, iaitu sama ada frasa nama, frasa kerja, atau frasa adjektif. Kata prafrasa ini mendukung tugas-tugas seperti maksud yang terkandung dalam ayat, yakni tugas membantu, menguatkan, menegaskan, menafikan, memerikan, menyendikan, membilang, dan lain-lain

Berdasarkan tugas-tugas ini, maka kata prafrasa mengandungi sembilan subjenis, iaitu kata bantu (telah, masih, harus), kata penguat (paling, nian, sangat), kata penegas (-kah, -tah, juga), kata sendi nama (daripada, antara, seperti), kata arah (atas, segi, samping), kata bilangan (dua, segala, setiap), dan kata adverba (selalu, begitu, demikian).

Yang berikut dipaparkan satu contoh penggunaan setiap jenis kata prafrasa:

1. Pekerja itu telah pulang. (kata bantu aspek)

2. Masakan isteri saya paling sedap. (kata penguat)

3. Anak siapakah yang menangis ini? (kata tanya)

4. Ayah tidak ke pejabat pagi tadi. (kata nafi)

5. Senaman ringan adalah baik untuk kesihatan. (kata pemeri)

6. Pengawal keselamatan itu berjaga hingga pagi. (kata sendi)

7. Para pemain berlatih di tengah padang. (kata arah)

8. Ibu membubuh sedikit garam ke dalam masakannya. (kata bilangan)

9. Kami selalu memperkatakan hal itu. (kata adverba)

Kata parafrasa termasuk dalam bidang sintaksis, yakni yang berkaitan dengan pembentukan ayat. Parafrasa bermaksud pengungkapan semula kandungan sesuatu tulisan (ayat) dengan menggunakan kata-kata lain tanpa mengubah makna atau maksud ayat asal. Dengan pengertian yang lain bahawa dua atau lebih ayat dianggap berparafrasa apabila ayat-ayat tersebut mengandungi pengertian, atau memberikan penerangan yang sama, walaupun ayat-ayat yang berkenaan mempunyai struktur dan aturan kata yang berbeza daripada struktur asal, seperti ayat-ayat yang berikut:

10. (a) Haji Aziz mengecat rumahnya itu.

(b) Rumahnya itu dicat oleh Haji Aziz.

11. (a) Engku Aiman ke Melaka setiap hari.

(b) Ke Melaka Engku Aiman setiap hari.

(c) Setiap hari, Engku Aiman ke Melaka.

Jika dilihat dari segi binaannya, kedua-dua ayat 10 (a) dan 10 (b) membawa penegasan yang berlainan kerana ayat (a) memberikan penegasan kepada Haji Aziz, manakala dalam ayat (b) penegasannya pada rumahnya. Ayat 10 (a) ayat aktif transitif, manakala ayat 10 (b) ialah ayat pasif. Tetapi oleh sebab kedua-dua ayat tersebut memberikan penerangan yang sama, maka ayat-ayat ini dikatakan berparafrasa.

Demikian juga halnya dengan ayat 11 (a), 11 (b), dan 11 (c). Ayat 11 (a) menjudulkan Engku Aiman; ayat 11 (b) memberikan penekanan kepada frasa sendi nama ke Melaka; dan ayat 11 (c) menonjolkan frasa keterangan (adverba) setiap hari sebagai penegasan. Kendatipun unsur-unsur ayat berkenaan berbeza letaknya dalam ayat, namun pengertian yang tersirat dalamnya tetap sama, iaitu mengisahkan bahawa Engku Aiman ke Melaka setiap hari. Ketiga-tiga ayat contoh tersebut itu ayat tunggal yang di songsangkan unsur predikatnya.

Begitulah penerangan tentang prafrasa dan parafrasa dalam bahasa Melayu.

Frasa Adverba

Sejak bertambah subjenis kata tugas, iaitu kata adverba timbul pendapat yang mengatakan wujud pula permasalahan bahasa yang baharu. Huraian kata adverba bahasa Melayu terkandung dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga terbitan tahun 2008.

Adakah pendapat ini benar? Untuk menjawab persoalan ini, moleklah kiranya difahami tentang kata adverba itu.

Kata adverba ialah perkataan yang menerangkan kata kerja, kata adjektif, kata nama, dan frasa sendi nama dari aspek cara, masa dan tempat. Contoh penggunaannya dalam ayat adalah seperti yang berikut:

1. Pengetua sering kali menasihati kami.

2. Keluarga kami akan datang hari esok.

3. Pak Limat sihat sentiasa.

4. Encik Lim kadang-kadang ke bandar raya.

Sering kali, esok, sentiasa, dan kadang-kadang dalam ayat 1 – 4 tergolong dalam kata adverba jati. (Dalam bahasa Melayu, ada empat golongan kata adverba, iaitu adverba jati, adverba yang asalnya daripada kata kerja, adverba yang asalnya daripada kata adjektif, dan adverba ganda). Kata adverba sering kali menerangkan kata kerja “menasihati”, esok menerangkan kata nama “hari”, sentiasa menerangkan kata adjektif “sihat”, dan kadang-kadang menerangkan frasa sendi nama “ke bandar raya”.

Kita begitu mudah mengenal pasti pembahagian binaan subjek dan predikat ayat seperti pemenggalan yang berikut ini:

1. Pengetua / sering kali menasihati kami.

2. Keluarga kami / datang hari esok.

3. Pak Limat / sihat sentiasa.

4. Encik Lim / kadang-kadang ke bandar raya.

Subjek ayat 1, 2, 3 dan 4 ialah “Pengetua”, “Keluarga kami”, “Pak Limat”, dan “Encik Lim”; manakala predikat keempat-empat ayat itu pula ialah “sering kali menasihati kami”, “datang hari esok”, “sihat sentiasa”, dan “kadang-kadang ke bandar raya”. Keempat-empat ayat contoh yang tersebut itu mempunyai pola ayat dasar FN + FK (ayat 1), FN + FK (ayat 2), FN + FA (ayat 3) dan FN + FSN (ayat 4).

Kata adverba tidak dianggap sebagai golongan kata utama bahasa Melayu, kerana tidak boleh menjadi unsur inti kepada konstituen frasa predikat, seperti halnya dengan kata nama, kata kerja, dan kata adjektif. Kata ini hanya berfungsi sebagai keterangan. Oleh hal yang demikian itu, tidak wujud frasa adverba (F Adv) sebagai frasa utama binaan ayat bahasa Melayu. Frasa utama yang ada hanyalah FN, FK, FA dan FSN, dan semua frasa ini dapat menjadi unsur inti kepada konstituen frasa predikat.

Jadi, bagaimana pula tentang hal kegramatisan ayat-ayat contoh yang berikut ini, yang sering kita dengar dituturkan atau ditulis:

5. Perkahwinannya / esok.

6. Tingkah lakunya / begitu.

7. Hal ini / demikian.

Predikat ayat 5 – 7 terdiri daripada kata adverba esok, begitu, dan demikian. Ketiga-tiga ayat yang tersebut itu, seolah-olah beracuan pola *FN + F Adverba yang tidak ada dalam pola ayat dasar bahasa Melayu, selain empat pola yang telah dihuraikan tadi. Oleh sebab tidak ada pola FN + F Adverba, maka pastilah ayat-ayat 5 – 7 itu salah tatabahasanya, kerana mana mungkin kata adverba dapat berfungsi sebagai predikat.

Sebenarnya, ayat-ayat tersebut, yang kelihatan mengandungi kata adverba yang berfungsi sebagai predikat, merupakan ayat minimal. Ayat minimal bermaksud ayat yang ada bahagiannya telah digugurkan kerana dipengaruhi oleh bahasa lisan atau bahasa basahan.

Ayat penuh bagi ayat-ayat minimal di atas adalah seperti dalam 5 (a) – 7 (a) yang berikut:

5. (a) Perkahwinannya / pada hari esok.

6. (a) Tingkah lakunya / secara begitu.

7. (a) Hal ini / secara demikian.

Dalam ayat penuh 5 (a) kata adverba esok menerangkan frasa sendi nama “pada hari”, dalam ayat penuh 6 (a) kata adverba begitu menerangkan frasa nama “secara” dan dalam ayat penuh 7 (a) kata adverba demikian menerangkan frasa nama “secara”, yang menunjukkan bahawa kata adverba sahaja tidak boleh menjadi unsur inti bagi predikat melainkan didahului oleh sesuatu frasa utama.

Sehubungan dengan itu, ayat majmuk keterangan yang sering kita gunakan seperti “Hal ini demikian kerana ...” menjadi tidak baku kerana kata adverba demikian menjadi inti predikat sebagai frasa adverba. Oleh yang demikian, ayat penuhnya haruslah berbunyi atau ditulis sebagai “Hal ini secara demikian kerana ...”, baharulah ayat ini kelihatan baku (gramatis), yakni tidak terpengaruh oleh sebarang bentuk bahasa lisan (tidak baku).

Jelaslah bahawa kegramatisan ayat terletak pada kesempurnaan binaan ayat yang mengandungi unsur-unsur yang wajar ada pada setiap binaan ayat. Dengan hal yang demikian baharulah kepersisan sesuatu ayat terpelihara.

Demikian huraian bahawa tidak wujud frasa adverba dalam binaan predikat ayat bahasa Melayu. Semoga huraian ringkas ini dapat menyelesaikan masalah bahasa yang berkaitan dengan kata adverba bahasa Melayu.

Penggabungan ayat gabungan

Ayat majmuk gabungan ialah ayat yang terdiri daripada dua ayat atau lebih yang dijadikan satu dengan cara mencantumkan ayat-ayat tersebut dengan kata hubung seperti dan, tetapi, atau, lalu, sambil, dan sebagainya. Dengan kata-kata lain, ayat gabungan dibentuk dengan menggunakan kata hubung untuk menjadikannya ayat yang lebih besar. Beberapa contoh ayat gabungan:

1. Cikgu Haris dan Cikgu Musa mengajarkan Geografi.

2. Saya makan mi goreng tetapi adik makan mi rebus.

3. Penyanyi itu berdiri lalu bernyanyi.

4. Ayah hendak pergi ke masjid atau ke surau?

Ayat-ayat 1 – 4 terbina daripada dua potong ayat yang lengkap. Ayat ini dinamai ayat tunggal, yang dinamai juga sebagai ayat dasar. Yang dikatakan ayat dasar kerana daripada ayat dasar terbentuknya ayat majmuk. Ayat 1 berasal daripada dua ayat tunggal, iaitu (a) Cikgu Haris mengajarkan Geografi, dan (b) Cikgu Musa mengajarkan Geografi. Kedua-dua ayat ini digabungkan dengan kata hubung dan menjadi ayat 1: Cikgu Haris dan Cikgu Musa mengajarkan Geografi.

Dalam proses penggabungan ayat, beberapa perkara dapat berlaku dalam bahagian-bahagian tertentu. Dalam ayat 2 kesemua bahagian ayat yang digabungkan dikekalkan, yakni ayat (a) Saya makan mi goreng, digabungkan dengan ayat (b) Adik makan mi rebus, dengan kata hubung tetapi menghasilkan ayat: Saya makan mi goreng tetapi adik makan mi rebus.

Jikalau ayat-ayat yang digabungkan itu mempunyai unsur yang sama, maka bahagian unsur yang sama itu tidak perlu diulang, yakni boleh dihilangkan. Kita ambil ayat contoh 3. Ayat 3 berasal daripada gabungan ayat (a) Penyanyi itu berdiri dengan ayat (b) Penyanyi itu bernyanyi, menghasilkan ayat 3 dengan menggunakan kata hubung lalu, seperti yang berikut: Penyanyi itu berdiri lalu bernyanyi

Dalam ayat 4, unsur ayat (a) dan ayat (b) sama melainkan unsur keterangan selepas kata kerja tak transitif pergi (dalam predikat). Apabila ayat (a) dan ayat (b) digabungkan dengan menggunakan kata hubung atau, maka konstituen ayat (b) digugurkan untuk menghasilkan ayat majmuk gabungan: Ayah hendak ke masjid atau ke surau? Proses ini ditunjukkan seperti yang berikut:

(a) Ayah hendak pergi ke masjid? + atau + (b) Ayah hendak pergi*ke surau? - Ayah hendak pergi ke masjid atau ke surau? ( * unsur ayat yang digugurkan)

Kesemua ayat yang digabungkan terdiri daripada jenis ayat yang sama, dan boleh mandiri. Jenis-jenis ayat yang dimaksudkan ialah ayat penyata, ayat perintah dan ayat tanya. Contohnya:

5. Karim makan sambil menonton televisyen. (gabungan dua ayat penyata).

6. Baca teks karangan, kemudian jawab semua soalan. (gabungan dua ayat perintah)

7. Awak hendak lepa atau jem? (gabungan dua ayat tanya)

Harus diingat, jenis-jenis ayat tersebut tidak boleh digabungkan secara berlainan jenis. Misalnya, ayat penyata tidak boleh digabungkan dengan ayat perintah, ayat penyata dengan ayat seruan, dan sebagainya, kerana penggabungan ini akan menghasilkan ayat yang tidak gramatis. Ketidakgramatisan penggabungan ayat yang tidak sejenis ini ditunjukkan seperti yang berikut:

8. *Pergilah masuk ke dalam bilik dan lampu itu bernyala dengan terangnya.

(kesalahan kerana menggabungkan ayat perintah dengan ayat penyata).

9. * Bolehkah saya meminjam wang tetapi awak kedekut.

(kesalahan kerana menggabungkan ayat tanya dengan ayat penyata)

10. * Askar itu garang dan cis, mati engkau aku tembak!

(kesalahan kerana menggabungkan ayat penyata dengan ayat seruan)

Harus diingat, ayat-ayat yang digabungkan dengan kata hubung dan wajar mempunyai hubungan (pertalian) makna untuk menjadikan ayat-ayat tersebut gramatis. Ayat 11 (a) yang berikut mempunyai pertalian makna, manakala ayat 11 (b) tidak.

11. (a) Abang menunggang motosikal dan ayah memandu kereta.

(b) *Abang menunggang motosikal dan kereta ayah rosak.

Kehadiran kata hubung dan berulang-ulang dalam ayat menjadikan ayat tidak gramatis. Perhatikan contoh yang berikut:

12. *Ibu menyapu sampah dan ayah membasuh kereta dan abang membaiki motosikal.

Supaya ayat 12 menjadi betul, gugurkan dan yang pertama dan kekalkan dan yang kedua. Kata hubung dan yang dihilangkan itu digantikan dengan tanda baca koma (,), seperti yang berikut:

12. (a) Ibu menyapu sampah, ayah membasuh kereta dan abang membaiki motosikal.

Akhir sekali, jika kata hubung dan dalam ayat gabungan tidak menerima tekanan, maka kata hubung dan boleh digugurkan, dan tempatnya digantikan dengan tanda koma. Makna ayat tetap tidak berubah. Sebagai contoh, ayat 13 (a) di bawah tidak menekankan kata hubung dan:

13. Kakak membeli ikan dan abang membeli udang galah.

13. (a) Kakak membeli ikan, abang membeli udang galah.

Demikianlah huraian tentang proses penggabungan ayat majmuk gabungan bahasa Melayu. Moga-moga huraian ini bermanfaat kepada para pelajar.

Agenda memperkasa Bahasa Kebangsaan



Sejauh mana kesungguhan kita untuk memperkasa bahasa kebangsaan? Dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), fokus yang PERTAMA sekali disebut di dalam Teras Pertama PIPP, Membina Negara Bangsa adalah usaha Memperkasa Bahasa Kebangsaan. Ini menunjukkan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyedari akan kepentingan bahasa kebangsaan dalam usaha membina sebuah masyarakat Bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Sebenarnya, tidak ada sebuah negara di dalam dunia ini yang begitu komited untuk memartabat dan mengangkat kedudukan bahasa kebangsaannya seperti negara kita. Di negara lain tidak ada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan Dasar Buku Negara.

Dari segi perlembagaan dan perundangan pula, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara telah termaktub dalam Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Akta Pendidikan 1996 sekali lagi telah menegaskan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di dalam sistem pendidikan kebangsaan dan mengkehendaki agar ia diajar sebagai mata pelajaran wajib di semua sekolah di dalam negara.

Hasrat ini telah diterjemahkan dengan tindakan apabila bahasa Melayu menjadi mata pelajaran wajib yang perlu diajar bukan sahaja di sekolah kebangsaan, tetapi juga sekolah jenis kebangsaan, sekolah swasta dan sekolah antarabangsa. Bukan sahaja ia menjadi bahasa pengantar utama di dalam kelas, tetapi juga di luar kelas seperti di dalam perhimpunan dan aktiviti kokurikulum. Hal ini tidak termasuk pelbagai kegiatan kebahasaan dan kesusateraan yang dianjurkan oleh KPM sepanjang tahun baik di peringkat sekolah, daerah mahupun nasional.

Begitu pun, sejak lebih 10 tahun yang lalu, penggunaan bahasa kebangsaan seolah-olah semakin merosot. Misalnya, dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum terutama di bandar besar seperti di Kuala Lumpur, bahasa Inggeris lebih banyak digunakan. Malah ada dalam kalangan ibu bapa Melayu yang menggunakan bahasa Inggeris sewaktu bercakap dengan anak-anak mereka. Pada waktu yang sama, peranan buku, majalah, akhbar dan media berbahasa Melayu sebagai alat pembangunan fikiran, sosial dan budaya rakyat Malaysia sudah semakin kurang menyerlah.

Pada tahun 2004, walaupun kita menyedari terdapat pelbagai program kebahasaan dan kesusasteraan yang dilaksanakan di dalam negara merangkumi usaha-usaha untuk mengukuhkannya di dalam kurikulum dan juga kokurikulum, aktviti pembangunan dan pengembangan bahasa kebangsaan serta aktiviti kesusasteraan seperti sayembara puisi, pertandingan berbalas pantun, syarahan, pertandingan menulis cerpen dan puisi serta banyak lagi, namun ia hanya kelihatan seperti aktiviti rutin semata-mata. Kelemahan dari aspek koordinasi pula menyebabkan setiap organisasi yang terbabit dalam usaha memperkasa bahasa kebangsaan seperti DBP, ITNM, MBKM dan PNM, kelihatan seperti membawa arah dan haluan sendiri.

Dalam konteks Dasar Buku Negara pula, jumlah penerbitan buku terutama buku judul umum oleh penerbit tempatan masih lagi rendah berbanding dengan Korea Selatan, Jepun dan China. Statistik PNM pada tahun 2003, misalnya menunjukkan negara kita cuma menerbitkan sekitar 6,500 judul buku pelbagai bidang dan hanya kira-kira 500 darinya merupakan judul buku bacaan umum. Sedangkan Korea Selatan yang mempunyai penduduk berjumlah lebih kurang 40 juta orang, dilaporkan menerbitkan sebanyak lebih kurang 40,000 judul buku setiap tahun. 70 peratus darinya adalah judul untuk bacaan umum!

Manakala usaha penterjemahan dari bahasa asing ke Bahasa Kebangsaan juga masih terlalu kecil dan perlahan. Ini tidak termasuk isu-isu seperti masalah penerbitan, penterjemahan, perbezaan pendapat dalam kalangan penulis muda dan lama serta pertelingkahan dalam kalangan persatuan-persatuan penulis.

Disebabkan itu, pada tahun 2004, Menteri Pelajaran telah berusaha menggerakkan satu gelombang gerakan Memperkasa Bahasa Kebangsaan dengan nafas dan hala tuju baru, satu sasaran yang jelas, pendekatan yang menyeluruh dan koordinasi di antara penggerak utama bahasa, iaitu di antara DBP, ITNMB, MBKM, bahagian-bahagian tertentu Kementerian Pelajaran serta kerjasama pihak di luar KPM seperti Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Penerangan dan KeKKWA. Dalam gerakan ini amat penting untuk memupuk perasaan cintakan Bahasa Malaysia kerana ia merupakan identiti unik Bangsa Malaysia. Usaha juga akan diteruskan bagi memperkukuhkan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi moden.

Matlamat akhir gerakan ini adalah untuk melahirkan generasi masa depan Bangsa Malaysia yang berbangga dengan bahasa yang menjadi identiti mereka, mempunyai kefasihan yang tinggi dalam bahasa ini, sedia memberikan penghormatan dan kedudukan yang sewajarnya kepadanya serta gembira mempromosikannya di mana sahaja mereka berada di dalam dunia.

Bahasa kebangsaan

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah dengan jelas diperuntukkan di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai undang-undang utama negara Perlembagaan menjadi tonggak dan kayu ukur bagi semua undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen, Dewan-Dewan Undangan Negeri dan segala dasar kerajaan.

Peruntukan di bawah Perkara 152 itu tidak boleh dipinda oleh Parlimen kerana kata putus terletak di tangan Majlis Raja-Raja. Ini dinyatakan dengan jelas oleh Perlembagaan di bawah Perkara 159(5).

Kedudukan yang sedemikian memang wajar kerana bahasa Melayu telah meresap ke dalam batang tubuh Perlembagaan; contohnya definisi orang Melayu juga dikaitkan dengan penggunaan bahasa Melayu sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara 160(2). Keakraban ini juga kelihatan dalam peruntukan di bawah Perkara 10(4) yang turut meletakkan Bahasa Melayu sebagai antara perkara-perkara yang kedudukannya tidak boleh dipersoalkan atas nama kebebasan bersuara.

Ia malah boleh dikatakan sebagai sudah mencapai tahap sakral.

Meskipun begitu Perlembagaan menyedari bahawa kedudukan sedemikan tidak harus digunakan secara zalim dan menyekat atau digunakan secara membuta tuli. Inilah yang dapat dikatakan apabila kita meneliti fasal-fasal tertentu di bawah Perkara 152. Fasal (1)(a) dan (b) umpamanya membenarkan pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa lain asalkan ia tidak dalam konteks kegunaan rasmi.

Ini semua sebenarnya telah diamalkan sebelum dan selepas merdeka. Hanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini sahaja beberapa undang-undang dan dasar tertentu yang berlawanan dengan peruntukan dan amalan Perlembagaan dimulakan. Ini menimbulkan persoalan yang sangat serius tentang kesahihan mereka. Dan kelihatannya tindakan tersebut juga menimbulkan banyak kesulitan dan kekeliruan. Selain itu kelemahan dan kealpaan pelaksanaan Perkara 152 tidak harus dibenarkan untuk mencairkan peruntukan dan kehendak Perkara 152 yang sebenarnya turut didokong oleh Suruhanjaya Reid sendiri.

Kita percaya mahkamah akan menghukumkan isu ini dengan betul kerana para hakim telah diwajibkan oleh mahkamah untuk memelihara, melindungi dan mempertahan Perlembagaan sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan melalui seksyen 1 Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan.

Asal Usul Bahasa Melayu

Asal Usul Bahasa Melayu



Asal usul perkataan Melayu masih belum dapat disahkan oleh sejarawan.

Bagaimanapun terdapat beberapa bukti sejarah yang cuba mengaitkan asal-usul bahasa Melayu, seperti mana berikut:

1. Catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645 Masihi.

Dikatakan orang Mo-lo-yeu mengirimkan Utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja China.

2. Ada yang mempercayai kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Jambi, Sumatera , daripada sebatang sungai yang deras alirannya, iitu Sungai Melayu.

3. Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi.

4. Dalam bahasa Jawa Kuno, perkataan ``Mlayu'' bermaksud berlari atau mengembara. Hal ini boleh dipadankan dengan orang Indo-Melayu (Austonesia) yang bergerak dari Yunan.





Asal Usul Bangsa Melayu

Dipercayai berasal daripada golongan Austronesia di Yunan.

Kumpulan pertama dikenali sebagai Melayu Proto.

Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Batu Baru (2500 Sebelum Masihi)

Keturunannya Orang Asli di Semenanjung Malaysia, Dayak di Sarawak dan Batak di Sumatera.

Kumpulan kedua dikenali sebagai Melayu Deutro

Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Logam kira-kira 1500 Sebelum Massihi.

Keturunannya orang Melayu di Malaysia

Dikatakan lebih bijak dan dan mahir daripada Melayu Proto.

Bijak dalam bidang astronomi, pelayaran dan bercucuk tanam.

Bilangan lebih banyak daripada Melayu Proto.

Menduduki kawasan pantai dan lembah di Asia Tenggara.

Orang ini, kumpulan pertama dan kedua, dikenali sebagai Austronesia.

Bahasa-bahasa yang terdapat di Nusantara sekarang berpunca daripada bahasa Austronesia ini.



Nik Safiah Karim menerangkan bahawa bahasa Austronesia ialah satu rumpun bahasa dalam filum bahasa Austris bersama-sama dengan rumpun bahasa Austroasia dan Tibet-China (rujuk carta alir di atas).

Bahasa Melayu termasuk dalam bahasa-bahasa Golongan Sumatera bersama-sama dengan bahasa-bahasa Acheh, Batak, Minangkabau, Nias, Lampung dan Orang Laut.



Perkembangan Bahasa Melayu

Ahli bahasa membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap utama iaitu:

* Bahasa Melayu Kuno,
* Bahasa Melayu Klasik dan
* Bahasa Melayu Moden.



Bahasa Melayu Kuno

Merupakan keluarga bahasa Nusantara

Kegemilangannya dari abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya, sebagai lingua franca dan bahasa pentadbiran.

Penuturnya di Semenanjung, Kepulauan Riau dan Sumatera.

Ia menjadi lingua franca dan sebagai bahasa pentadbiran kerana:

* Bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar.
* Tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat
* Mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa.

Banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit kemudian dikenal pasti menyumbang kepada pengkayaan kosa kata dan ciri-ciri keilmuaan (kesarjanaan) Bahasa Melayu.

Bahasa Melayu mudah dipengaruhi Sanskrit kerana:

* Pengaruh agama Hindu
* Bahasa Sanskrit terletak dalam kelas bangsawan, dan dikatakan mempunyai hierarki yang tinggi.
* Sifat bahasa Melayu yang mudah dilentur mengikut keadaan dan keperluan.

Bahasa Melayu kuno pada batu-batu bersurat abad ke-7 yang ditulis dengan huruf Pallawa:

* Batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683 M)
* Batu bersurat di Talang Ruwo, dekat Palembang (684 M)
* Batu bersurat di Kota Kampur, Pulau Bangka (686 M)
* Batu bersurat di Karang Brahi, Meringin, daerah Hulu Jambi (686 M)

Bahasa Melayu kuno pada batu bersurat di Gandasuli, Jawa Tengah (832 M) ditulis dalam huruf Nagiri.

Ciri-ciri bahasa Melayu kuno:

* Penuh dengan kata-kata pinjaman Sanskrit
* Susunan ayat bersifat Melayu
* Bunyi b ialah w dalam Melayu kuno (Contoh: bulan - wulan)
* bunyi e pepet tidak wujud (Contoh dengan - dngan atau dangan)
* Awalan ber- ialah mar- dalam Melayu kuno (contoh: berlepas-marlapas)
* Awalan di- ialah ni- dalam bahasa Melayu kuno (Contoh: diperbuat - niparwuat)
* Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h (Contoh: sukhatshitta)
* Huruf h hilang dalam bahasa moden (Contoh: semua-samuha, saya: sahaya)



Peralihan Bahasa Melayu Kuno Ke Bahasa Melayu Klasik

Peralihan ini dikaitkan dengan pengaruh agama Islam yang semakin mantap di Asia Tenggara pada abad ke-13.

Selepas itu, bahasa Melayu mengalami banyak perubahan dari segi kosa kata, struktur ayat dan tulisan.

Terdapat tiga batu bersurat yang penting:

a. batu bersurat di Pagar Ruyung, Minangkabau (1356)

* ditulis dalam huruf India
* mengandungi prosa melayu kuno dan beberapa baris sajakm Sanskrit.
* bahasanya berbeza sedikit daripada bahasa batu bersurat abad ke-7.

b. Batu bersurat di Minye Tujuh, Acheh (1380)

* masih memakai abjad India
* buat pertama kalinya terdapat penggunaan kata-kata Arab seperti kalimat nabi, Allah dan rahmat

c. batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu (1303-1387)

* ditulis dalam tulisan Jawi
* membuktikan tulisan Arab telah telah digunakan dalam bahasa Melayu pada abad itu.

Ketiga-tiga batu bersurat ini merupakan bukti catatan terakhir perkembangan bahasa Melayu kerana selepas abad ke-14, muncul kesusasteraan Melayu dalam bentuk tulisan.



Bahasa Melayu Klasik

Kegemilangannya boleh dibahagikan kepada tiga zaman penting:

* Zaman kerajaan Melaka
* Zaman kerajaab Acheh
* Zaman kerajaan Johor-Riau

Antara tokoh-tokoh penulis yang penting ialah Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumaterani, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf al-Singkel.

Ciri-ciri bahasa klasik:

* ayat: panjang, berulang, berbelit-belit.
* banyak ayat pasif
* menggunakan bahasa istana
* kosa kata klasik: ratna mutu manikam, edan kesmaran (mabuk asmara), sahaya, masyghul (bersedih)
* banyak menggunakan perdu perkataan (kata pangkal ayat): sebermula, alkisah, hatta, adapun.
* ayat songsang
* banyak menggunakan partikel ``pun'' dan `'lah''



Bahasa Melayu Moden

Bermula pada abad ke-19. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden.

Sebelum penjajahan Beritish, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam.

Selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem pendidikan.

Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Laporan Razak 1956 mencadangkan bahasa Melayu sebagai pengantar dalam sistem pendidikan negara.

Wednesday, September 16, 2009














SEJARAH KOMPUTER

Tahukah anda bahawa komputer yang anda gunakan pada hari ini telah berkembang teknologinya sejak 6 dekad yang lepas, bahkan pada ianya dicipta, anda mungkin belum dilahirkan lagi. Sejarah perkembangan komputer telah lama bermula iailu sejak tahun 1940 dan dapat dibahagikan kepada 4 generasi dari menggunakan elektronik sepenuhnya sehinggalah kepada penggunaan mikro komputer.

Mari kita lihat perkembangan generasi komputer yang telah dihuraikan oleh pengkaji-pengkaji bidang ini.


1) GENERASI PERTAMA (1940-1959)

Komputer dihasilkan adalah elektronik sepenuhnya. Saiznya agak besar (hampir menyamai sebuah bilik tidur) dan dikategorikan kepada Kerangka Utama (Mainframe), la menggunakan tiub vakum untuk memproses dan menyimpan maklumat. Tiub vakum berukuran seperti mentol lampu kecil yang cepat panas dan mudah terbakar. Jumlah tiub vakum yang diperlukan amat banyak agar tidak menjejaskan keupayaan komputer. la juga menggunakan tenaga elektrik dengan banyak.
Pada tahun 1946, menyaksikan komputer elektronik sepenuhnya direka oleh Dr. John Mauchly dan Prosper Eckert telah mencipta ENIAC (Electronic Numerical Integrator And Calculator). ENIAC mengambil ruang sebanyak 140 meter persegi, berat 30 ton, menggunakan 130 kilowatt tenaga dan 1800 tiub vakum. Ingatannya disimpan diluar dengan menggunakan suiz dan wayar. la berupaya melakukan 5000 pencampuran dan 300 pendaraban sesaat. la dikendalikan oleh hanya jurutera terlatih. John Von Neumann akhirnya mencadangkan penggunaan Konsep Aturcara Tersimpan iaitu komputer menyimpan ingatan di dalam storan utama. la menggunakan nombor binari.
Dr. John Mauchly dan Prosper Eckert sekali lagi mencipta EDVAC (Electronic Discrete Variable Automatic Computer) yang mengurangkan penggunaan tiub vakum. la lebih cekap dari ENIAC dan menggunakan Konsep Aturcara Tersimpan. EDSAC (Electronic Delay Storage Automatic Calculator) yang menggunakan raksa dan tiub vakum untuk menyimpan ingatan telah dicipta. UNIVAC1 (Universal Automatik Calculator) ciptaan Dr. John Mauchly dan Prosper Eckert mula dikeluarkan pada tahun 1951 adalah komputer pertama yang digunakan untuk memproses data perniagaan. la juga menggunakan raksa untuk storan.


2) GENERASI KEDUA (1959-1964)

Transistor dan diod digunakan bagi menggantikan tiub vakum walaupun ia mudah terbakar. Cara baru untuk menyimpan ingatan iaitu Teras Magnetik diperkenalkan. la menggunakan besi-besi halus yang dililit oleh litar elektrik. Keupayaannya memproses lebih besar. la mula menggunakan bahasa pengaturcaraan peringkat tinggi iaitu FOTRAN(1954) dan COBOL(1959) bagi menggantikan bahasa mesin. Minikomputer dihasilkan. la lebih murah dan lebih kecil berbanding dengan Kerangka Utama. la digunakan bagi tujuan memproses data perniagaan, universiti selain di bidang ketenteraan. (Contoh : DEC PDP-8, IBM 7090 dan IBM 7094)


3) GENERASI KETIGA (1964-1980)

la bermula apabila IBM (Internatinal Business Machine) memperkenalkan Sistem/360 iaitu Kerangka Utama yang mengandungi alatan-alatan yang lengkap bagi memenuhi semua keperluan pengaturcaraan pada masa tersebut.Sistem/360 memperkenalkan ciri baru Sistem Pengoperasian iaitu Konsep Perkongsian Masa. Sistem ini adalah satu kumpulan aturcara yang mengurus dan menyelaras keseluruhan operasi komputer, la memudahkan penggunaan komputer. Disimpan secara kekal dalam Ingatan Utama (ROM) komputer atau storan sekunder.
Konsep ini membenarkan penggunaan banyak stesen secara berasaingan dan dikawal oleh Sistem Induk dimana pemprosesan boleh dilakukan serentak pada sesuatu masa walaupun stesen yang lain digunakan. Supercomputer seperti Cray-1 diperkenalkan bagi mengkaji cuaca dan alam semulajadi.


4) GENERASI KEEMPAT (1980-sekarang)

Penyelidikan microelektronik telah berjaya menghasilkan Litar Bersepadu/Terkamir atau Cip dimana beribu transistor dipadatkan didalam kepingan empat segi silikon melalui proses Pengamiran Skala Besar (Large Scale Integration). Cip mula menggantikan transistor sebagai bahan logik komputer. MicroKomputer merupakan yang terkecil didalam keluarga komputer digital mula dinasilkan seperti Apple II, IBM PC, NEC PC dan Sinclair.
Bahasa pengaturcaraan BASIC, Pascal, PL/1 C dan Logo mula digunakan. Kebanyakan komputer dibekalkan dengan bahasa secara "bina-dalam" di dalam ROM untuk bahasa BASIC. Bahasa ini merupakan bahasa yang paling popular untuk microkompuler. Perisian tambahan juga diperkenalkan bagi membantu penyelesaian masalah. Laptop, Notebook, Handheld dan Palmtop diperkenalkan. la lebih kecil dari Microkomputer serta mudah dibawa ke mana-mana. Internet iaitu Sistem Rangkaian yang luas menggunakan protokol TCP/IP diperkenalkan sebagai rangkaian perkongsian maklumat secara global. (Processor 6086,80286, 80386,80486, Pentium, Celeron, Pentium II, Pentium 111 dan Pentium 4)


Kesimpulan:

Setelah meninjau keempat-empat generasi komputer, mungkin terbayang difikiran kita tentang bagaimana bentuk komputer pada masa depan. Komputer masa depan mungkin akan berada pada generasi atau tahap kelima yang menggunakan teknologi masa depan. Dapatkah anda bayangkan bagaimana keupayaannya?

Morfologi Bahasa Melayu






Morfologi merupakan antara cabang linguistik yang mengkaji struktur pembentukan kata. Tatabahasa Dewan edisi baharu mendefinisikan morfologi sebagai bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk, dan penggolongan kata. Kamus Dewan edisi ketiga menjelaskan pengertian morfologi sebagai kajian tentang pembentukan kata dalam sesuatu bahasa, termasuk infleksi, terbitan, dan pemajmukan. Hockett ( 1958 ) mendefinisikan morfologi sebagai unsur terkecil yang mengandungi makna dalam tuturan sesuatu bahasa. Kajian tentang morfologi bermula di Eropah pada awal kurun ke-19.

Berdasarkan takrif, kajian morfologi tertumpu kepada kata. Kata terbentuk daripada unsur yang dikenali sebagai morfem. Morfem ialah unit yang terkecil dalam bahasa yang berfungsi gramatis atau yang menjalankan tugas nahu, serta tidak dapat dipecah-pecahkan lagi. Ada dua jenis morfem, iaitu morfem bebas dan morfem terikat. Morfem bebas ialah morfem atau kata yang dapat berdiri sendiri sebagai satu kata yang utuh dan bermakna serta tidak dapat dipecahkan kepada unit yang lebih kecil lagi. Morfem terikat sebaliknya kerana bersifat tidak sempurna sekiranya tidak digandingkan dengan morfem bebas. Sesuatu perkataan dibentuk daripada satu morfem atau lebih. Misalnya, bagi perkataan makan, terdiri daripada satu morfem, iaitu morfem bebas, manakala makanan terdiri daripada dua morfem, iaitu makan sebagai morfem bebas dan –an sebagai morfem terikat. Oleh sebab itu, ada perbezaan yang jelas antara morfem dengan perkataan, iaitu semua perkataan ialah morfem tetapi tidak semua morfem itu menjadi perkataan. Perkataan berbentuk bebas, yang bermakna, dan dapat berdiri sendiri, misalnya kereta, kerusi, pengajar, dan kehakiman sedangkan awalan peng- dalam pengajar dan apitan ke-…-an dalam kehakiman menjadi morfem terikat dan bukanlah perkataan.

Tatabahasa Dewan edisi baharu menjelaskan bahawa proses pembentukan kata dalam sesuatu bahasa ialah proses penyusunan morfem menurut peraturan sistem morfologi bahasa itu. Proses morfologi ialah suatu proses yang mengubah bentuk sesuatu morfem dan perubahan ini bertujuan untuk menambah sesuatu makna kepada morfem tersebut. Dalam kata lain yang lebih mudah, proses morfologi bermaksud cara sesuatu perkataan itu dihasilkan atau diterbitkan daripada bentuk dasarnya. Berdasarkan bentuk dan struktur kata baharu yang dihasilkan, proses morfologi itu dapat dibahagikan kepada beberapa jenis, iaitu pengimbuhan, pemajmukan, penggandaan, dan pengakroniman.

PENGIMBUHAN
Dalam bahasa Melayu, proses pengimbuhan amat penting dan antara yang banyak menimbulkan kekeliruan. Pengimbuhan atau afiksasi ialah proses morfologi yang menerbitkan kata dengan cara menggabungkan imbuhan atau afiks kepada kata dasar. Imbuhan dapat dimaksudkan sebagai unit-unit bahasa tertentu yang ditambahkan pada bentuk-bentuk lain, iaitu kata dasar yang menyebabkan perubahan makna nahunya. Imbuhan tergolong dalam jenis morfem terikat, manakala kata dasar itu lazimnya morfem bebas.

Tersenarai dalam imbuhan ialah bentuk awalan, akhiran, sisipan, dan apitan. Imbuhan awalan atau prefiks (prefix) ialah imbuhan yang ditambahkan pada bahagian hadapan kata dasar atau merujuk kepada morfem terikat yang berada di posisi awal kata dasar. Contoh kata terbitan berawalan kata nama ialah pemuzik, pembuat, pendatang, pengganas, pengebom, pelajar, pertapa, pesara, kekasih, juruselam, maharaja, tatabahasa, prasekolah, subsistem, suprasegmental, ekawarna, dan dwibahasa. Contoh kata terbitan berawalan kata kerja ialah merasa, membaca, menduga, menggiling, mengelap, memperhamba, berjalan, berupa, belajar, terjunam, dipukul, dan diperoleh. Contoh kata terbitan berawalan kata adjektif ialah terhitam, teringan, dan senipis.

Selain itu, imbuhan akhiran atau sufiks (suffix) merupakan morfem terikat yang berada di posisi akhir kata dasar. Akhiran dalam bahasa Melayu hanya dapat wujud dalam kata nama terbitan dan kata kerja terbitan sahaja, misalnya makanan, angkasawan, seniman, seniwati, komunisme, muslimin, hadirat, ustazah, jarakkan, dan turuti. Proses pengimbuhan –an telah menyebabkan berlakunya perubahan kelas kata, iaitu daripada kata kerja menjadi kata nama kerana tidak ada imbuhan –an untuk membentuk kata kerja. Misalnya, kata dasar tulis, buat, lukis, dan tanam merupakan kata kerja tetapi apabila diimbuhkan dengan akhiran –an, akan menghasilkan kata nama terbitan, iaitu tulisan, buatan, lukisan, dan tanaman. Sehubungan dengan hal itu, imbuhan ini tergolong dalam jenis imbuhan derivatif. Imbuhan akhiran asal dalam bahasa Melayu hanyalah –an, -kan, dan –i. Yang lain merupakan imbuhan pinjaman daripada bahasa-bahasa asing seperti bahasa Inggeris, bahasa Sanskrit, dan bahasa Arab.

Bentuk imbuhan yang ketiga ialah sisipan, imbuhan yang tidak produktif lagi dan jika wujud sekalipun, hanyalah ketika mencipta istilah baharu. Namun begitu, agak banyak sisipan yang tersenarai dalam bahasa Melayu. Imbuhan sisipan atau infiks (infix) merujuk kepada morfem terikat yang berada di tengah kata dasar atau menyelit di antara kata dasar. Sesuatu yang menarik tentang imbuhan sisipan ini ialah bentuk fonologinya seperti yang dirakamkan dalam kebanyakan bahasa manusia berstruktur VK, misalnya bahasa Bontoc di Filipina yang mempunyai sisipan –um- bagi perkataan seperti fumikas (menjadi kuat) dan kumilad (menjadi merah) . Di samping itu, satu generalisasi umum tentang sisipan ini ialah konteks penyebarannya di dalam kata, iaitu kedudukannya sentiasa berada selepas konsonan pertama kata dasar. Dalam bahasa Melayu, sisipan dapat bergabung dengan kata nama, kata kerja, dan kata adjektif, misalnya –el- bagi perkataan telapak, kelangkang, telunjuk, kelembung, kelengkeng, kelabut, kelebak, selerak, dan gelembung. Sisipan –er- tersisip bagi perkataan seperti serabut, keruping, seruling, dan gerigi. Sisipan –em- mencelah bagi perkataan seperti gemilang, semerbak, gemerlap, kemuning, dan kemuncup. Sisipan –in- muncul bagi perkataan seperti sinambung.

Imbuhan apitan atau sirkumfiks (circumfix) ialah morfem terikat yang melingkungi atau mengapit kata dasar. Dalam bahasa Melayu, apitan wujud dalam kata nama terbitan, kata kerja terbitan, dan kata adjektif terbitan. Dari segi binaan morfemnya, apitan terdiri daripada awalan dan akhiran dan pengimbuhannya dilakukan secara serentak. Selain apitan, imbuhan ini dikenal sebagai imbuhan terbahagi juga. Bagi apitan kata nama, contohnya ialah pelaksanaan, pembinaan, pelajaran, dan perkuburan. Contoh apitan kata kerja ialah menyeramkan, mendermakan, mengecamkan, didekati, diperdengarkan, dan memperingati. Apitan kata adjektif seperti ke-…-an yang membentuk keinggerisan, kearaban, dan kecinaan.

PEMAJMUKAN
Proses pemajmukan ialah proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan yang terhasil membawa makna tertentu atau menerbitkan satu bentuk kata baharu. Kata majmuk perlu dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit, iaitu bentuknya tidak boleh menerima sebarang penyisipan unsur lain. Tatabahasa Dewan edisi baharu membahagikan kata majmuk kepada tiga kelompok, iaitu yang terdiri daripada rangkaian kata bebas seperti jam tangan dan bandar raya, yang berbentuk istilah khusus seperti atur cara dan mata pelajaran, dan yang mendukung maksud kiasan seperti tumbuk rusuk dan makan angin.

Semua kata majmuk perlu dieja terpisah, namun ada sebilangan kata yang dianggap telah mantap dan utuh perlu dieja sebagai satu perkataan, seperti antarabangsa, olahraga, dan warganegara. Walaupun keadaan ini sering menimbulkan kekeliruan kepada pengguna bahasa, namun faktor-faktor lain sewajarnya dipertimbangkan untuk memastikan bahasa Melayu terus berkembang. Tidak seperti bahasa Inggeris, kata majmuk bahasa Melayu agak sukar dibezakan dengan frasa nama dan keadaan ini seringkali menyebabkan kesalahan bahasa berlaku. Antara cara membezakan antara kata majmuk dengan frasa nama ialah dengan melihat proses pembentukannya yang ternyata berbeza. Misalnya, “ibu bapa” merupakan frasa nama walaupun pada zahirnya kelihatan sama dengan “guru besar” yang merupakan kata majmuk. “Ibu bapa” boleh menerima sisipan unsur lain seperti kata hubung dan yang akan membentuk “ibu dan bapa”. Keadaan ini tidak boleh berlaku bagi kata majmuk kerana “guru dan besar” tidak membawa makna yang sempurna.

Kata majmuk yang menerima imbuhan awalan dan akhiran masih tetap dieja terpisah seperti mencampur aduk, berurus niaga, dan bersatu padu. Namun begitu, apabila diimbuhkan dengan apitan, maka kata majmuk tersebut dieja sebagai satu perkataan seperti mencampuradukkan, mengurusniagakan, dan disatupadukan. Akan menjadi kesalahan jika dieja terpisah bagi bentuk ini. Bagi kata majmuk yang hendak digandakan, hanya perkataan pertama sahaja yang perlu digandakan seperti buku-buku kerja, balai-balai polis, dan wakil-wakil rakyat. Kata majmuk yang dianggap telah mantap dan dieja sebagai satu perkataan perlu digandakan keseluruhan perkataan tersebut, misalnya jawatankuasa-jawatankuasa, kakitangan-kakitangan, dan setiausaha-setiausaha.

