Sunday, January 24, 2010

“Cuma” – Perobah Makna Ayat

Oleh MUHAMMED SALLEHUDIN AMAN

KATA cuma merupakan jenis ‘kata penegas’ dalam golongan kata tugas bahasa Melayu. Kata penegas ialah bentuk kata yang digunakan untuk menguatkan sesuatu kenyataan dalam ayat. Kata penegas dapat dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu bentuk kata partikel dan bentuk kata akar.

Contoh kata partikel ialah lah, kah, tah, dan pun, dan contoh kata akar ialah juga, jua, lagi, hanya, sahaja, memang, dan cuma. Jika kata penegas partikel menekankan maksud perkataan yang bercantum dengannya, kata penegas berbentuk akar pula menekankan subjek atau predikat ayat, termasuklah unsur keterangan dalam sesuatu ayat.

Makna sesuatu ayat boleh berubah jika mana-mana satu konstituen yang hadir sebagai unsur binaan ayat itu berbeza-beza letaknya. Lazimnya, konstituen atau unsur kata yang berkenaan terdiri daripada kata tugas yang berfungsi sebagai penegas subjek atau predikat.

Kata penegas cuma bermaksud “hanya”, “melainkan”, dan “semata-mata”, “yang satu-satunya”, “sekadar”, dan “cuming”. Maksud yang demikian ini terkandung dalam ayat contoh yang berikut: Aku cuma anak pungut, tidak dapat berbuat banyak, dan ayat: Saya datang cuma kerana saudari.

Selain itu, kata cuma juga membawa maksud “tidak ada yang lain (sendirian)”. Maksud yang demikian itu, dapat difahami melalui ayat: Cuma dia yang datang, tidak ada yang lain.

Telah ditegaskan bahawa perubahan makna ayat boleh berlaku apabila satu perkataan tertentu dalam ayat dipindahkan tempat letaknya. Perkataan cuma yang menjadi unsur dalam binaan ayat dapat mengubah makna ayat jika kedudukannya dalam ayat itu berubah-ubah. Ayat: Zawiyah menemui Zaidah di rumah ibunya pada hari Jumaat mengandungi makna yang cukup jelas, iaitu menerangkan perihal Zawiyah menemui Zaidah di rumah ibunya (ibu Zaidah), dan perbuatan menemui itu dilakukan pada hari Jumaat. Teranglah bahawa tiada penegasan yang khusus dalam bahagian-bahagian tertentu ayat tersebut sama ada pada bahagian frasa subjek mahupun bahagian predikat ayat.

Jika perkataan cuma diletakkan di tempat yang berbeza-beza dalam ayat itu, sudah tentu maknanya berbeza-beza pula. Telitilah ayat yang sama dengan cuma berada pada tempat yang berbeza-beza.

1. Cuma Zawiyah menemui Zaidah di rumah ibunya pada hari Jumaat.

2. Zawiyah cuma menemui Zaidah di rumah ibunya pada hari Jumaat.

3. Zawiyah menemui cuma Zaidah di rumah ibunya pada hari Jumaat.

4. Zawiyah menemui Zaidah cuma di rumah ibunya pada hari Jumaat.

5. Zawiyah menemui Zaidah di rumah ibunya cuma pada hari Jumaat.

Ayat yang pertama membawa maksud bahawa orang yang bernama Zawiyah sahajalah yang melakukan perbuatan menemui itu; bukan orang lain. Letak kata cuma dalam ayat yang kedua telah mengubah makna ayat yang pertama. Ayat yang kedua ini membawa makna bahawa Zawiyah menemui, bukan memukul, bukan mencubit Zaidah.

Ayat yang ketiga pula berubah maksudnya lagi kerana perubahan letak perkataan cuma. Ayat tersebut bermakna bahawa Zawiyah menemui Zaidah sahaja, bukan perempuan lain. Dalam ayat yang keempat pula, penegasan terletak pada tempat pertemuan antara Zawiyah dengan Zaidah, iaitu di rumah ibunya, bukan di rumah orang lain.

Ayat yang kelima, iaitu Zawiyah menemui Zaidah di rumah ibunya cuma pada hari Jumaat menegaskan waktu pertemuan itu terjadi. Ayat yang kelima ini menerangkan bahawa Zawiyah menemui Zaidah pada hari Jumaat, bukan hari Khamis atau hari Sabtu, atau hari-hari yang lain selain hari Jumaat.

Kita dapat juga melihat perubahan makna kelima-lima ayat yang di atas itu jika perkataan cuma digantikan dengan perkataan-perkataan lain seperti daripada kata penegas hanya, memang; kata bantu sudah, pernah, sedang, akan; atau kata nafi tidak, dan sebagainya.

