Monday, November 9, 2009
Pilis dan pitis
Oleh Muhammed Salehudin Aman
SEORANG pelajar telah bertanya kepada saya tentang maksud kata pilis. Tanyanya lagi; adakah perkataan ini variasi sebutan kata pilih? Maksudnya, kedua-dua kata itu boleh saling berganti untuk maksud yang sama. Teringat oleh saya akan seuntai bait lagu Melayu yang bunyinya lebih kurang:
Direnjis-renjis dipilis
Ditepungilah tawar
Hai beras kunyit ditabur
Disiram si air mawar.
Apakah maksud perkataan pilis? Ada dua maksud perkataan pilis ini. Pertama, pilis ialah ubat yang dipalit atau ditepekkan di dahi. Pada zaman dahulu, ada sejenis ubat yang dikenal sebagai ubat guna-guna atau ubat pengasih. Lazimnya, ubat ini dibuat daripada minyak. Jika seseorang itu berkehendak akan seseorang gadis supaya gadis itu jatuh kasih kepadanya, maka dicalitkan sedikit ubat guna-guna itu pada tubuh si gadis. Perbuatan “mencalit” ini disebut pilis atau palit.
Maksud pilis yang kedua pula ialah garis pangkah di dahi untuk tujuan menghindarkan sebarang penyakit. Dalam perubatan tradisi orang Melayu, apabila seseorang itu jatuh sakit, misalnya terkena sampuk orang halus, maka seketul kunyit hidup dikerat beberapa kerat; kemudian dibacakan jampi, lalu dengan kunyit itu, ditulis garis silang bentuk “X” di dahinya. Kadangkala, bukan sahaja pada dahi tetapi di bahagian lain tubuh pesakit seperti di kedua-dua tangan atau lengannya. Tujuannya sebagai tangkal penyakit.
Di sesetengah tempat, ubat pilis ini berwarna hitam yang juga dipalitkan atau dilekatkan di dahi dan di pelipis pesakit sakit kepala, atau wanita yang baru bersalin.
Pipis yang sebutan lengkapnya “berpipis” bermaksud sudah dilumatkan, atau sudah dihaluskan dengan batu giling/batu tumbuk. Perbuatan memipis itu dinamai juga “memipik”. Lazimnya, barang yang dipipis atau dipipik itu lada atau rempah. Bukankah dalam peribahasa Melayu terungkap kalimat “Burung terbang dipipiskan lada”? Maksud peribahasa ini bersiap sedia untuk meraih hasil yang belum diperoleh.
Pitis pula ialah sejenis mata wang yang digunakan pada zaman dahulu. Pitis ini dibuat daripada tembaga atau timah nipis yang berlubang bulat di tengahnya. Di negeri Kelantan dan di ranah Minangkabau, pitis disebut sebagai pitih.
Seperti halnya dengan kata pilis, kata pitis juga banyak terakam dalam peribahasa Melayu; antaranya termasuklah “Pitis habis, kemahuan tiba” (ertinya: Kemahuan datang setelah jatuh miskin). Jika dikatakan “Buang pitis” maksudnya perbuatan mempersembahkan wang kepada wali atau orang keramat untuk mendapatkan kepastian tentang sesuatu hal atau nasib seseorang.
Kata yang bersinonim dengan pitis ialah picis. Kata picis merupakan bahasa arkaik, yakni bahasa yang tidak ghalib digunakan lagi. Picis berupa wang yang bernilai sepuluh sen yang bersamaan dengan satu ketip. Jadi nilai sepuluh sen (pitis) ialah satu ketip.
Apabila kata picis diakhiri akhiran –an, maka terbitlah kata picisan. Picisan bermaksud sesuatu yang rendah mutunya. Lihatlah maksud picisan dalam ayat-ayat contoh yang berikut ini:
1. Mereka lebih suka membaca majalah picisan daripada majalah ilmiah.
2. “Sekarang, banyak benar roman picisan terjual di kios buku.” kata Ramli kepada Rahman.
Kata pisis pula berasal daripada bahasa Cina yang sama maksudnya dengan kata picis dan pitis, iaitu benda yang berkaitan dengan wang logam. Jadi, baik pitis, picis atau pisis maksudnya sama, iaitu kepingan wang logam yang digunakan pada zaman dahulu.
Satu lagi bentuk kata lain yang hampir sama bunyi sebutannya dengan kata pisis ialah pises. Pises ialah lambang yang kedua belas dalam zodiak bagi orang yang dilahirkan antara julat 21 Februari hingga 20 Mac.
Pinis ialah ringkasan daripada ejaan lengkap kata tempinis. Tempinis sejenis tumbuhan (kayu) yang keras batangnya dan tahan lama. Kayu tempinis disebut juga sebagai kepinis. Kayu tempinis ini banyak jenisnya, seperti tempinis hitam, tempinis merah, tempinis putih. Para pelajar harus berhati-hati apabila mengeja kata pinis ini. Jika kedua-dua huruf vokal dalam suku kata pertama dan suku kata kedua kata itu digantikan dengan huruf vokal e taling, terbentuklah ejaan penes. Penes ialah sejenis kapal yang saiznya kecil.
Demikianlah huraian tentang kata pilis (dan kata-kata lain yang hampir serupa bentuknya). Nyatalah bahawa kata pilis bukan bermaksud pilih; dan oleh itu pilis dan pilih tidak boleh saling berganti, kerana kedua-dua bentuk kata ini tidak bersinonim. Semoga huraian ini dapat menjawab soalan pelajar tadi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment