Oleh MUHAMMED SALLEHUDIN AMAN
PENGGUNAAN kata sendi nama waktu dalam konteks berbahasa, baik bahasa lisan mahu pun bahasa tulisan, masih kerap menimbulkan permasalahan yang sungguh menonjol. Dengan melihat kesalahan-kesalahan bahasa yang berkaitan dengan penggunaan kata sendi ini, dapat kita rumuskan seolah-olah pengguna bahasa tidak bijak memilih kata sendi nama yang sesuai untuk menyatakan sesuatu hal, khususnya hal yang bersabit dengan faktor waktu.
Pada sesetengah orang, kesalahan-kesalahan tersebut hanyalah permasalahan kecil sahaja, yang tidak pula menjadikan bahasa itu rancu. Anggapan begitu tidak harus dijadikan alasan untuk membiarkan bentuk bahasa yang sedemikian rupa. Ketidakprihatinan kita terhadap usaha membetulkannya akan mencetuskan bentuk bahasa yang tidak keruan kerana bahasa yang tidak menurut acuannya.
Tulisan pada kali ini berfokus pada kesalahan penggunaan beberapa kata sendi nama waktu bahasa Melayu.
Kata sendi nama dari, ke, pada, hingga, sejak (semenjak) digunakan di hadapan kata atau frasa nama yang menunjukkan waktu (masa). Selain itu, kata sendi dari, ke dan pada digunakan juga di hadapan kata nama yang menunjukkan tempat dan arah, seperti dalam frasa dari atas, dari Kajang, ke kedai, ke utara, ke sisi, pada Aiman,dan pada pipinya .
Kata sendi dari menjadi penanda frasa sendi nama yang menyatakan waktu. Hal ini ditunjukkan seperti dalam ayat yang berikut:
1. Mesyuarat itu berlangsung dari pukul 2.00 hingga 4.30 petang.
2. Penduduk kampung itu berkawal dari waktu Maghrib hingga waktu Subuh.
Kata sendi dari tidak boleh ditukar ganti dengan kata sendi nama daripada kerana kata sendi daripada tidak digunakan sebagai penanda waktu melainkan untuk menyatakan hal-hal seperti yang berikut:
(a) Punca bagi manusia, haiwan atau benda (daripada Ain, daripada Jabatan Perdana Menteri)
(b) asal kejadian dan sumber (daripada muntah lembu, daripada emas)
(c) unsur perbandingan atau perbezaan (lebih bijak daripada Sail)
(d) unsur pecahan atau bahagian (separuh daripada keseluruhannya)
(e) benda dan hal yang abstrak ( daripada pandangannya itu)
Oleh itu, ayat-ayat yang berikut ini tidaklah tepat penggunaan kata sendi nama daripada untuk waktu:
3. *Saya menunggu kamu daripada pukul 3.00 petang.
(seharusnya: ... dari pukul 3.00 petang)
4. *Syahmi tidur daripada pukul 8.00 pagi tadi.
(seharusnya: ...dari pukul 8.00 pagi tadi)
Kata sendi hingga digunakan di hadapan kata/frasa nama untuk membawa maksud perihal peringkat dan had masa, atau jarak waktu tentu. Tidak seperti kata sendi nama dari, kata hingga dapat bertukar ganti dengan kata sendi nama sampai yang juga menunjukkan konsep perhinggaan masa. Ayat contohnya:
5. (a) Mereka bergadang hingga dinihari.
(b) Mereka bergadang sampai dinihari.
6. (a) Pasukan ini mara hingga peringkat separuh akhir.
(b) Pasukan ini mara sampai peringkat separuh akhir.
Sebagai penanda jarak waktu tertentu, yakni merujuk lamanya tempoh dari detik permulaan sesuatu kejadian hingga detik penghabisan kejadian yang sama, kata sendi nama dari dan hingga atau sampai digunakan bersama. Contoh penggunaannya:
6. Petani gigih itu bekerja dari pukul 7.00 pagi hingga pukul 5.00 petang.
7. Tawaran barangan harga rendah itu bermula dari
1 November hingga 30 November 2009.
Oleh sebab kata sendi hingga dan sampai sedia mengandungi maksud titik penghabisan berlakunya sesuatu kejadian itu, maka kata sendi nama ke tidak perlu lagi mengikuti kata sendi nama hingga dan sampai itu. Ayat-ayat yang berikut ini tidak gramatis tatabahasanya:
8. (a) *Ayahnya keluar dari awal pagi hingga ke lewat malam.
(a) *Ayahnya keluar dari awal pagi sampai ke lewat malam.
Kata sendi nama sampai tetap juga menunjukkan titik penghabisan berlakunya sesuatu kejadian apabila digunakan tanpa berpasangan dengan kata sendi dari. Contohnya:
9. Pegawai itu bekerja sampai pukul 5.00 petang.
Selain digunakan untuk manusia, binatang, benda abstrak, dan benda konkrit tertentu, kata sendi nama pada digunakan juga untuk menunjukkan waktu. Hal ini ditunjukkan penggunaannya dalam ayat yang berikut:
10. Rombongan kebudayaan itu tiba pada pukul 10.00 lagi.
11. Kamus telapak itu ada pada Husna. (manusia)
12. Pada pendapat saya, rancangan itu baik. (abstrak)
13. Minyak angin itu disapukan pada kulitnya.
Harus diingat, kata sendi nama pada tidak boleh bersilih ganti dengan kata sendi di, kerana di digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Oleh itu, ayat-ayat contoh yang berikut ini salah tatabahasanya.
14. *Suasana di pagi hari raya sungguh meriah.
(seharusnya: pada pagi...)
15. *Di masa kemelesetan ekonomi ini, kita harus berhemat berbelanja.
(seharusnya: Pada masa ...)
Sebagai kata sendi nama, kata sejak/semenjak membawa maksud penanda waktu, yakni menyatakan makna bermula dari sesuatu masa tertentu, maka mestilah digunakan di hadapan kata nama dan frasa nama. Contoh penggunaannya:
16. Adib tinggal bersama-sama dengan bapa angkatnya sejak lima tahun yang lalu.
17. Semenjak kematian isterinya beberapa bulan ini, beliau kelihatan sugul sahaja.
Kata sendi nama yang menunjukkan waktu seterusnya ialah kata sendi ke. Contoh penggunaan kata tersebut dalam ayat adalah seperti yang berikut:
18. Pemeriksaan cukai jalan kenderaan akan diadakan dari
semasa ke semasa.
Dalam hal frasa sendi nama dari semasa ke semasa ini boleh sahaja disebut dari satu masa ke satu masa kerana awalan se itu membawa maksud satu. Salah pula jika kata bilangan satu atau se tidak digunakan pada kedua-dua kata nama itu sekali gus. Contoh-contoh kalimat yang salah:
19. *Pembangunan negara akan dilaksanakan dari masa ke semasa.
20. *Senarai daftar pengundi akan diperkemas dari semasa ke masa.
21. *Pemeriksaan kebersihan gerai-gerai makanan akan dilakukan oleh pihak Penguat Kuasa Perbandaran dari masa ke satu masa.
Penggunaan pasangan kata dari yang diikuti sendi nama ke tidak boleh digantikan dengan pasangan daripada dengan kepada seperti yang berikut:
22. *Pemeriksaan cukai jalan kenderaan akan diadakan daripada masa kepada semasa.
atau
23. *Daripada sehari kepada sebulan; daripada bulan kepada tahun usia kita akan bertambah.
Begitulah huraian tentang penggunaan kata sendi nama yang berkaitan atau yang menunjukkan waktu. Hakikat yang jelas ialah bahawa kata sendi nama waktu ini digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan hal waktu.
No comments:
Post a Comment