Monday, September 28, 2009
Cekup, Cekut ???
Cara memasukkan makanan ke dalam mulut berbeza antara bangsa di negara kita ini. Ada yang menggunakan alat tertentu, dan banyak pula yang tidak menggunakan alat. Orang Melayu, orang India memasukkan makanan ruji mereka ke dalam mulut dengan menggunakan tangan tanpa alat. Orang Cina menggunakan batang sepit yang diperbuat daripada kayu, buluh atau plastik. Para pelancong, khususnya mereka yang dari Barat, seperti orang Inggeris menggunakan sudu dan garpu.
Dalam sesuatu majlis makan yang bersifat rasmi, hadirin daripada kalangan orang Melayu, Cina dan India, lazimnya menggunakan sudu dan garpu. Penggunaan alat ini dikatakan rasmi dan menurut protokol ketika makan.
Sejak dahulu lagi, cara orang Melayu makan menggunakan tangan kanan. Tentulah agak ganjil atau dikatakan kurang manis sekiranya tangan kiri digunakan. Sudu digunakan oleh orang Melayu apabila mereka makan bubur, makan emping padi, sensagun, atau menyuapkan makanan ke mulut bayi.
Jari-jari tangan berperanan membentuk kuncupan untuk menggenggam makanan yang diambil. Bentuk atau saiz genggaman ini pula bergantung pada jenis, bentuk dan kuantiti makanan itu. Kerana bentuk-bentuk yang dikatakan itulah lahirnya beberapa istilah bagi menggambarkan cara makanan itu diambil.
Jika kita mengambil sesuatu makanan dengan hujung jari sahaja, seperti mengambil sedikit garam, sedikit kelapa parut maka dikatakan cekup. Di sesetengah daerah, kata cekup tidak digunakan, dan sebaliknya istilah cekut dan jemput menjadi gantian. Perbuatan cekut ini dapat kita lihat apabila seorang ibu yang mengambil secekut nasi lalu disuapkannya ke dalam mulutnya atau mulut anak kecilnya.
Orang lelaki dewasa yang menghisap rokok menggunakan paip akan mengambil sejemput tembakau kemudian dimasukkannya ke dalam dapur (lubang) di bahagian kepala paipnya. Demikian jua halnya orang perempuan yang menggoreng kuih jemput-jemput. Perempuan ini menggunakan hujung jari bagi menjemput adunan, lalu memasukkannya sejemput demi sejemput ke dalam kuali. Berdasarkan perbuatan inilah maka kuih tersebut dinamai jemput-jemput.
Perbuatan yang hampir serupa dengan maksud cekup, cekut dan jemput ialah cubit. Nama lain yang bersinonim dengan cubit ialah sepit, dan jepit. Mencubit (seperti mencubit pipi) bermaksud menjepit sesuatu dengan menggunakan hujung ibu jari dan hujung jari telunjuk (atau hujung jari-jari yang lain). Jika mengambil sedikit makanan dengan menggunakan kaedah ini dinamai mencubit juga. Makanan tradisi seperti lempeng dicubit secubit demi secubit lalu disuapkan ke dalam mulut. Cara makan begini menunjukkan betapa tertibnya seseorang itu makan.
Orang Melayu tidak akan menggenggam atau mengepal makanan lempeng tadi atau makanan-makanan lain seumpamanya untuk dimakan. Jika ada yang berbuat begitu maka gelojohlah namanya. Cara makan seperti ini dikatakan tidak sopan, atau lebih kesat lagi dikatakan pelahap.
Ada pihak yang tertentu menganggap bahawa cekut dan cubit sama maknanya. Persamaan mungkin terletak pada kuantiti makanan yang diambil melalui kedua-dua cara ini. Ketidaksamaan pula terletak pada penggunaan jari tangan yang melakukan perbuatan cekut dan cubit itu. Orang yang melakukan perbuatan mencekut akan menggunakan hujung-hujung jari yang dikatupkan. Tetapi orang yang mencubit menggunakan ibu jari dan jari telunjuk, atau jari-jari yang lain menyepit makanan yang dicubit itu, tanpa menggunakan kesemua hujung jari.
Bila pula kita menggenggam makanan? Genggam bermaksud memegang makanan seperti keadaan mencengkam. Makanan itu ditutup oleh jari-jari tangan dengan rapat di atas tapak tangan. Orang Melayu, malah orang lain juga, tidak menggenggam nasi yang hendak dimakan, kerana sukar nanti menyuapkannya ke dalam mulut. Nasi yang digenggam itu terlalu banyak kuantitinya, maka sukar pula memasukkannya ke dalam mulut. Nasi itu dijemput dengan jari-jari sejemput demi sejemput.
Namun, ada ketika-ketika tertentu, kita memadatkan nasi, ubi atau sagu yang diparut, dan bahan-bahan mentah lain seumpamanya untuk membentukkannya menjadi bulat bergumpal; kemudian dimasak atau digoreng. Perbuatan menggumpal bahan ini dinamai mengepal. Air batu yang diparut halus juga dikepal hingga padat dengan tangan untuk dijadikan air batu kepal.
Makanan seperti tebu yang tidak dipotong kecil-kecil menurut ruasnya, harus dipegang agar mudah kita menguliti kulitnya yang keras itu dengan gigi. Perbuatan begini dinamai mengunggis atau mengerumit.
Begitulah huraian ringkas tentang beberapa cara kita mengambil makanan. Cara-cara tersebut, sesungguhnya, bergantung pada jenis, bentuk, serta kuantiti makanan yang diambil itu. Semua faktor itu menentukan kita mencekut, mencubit atau mengunggis makan itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment