Monday, November 9, 2009
Aktif, aktiviti dan aktivisme
Oleh Muhammed Salehudin Aman
KATA adjektif aktif berasal daripada kata bahasa Inggeris active. Kata ini mendukung beberapa maksud, iaitu pertama, bertenaga dan giat (berkenaan orang, tubuh, otak). Yang kedua, bermakna pantas, deras atau cepat; dan yang ketiga ialah banyak menjalankan (sesuatu), atau terlibat dalam kegiatan-kegiatan. Ketiga-tiga maksud yang dinyatakan itu ditunjukkan dalam ayat-ayat contoh yang berikut:
1. Haris ialah murid Tahun Enam Bestari yang aktif.
2. Anggota Kadet Bomba itu bergerak dengan aktif sebaik-baik sahaja menerima arahan.
3. Aiman mengambil bahagian yang aktif dalam kegiatan kokurikulum di sekolahnya.
Dalam ketiga-tiga ayat contoh di atas, kata aktif dapat digantikan dengan kata cergas, kerana makna kata cergas dalam ketiga-tiga ayat tersebut sudah merangkumi makna active dalam bahasa Inggeris.
1. (a) Haris ialah murid Tahun Enam Bestari yang cergas.
2. (a) Anggota Kadet Bomba itu bergerak dengan cergas sebaik-
baik sahaja menerima arahan.
3. (a) Aiman mengambil bahagian yang cergas dalam kegiatan
kokurikulum di sekolahnya.
Penggunaan kata cergas dapat menunjukkan sifat kemelayuan ayat-ayat tersebut itu.
Kata aktif, yang digunakan dalam bidang ilmu linguistik, menunjukkan subjek ayat melakukan sesuatu terhadap objek. Maknanya, objek mengalami (menderita) oleh makna kata kerja aktif tersebut. Contohnya:
4. Hafiz memukul bulu tangkis dengan raketnya.
Dalam ayat 4, pelakunya, iaitu subjek ayat (Hafiz) melakukan perbuatan pukul terhadap objek ayat (bulu tangkis), dan objek menerima kata kerja aktif “memukul”. Oleh itu, ayat 4 itu dikatakan ayat aktif.
Dalam bidang ekonomi pula, khususnya yang berkaitan dengan pasaran saham, kata aktif juga kerap digunakan. Contohnya:
5. Warta Perdana menyiarkan berita tentang tujuh saham yang paling aktif apabila Bursa Saham ditutup.
Satu lagi makna kata aktif ialah giat. Perhatikan penggunaannya dalam ayat yang berikut:
6. Dato’Asyraf aktif dalam pergerakan politik. Atau
6. (a) Dato’Asyraf giat dalam pergerakan politik.
Daripada kata aktif, terbit bentuk kata aktiviti. Kata ini merupakan padanan daripada kata bahasa Inggeris activity.
7. Puan Rosmawati berminat dalam aktiviti sosial, sukan dan budaya.
Dalam bahasa Melayu, activity bermaksud kegiatan. Jadi, kata aktiviti dalam ayat 7 itu boleh digantikan dengan kegiatan.
Kata aktiviti digunakan juga dalam beberapa kata istilah khusus bidang tertentu, seperti dalam bidang pentadbiran, bidang sains, bidang linguistik, dan lain-lain. Misalnya, dalam bidang pentadbiran, perniagaan dan ekonomi ada istilah seperti akaun aktiviti (activity account), nisbah aktiviti (activity ratio) dan persampelan aktiviti (activity sampling).
Dalam bidang sains, dan linguistik terdapat istilah nitrogen aktif (active netrogen), jisim aktif (active mass), dan ayat aktif (active sentence).
Orang yang melibatkan diri dalam sesuatu kegiatan secara aktif digelar aktivis (activist). Contoh ayat:
8. Pada setiap kali sambutan ulang tahun kemerdekaan, kerajaan
memberikan penghormatan yang istimewa kepada tokoh-tokoh yang menjadi aktivis gerakan kemerdekaan negara.
Kata nama terbitan bagi kata aktif ialah keaktifan, yang bermaksud perihal bertindak dengan cergas. Ayat contohnya:
9. Kerana keaktifan dan semangat juangnya yang kental, Dato’ Murad sentiasa dipilih sebagai presiden parti pada setiap kali mesyuarat agung parti tersebut diadakan.
Seperti halnya dengan kata aktiviti, kata keaktifan juga digunakan untuk istilah sains. Misalnya, penalar keaktifan (activity constant), dan pekali keaktifan (activity coefficient).
Akhir sekali ialah aktivisme (activism). Aktivisme bermaksud amalan yang berteraskan tindakan kekerasan untuk mencapai sesuatu tujuan, khususnya tujuan politik.
Demikianlah huraian tentang kata aktif, iaitu salah satu kata serapan daripada kata bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu. Sesungguhnya amat digalakkan, kita menggunakan kata dalam bahasa Melayu yang sama maksudnya dengan kata aktif serta kata-kata terbitan daripadanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment