Friday, October 8, 2010

Kata Majmuk Endosentrik

PEMAJMUKAN merupakan satu proses membentuk perkataan dengan cara menggabungkan dua atau lebih perkataan, dan perkataan baharu yang terbit daripadanya membawa konsep atau makna yang berlainan daripada makna asal perkataan-perkataan. Contohnya, beg tangan berbeza makna daripada beg dan tangan, kereta api berbeza maknanya daripada kereta dan api, setiausaha berbeza maknanya daripada setia dan usaha.

Dari segi bentuk, terdapat persamaan antara kata majmuk dengan frasa kerana kedua-duanya terbentuk daripada gabungan dua atau lebih perkataan. Kata majmuk bertindak sebagai satu unit, iaitu bentuknya tidak boleh menerima sebarang penyisipan unsur lain. Bagi frasa, di tengah-tengahnya boleh disisipkan dengan unsur lain tanpa mengubah makna frasa itu.

Misalnya, frasa tangan kanan, baju biru dan rumah besar boleh disisipkan perkataan yang menjadi tangan yang kanan, baju yang biru, dan rumah yang besar. Tetapi kata majmuk rumah sakit, kerusi malas dan kereta api tidak boleh diubah menjadi rumah yang sakit, kerusi yang malas dan kereta yang api.

Kata majmuk dieja terpisah, misalnya, gambar rajah, alat tulis, tengah hari, reka bentuk, kertas kerja dan lain-lain. Namun terdapat sebilangan kecil bentuk kata majmuk yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan yang utuh, walaupun bentuk kata tersebut ternyata mengandungi dua kata dasar. Perkataan yang demikian tetap dieja bercantum sebagai satu perkataan. Bentuk-bentuk kata tersebut ialah antarabangsa, bumiputera, olahraga, tanggungjawab, setiausaha, jawatankuasa, matahari dan sebagainya.

Kata majmuk yang menerima imbuhan disebut kata makmuk kompleks. Antara contohnya, persuratkhabaran, bertanggungjawab, ketidakseimbangan, dianaktirikan, dan lain-lain. Kata majmuk yang menerima imbuhan apitan mestilah ditulis serangkai sebagai satu perkataan. Contoh: ke + ibu bapa + an¬ = keibubapaan. Di + anak tiri + kan = dianaktirikan, Sebaliknya, jika kata majmuk itu menerima imbuhan awalan atau akhiran sahaja, maka ejaannya tidak ditulis serangkai sebagai satu perkataan. Contohnya: beribu bapa (ber+ibu bapa) dieja beribu bapa, yakni perkataan ibu bergabung dengan awalan ber- manakala perkataan bapa terpisah. Demikian halnya dengan kata majmuk me + kenal pasti = mengenal pasti.

Ada dua jenis kata majmuk dalam bahasa Melayu. Kata majmuk itu ialah kata majmuk endosentrik dan kata majmuk eksosentrik. Kata majmuk endosentrik ialah kata majmuk yang salah satu unsur kata yang membentuknya dapat menggantikan fungsi kata majmuk itu dalam ayat. Teliti ayat contoh berikut:

1. Kereta api itu merah

2. Beg tangannya besar.

3. Tanah itu hak milik kami.

Kata majmuk dalam ayat (1) , (2) dan (3) di atas ialah kereta api, beg tangan dan hak milik. Semua kata majmuk itu berfungsi sebagai subjek. Salah satu perkataan yang membentuknya boleh menggantikan fungsi kata majmuk itu. Misalnya, kata majmuk kereta api dalam ayat (1) dapat dipisahkan dan masing-masing perkataan kereta dan api boleh berfungsi sebagai subjek baharu dalam dua ayat yang berasingan seperti yang berikut:

1. (a) Kereta itu merah atau

(b) Api itu merah.

Beg dan tangan dalam ayat (2), dan hak serta milik juga dalam ayat (3) dapat menjadi subjek dalam ayat yang baharu seperti yang berikut:

2. (a) Begnya besar atau

(b) Tangannya besar.

3. (a) Tanah itu hak kami. atau

(b) Tanah itu milik kami.

Dalam keadaan seperti inilah kata majmuk kereta api, beg tangan dan hak milik dikatakan kata majmuk endosentrik.

Kata majmuk eksosentrik pula ialah kata majmuk yang tidak ada daripada perkataan-perkataan yang membentuknya yang boleh menggantikan fungsi seluruh kata majmuk itu dalam ayat. Telitilah contoh kata majmuk eksosentrik tanggungjawab, setiausaha dan terima kasih dalam ayat-ayat contoh berikut:

4. Tanggungjawab saya berat.

5. Setiausaha mesyuarat belum tiba lagi.

6. Saya ucapkan terima kasih.

Ayat-ayat (4), (5) dan (6) tidak boleh diubah menjadi ayat 4 (a), (b), 5 (a), (b) dan 6 (a), (b)

4. (a) *Tanggung saya berat atau

(b) *Jawab saya berat.

5. (a) *Setia mesyuarat belum tiba lagi atau

(b) *Usaha mesyuarat belum tiba lagi

6. (a) *Saya ucapkan terima atau

(b) *Saya ucapakan kasih.

Oleh yang demikian, dapatlah dikatakan bahawa kata majmuk tanggungjawab, setiausaha dan terima kasih ialah kata majmuk eksosentrik.

Begitulah perbezaan antara kata majmuk endosentrik dengan kata majmuk eksosentrik. Semoga anda mendapat kefahaman yang jelas tentang kedua-dua jenis kata majmuk ini.

No comments:

Post a Comment