PENGGANDAAN
Penggandaan ialah satu proses morfologi yang menerbitkan kata dengan cara mengulang sebahagian atau keseluruhan elemen yang terdapat dalam kata dasar. Penggandaan sering disebut sebagai reduplikasi (reduplication) dan kata yang terhasil daripada proses penggandaan disebut kata ganda. Terdapat tiga jenis penggandaan dalam bahasa Melayu, iaitu penggandaan penuh, penggandaan separa, dan penggandaan berentak. Penggandaan penuh ialah proses pengulangan yang menyalin kesemua elemen yang terkandung dalam kata dasar. Kata yang terhasil itu memperlihatkan bentuk dasar dan reduplikannya mempunyai representasi morfem yang seratus peratus sama. Contoh proses yang menggandakan keseluruhan kata dasar sama ada kata dasar itu mengandungi imbuhan ataupun tidak ialah bijak-bijak, anai-anai, dan pemburu-pemburu.

Penggandaan separa ialah proses pengulangan yang menyalin sebahagian daripada elemen atau segmen yang terkandung dalam kata dasar yang boleh terdiri daripada kata tunggal ataupun kata terbitan. Penggandaan separa boleh berlaku di hadapan atau di belakang kata dasar. Penggandaan separa yang berlaku pada kata dasar tunggal lazimnya melibatkan pengulangan suku kata pertamanya, dan letak gandaannya pada bahagian hadapan kata dasar. Misalnya, bagi kata laki-laki, proses pengulangan akan menerbitkan bentuk lalaki, dan proses modifikasi fonologi akan menghasilkan bentuk lelaki, iaitu vokal dalam bentuk gandaan tersebut telah mengalami proses pelemahan menjadikannya vokal e pepet. Contoh kata ganda separa yang lain ialah jejari, tetikus, sesiku, rerambut, dan tetupai.

Kata ganda berentak ialah proses yang menggandakan kata dasar mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar itu. Dalam penggandaan berentak yang dikenal juga sebagai kata ganda menyaling, berima, dan bersajak, seluruh kata dasar digandakan dan bunyi-bunyi tertentu diulang atau diubah. Ada tiga jenis penggandaan berentak, iaitu bentuk pengulangan vokal seperti kaya-raya dan lauk-pauk, bentuk pengulangan konsonan seperti mundar-mandir dan mandi-manda, serta bentuk berentak bebas seperti anak-pinak dan lintang-pukang. Yang perlu difahami tentang cara menulis kata ganda ialah semuanya menggunakan tanda sengkang (-) kecuali kata ganda separa bagi kata dasar tunggal.

PENGAKRONIMAN
Pengakroniman ialah satu proses morfologi yang menerbitkan kata dengan cara mencantumkan elemen-elemen tertentu daripada beberapa kata dasar yang membentuk satu frasa atau kata majmuk. Akronim ialah kependekan kata daripada gabungan beberapa kata dasar dan ditulis serta dilafazkan sebagai kata yang wajar. Misalnya, tabika (taman bimbingan kanak-kanak), kugiran (kumpulan gitar rancak), ubahsuai (ubah sesuai), purata (pukul rat ), dan pawagam (panggung wayang gambar). Selain itu, akronim yang terbentuk daripada gabungan beberapa huruf awal rangkai kata yang disingkatkan, keseluruhannya ditulis dengan huruf besar, misalnya UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris), JIM (Jemaah Islam Malaysia), dan MAS (Malaysian Airline System). Namun begitu, ada kekeliruan yang wujud dalam kalangan pengguna bahasa apabila menyamakan akronim dengan singkatan. Singkatan, seperti STPM, UKM, dan PKNS bukanlah akronim walaupun kependekan tersebut seolah-olah sama dengan UPSI dan UNIMAS. Hal ini demikian kerana akronim tergolong dalam kata fonologi (phonological word) yang mengandungi konstituen fonologi, iaitu suku kata, tetapi singkatan tidak sedemikian. Di samping itu, akronim boleh dilafazkan, sebaliknya singkatan tidak dan disebut satu persatu hurufnya kerana tidak mempunyai suku kata.

PENUTUP
Banyak kepentingan untuk kita memahami disiplin morfologi dan proses-prosesnya yang mencakupi empat disiplin, iaitu pengimbuhan, pemajmukan, penggandaan, dan pengakroniman. Selain dapat memastikan penggunaan bahasa yang lebih berkesan dan cekap, disiplin morfologi ini merupakan tunjang utama dalam Linguistik Tulen yang terdiri daripada fonologi, morfologi, sintaksis, dan semantik. Tanpa pengetahuan tentang morfologi, sukar untuk menghuraikan bahasa dengan mendalam dan terperinci, malah kebanyakan permasalahan bahasa yang berlaku dalam kalangan masyarakat, terutamanya warga pendidik dan pelajar berkaitan dengan hal morfologi dan sintaksis.

Sunday, August 23, 2009

uJiaN iTu NiKMaT, NiKMaT iTu uJiaN










Kelebihan Solat Terawih

1. Kelebihan Solat Tarawih Malam Pertama Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.

2. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kedua Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya.

3. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketiga Para malaikat di bawah 'Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.

4. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempat Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

5. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelima Allah SWT akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjidil Madinah dan Masjidil Aqsa.

6. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenam Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu.

7. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuh Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir’aun dan Hamman.

8. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapan Allah S.W.T mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.

9. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilan Allah S.W.T akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad s.a.w.

10. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesepuluh Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat.

11. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesebelas Ia meninggal dunia di dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.

12. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduabelas Ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.

13. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigabelas Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman sentosa dari sebarang kejahatan dan keburukan.

14. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempatbelas Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih serta Allah S.W.T. tidak akan menyesatkan mereka.

15. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelimabelas Semua malaikat yang memikul ‘Arasy dan Kursi akan berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

16. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenambelas Allah S.W.T. menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

17. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuhbelas Allah S.W.T menuliskan baginya pahala pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.

18. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapanbelas Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).

19. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilanbelas Allah S.W.T akan meninggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.

20. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh Allah S.W.T mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.

21. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh satu Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat dari cahaya.

22. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh dua Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut.

23. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tiga Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya.

24. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh empat Allah S.W.T akan membuka peluang untuk dua puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

25. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lima Allah S.W.T akan mengangkat seksa kubur darinya.

26. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh enam Allah S.W.T akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

27. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tujuh Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.

28. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lapan Allah S.W.T akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat.

29. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh sembilan Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.

30. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigapuluh Allah S.W.T akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kautsar.