Demikianlah wujudnya perubahan makna dalam sesuatu ayat apabila sesuatu perkataan yang menjadi unsur binaan ayat itu diletakkan di tempat yang berbeza-beza.

“Ada” sebagai Kata Penegas

Oleh MUHAMMED SALLEHUDIN AMAN

KATA penegas dalam bahasa Melayu disebut juga partikel. Partikel ialah sejumlah perkataan yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat.

Ayat yang mengandungi kata penegas disebut ayat penegas kerana mengandungi sesuatu penegasan tentang sesuatu perkara. Kita mengenal sesuatu ayat penegas itu melalui adanya kata penegas dalam binaan predikat ayat. Dengan adanya kata penegas itu, hal atau perkara yang hendak ditekankan, atau yang hendak diutamakan dapat disampaikan dengan jelas.

Selain partikel -kah, -lah, -tah (penegas frasa predikat, dan bahagian-bahagiannya), juga, jua, pun, sahaja, lagi, dan memang (penegas frasa subjek, dan frasa predikat), kata kerja tak transitif ada juga dapat berfungsi sebagai penegas ayat.

Sebagai penegas, ada menjadi unsur dalam binaan predikat ayat. Ayat yang mengandungi kata ada dinamai ayat penegas. Perhatikan penggunaan kata penegas ada dalam ayat-ayat contoh yang berikut:

1. Saya / ada bersamanya ketika itu.

2. Dia / ada mengatakan hal itu kepadanya.

Dalam ayat (1) dan (2), kata penegas ada, yang menjadi unsur utama predikat ayat digunakan untuk menegaskan kesungguhan sesuatu hal. Hal demikian itu terkandung dalam makna frasa kerja ayat (1) dan (2), iaitu ada bersamanya, dan ada mengatakan. Jadi, untuk menegaskan frasa kerja, maka kata penegas ada dapat digunakan.

Bagaimana pula halnya untuk menegaskan frasa nama, frasa adjektif dan frasa sendi nama? Untuk frasa adjektif dan frasa sendi nama, kata penegas ada perlu ditambahkan dengan partikel di belakangnya, lalu membentuk kata adalah.

Harus diingat, dalam golongan kata bahasa Melayu, kata adalah ialah kata pemeri. Fungsi kata pemeri tidak lain daripada berfungsi sebagai unsur yang menjadi pemeri hal selain sebagai perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Dengan kata lain maksud pemerian merupakan suatu penegasan. Hal demikian dapat kita perhatikan dalam ayat-ayat contoh yang berikut:

3. Selendang sutera ini adalah untuk kekasihnya.

(adalah diikuti oleh frasa sendi nama, dan penegas frasa sendi nama)

4. Pendapatnya adalah tepat.

(adalah diikuti oleh frasa adjektif, dan penegas frasa adjektif)

Untuk frasa nama, kata pemeri ialah, bukan adalah digunakan kerana penggunaan ialah menunjukkan pemerihalan secara persamaan, atau ekuatif. Oleh itu, untuk maksud yang demikian itu, ialah hadir di hadapan frasa nama. Contohnya dalam ayat:

5. Wanita itu ialah jurujual.

(ialah diikuti oleh frasa nama, dan penegas frasa nama)

Untuk tujuan pertanyaan pula, partikel -kah digabungkan dengan kata ada, dan ia membentuk kata tanya adakah dan iakah. Partikel -kah pada kata ada, ia bertujuan semata-mata untuk menegaskan hal yang ditanyakan. Lihatlah tanya jawab yang berikut yang menunjukkan cara kata penegas tanya itu digunakan:

6. Adakah Nasir datang ke sini?

Ya, Nasir ada datang ke sini.

7. Adakah berita itu benar?

Ya, berita itu adalah benar.

8. Iakah orang itu guru baru?

Ya, orang itu ialah guru baru.

Harus diingat bahawa kata tanya apakah tidak boleh dijadikan kata penegas tanya seperti adakah atau iakah. Perhatikan betapa janggalnya ayat tanya yang menggunakan kata tanya apakah dalam ayat tanya yang berikut:

9. *Apakah keluarganya menerima pinanganmu?

Seharusnya: Adakah keluarganya menerima pinanganmu?

10. *Apakah orang itu mantan pengetua?

Seharusnya: Iakah orang itu mantan pengetua?

11. *Apakah bandar Melaka ibu negeri Melaka?

Seharusnya: Adakah bandar Melaka ibu negeri Melaka?

Begitulah huraian tentang bentuk kata ada yang berfungsi sebagai kata penegas dalam ayat bahasa Melayu.