Ayat majmuk gabungan ialah ayat yang terdiri daripada dua ayat atau lebih yang dijadikan satu dengan cara mencantumkan ayat-ayat tersebut dengan kata hubung seperti dan, tetapi, atau, lalu, sambil, dan sebagainya. Dengan kata-kata lain, ayat gabungan dibentuk dengan menggunakan kata hubung untuk menjadikannya ayat yang lebih besar. Beberapa contoh ayat gabungan:
1. Cikgu Haris dan Cikgu Musa mengajarkan Geografi.
2. Saya makan mi goreng tetapi adik makan mi rebus.
3. Penyanyi itu berdiri lalu bernyanyi.
4. Ayah hendak pergi ke masjid atau ke surau?
Ayat-ayat 1 – 4 terbina daripada dua potong ayat yang lengkap. Ayat ini dinamai ayat tunggal, yang dinamai juga sebagai ayat dasar. Yang dikatakan ayat dasar kerana daripada ayat dasar terbentuknya ayat majmuk. Ayat 1 berasal daripada dua ayat tunggal, iaitu (a) Cikgu Haris mengajarkan Geografi, dan (b) Cikgu Musa mengajarkan Geografi. Kedua-dua ayat ini digabungkan dengan kata hubung dan menjadi ayat 1: Cikgu Haris dan Cikgu Musa mengajarkan Geografi.
Dalam proses penggabungan ayat, beberapa perkara dapat berlaku dalam bahagian-bahagian tertentu. Dalam ayat 2 kesemua bahagian ayat yang digabungkan dikekalkan, yakni ayat (a) Saya makan mi goreng, digabungkan dengan ayat (b) Adik makan mi rebus, dengan kata hubung tetapi menghasilkan ayat: Saya makan mi goreng tetapi adik makan mi rebus.
Jikalau ayat-ayat yang digabungkan itu mempunyai unsur yang sama, maka bahagian unsur yang sama itu tidak perlu diulang, yakni boleh dihilangkan. Kita ambil ayat contoh 3. Ayat 3 berasal daripada gabungan ayat (a) Penyanyi itu berdiri dengan ayat (b) Penyanyi itu bernyanyi, menghasilkan ayat 3 dengan menggunakan kata hubung lalu, seperti yang berikut: Penyanyi itu berdiri lalu bernyanyi
Dalam ayat 4, unsur ayat (a) dan ayat (b) sama melainkan unsur keterangan selepas kata kerja tak transitif pergi (dalam predikat). Apabila ayat (a) dan ayat (b) digabungkan dengan menggunakan kata hubung atau, maka konstituen ayat (b) digugurkan untuk menghasilkan ayat majmuk gabungan: Ayah hendak ke masjid atau ke surau? Proses ini ditunjukkan seperti yang berikut:
(a) Ayah hendak pergi ke masjid? + atau + (b) Ayah hendak pergi*ke surau? - Ayah hendak pergi ke masjid atau ke surau? ( * unsur ayat yang digugurkan)
Kesemua ayat yang digabungkan terdiri daripada jenis ayat yang sama, dan boleh mandiri. Jenis-jenis ayat yang dimaksudkan ialah ayat penyata, ayat perintah dan ayat tanya. Contohnya:
5. Karim makan sambil menonton televisyen. (gabungan dua ayat penyata).
6. Baca teks karangan, kemudian jawab semua soalan. (gabungan dua ayat perintah)
7. Awak hendak lepa atau jem? (gabungan dua ayat tanya)
Harus diingat, jenis-jenis ayat tersebut tidak boleh digabungkan secara berlainan jenis. Misalnya, ayat penyata tidak boleh digabungkan dengan ayat perintah, ayat penyata dengan ayat seruan, dan sebagainya, kerana penggabungan ini akan menghasilkan ayat yang tidak gramatis. Ketidakgramatisan penggabungan ayat yang tidak sejenis ini ditunjukkan seperti yang berikut:
8. *Pergilah masuk ke dalam bilik dan lampu itu bernyala dengan terangnya.
(kesalahan kerana menggabungkan ayat perintah dengan ayat penyata).
9. * Bolehkah saya meminjam wang tetapi awak kedekut.
(kesalahan kerana menggabungkan ayat tanya dengan ayat penyata)
10. * Askar itu garang dan cis, mati engkau aku tembak!
(kesalahan kerana menggabungkan ayat penyata dengan ayat seruan)
Harus diingat, ayat-ayat yang digabungkan dengan kata hubung dan wajar mempunyai hubungan (pertalian) makna untuk menjadikan ayat-ayat tersebut gramatis. Ayat 11 (a) yang berikut mempunyai pertalian makna, manakala ayat 11 (b) tidak.
11. (a) Abang menunggang motosikal dan ayah memandu kereta.
(b) *Abang menunggang motosikal dan kereta ayah rosak.
Kehadiran kata hubung dan berulang-ulang dalam ayat menjadikan ayat tidak gramatis. Perhatikan contoh yang berikut:
12. *Ibu menyapu sampah dan ayah membasuh kereta dan abang membaiki motosikal.
Supaya ayat 12 menjadi betul, gugurkan dan yang pertama dan kekalkan dan yang kedua. Kata hubung dan yang dihilangkan itu digantikan dengan tanda baca koma (,), seperti yang berikut:
12. (a) Ibu menyapu sampah, ayah membasuh kereta dan abang membaiki motosikal.
Akhir sekali, jika kata hubung dan dalam ayat gabungan tidak menerima tekanan, maka kata hubung dan boleh digugurkan, dan tempatnya digantikan dengan tanda koma. Makna ayat tetap tidak berubah. Sebagai contoh, ayat 13 (a) di bawah tidak menekankan kata hubung dan:
13. Kakak membeli ikan dan abang membeli udang galah.
13. (a) Kakak membeli ikan, abang membeli udang galah.
Demikianlah huraian tentang proses penggabungan ayat majmuk gabungan bahasa Melayu. Moga-moga huraian ini bermanfaat kepada para pelajar.
No comments:
Post a Comment