Friday, October 8, 2010

Bahasa Kiasan


Bahasa Kiasan ialah ungkapan yang maknanya tidak diketahui daripada makna perkataan itu sendiri atau daripada susunan tatabahasanya. Dengan kata yang lain, maknanya tidak 100% oleh makna kata-kata dalam binaan bahasa kiasan tersebut. Dalam bahasa kiasan, sesuatu perkataan, frasa atau ayat mempunyai maksud yang berlainan dengan makna harfiah kata-kata yang membinanya.

Dalam bahasa kiasan, kita membuat perbandingan akan sesuatu perkara dengan benda yang lain. Perbandingan ini dibuat melalui bandingan yang nyata dengan atau tanpa menggunakan kata bandingan tertentu. Kita hanya mengiaskan sesuatu yang dimaksudkan itu dengan benda atau perkara yang lain.

Pendeta Za’ba mengatakan bahawa bahasa kiasan ialah bahasa yang mencakapkan sesuatu perkara dengan mengiaskannya kepada perkara lain, sama ada dengan menyebut bandingan antaranya atau dengan tiada menyebutkan bandingan lagi; tujuannya supaya menambahkan terang sesuatu yang dikatakan atau diceritakan dan menguatkan makna. Inilah keistimewaan bahasa kiasan.

Contoh bahasa kiasan yang menyatakan bandingan, antaranya termasuk jari seperti susun sirih, kuncup seperti sulur bakung, manis umpama lautan madu, tinggi macam galah, dan tumit umpama telur dikupas. Bahasa kiasan yang tidak menyebutkan perbandingan ialah abu jahal, mat jenin, ayam tambatan, pelanduk dua serupa dan puteri lilin.

Bentuk bahasa kiasan bahasa Melayu dapat digolongkan kepada dua golongan, iaitu kiasan jenis peribahasa dan kiasan jenis bukan peribahasa. Antara kedua-dua jenis bahasa kiasan ini, terdapat perbezaan yang nyata dari segi maksud. Bahasa kiasan jenis peribahasa mempunyai makna khas, iaitu tidak bergantung pada konteksnya. Misalnya makna kaki ayam, anak emas, dan langkah kanan tetap tidak berubah kendatipun dalam konteks apa-apa sekalipun.

Selain itu, bahasa kiasan peribahasa mempunyai makna selapis dan makna dua lapis. Yang bermakna selapis dapat terus difahami apabila kita membacanya. Misalnya biar lambat asal selamat; sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit; dan hendak seribu daya, tak hendak seribu upaya bermakna selapis kerana tiada makna yang tersirat daripada unsur kata yang menjadi binaan bahasa kiasan tersebut.

Sebaliknya, bahasa kiasan dua lapis pula menggunakan gambaran lain bagi membayangkan maknanya. Misalnya ular yang menyusur akar itu tidak akan hilang bisanya; seperti talam dua muka dan bagai bajak wangkang makan diangkat. Semua peribahasa yang tersenarai mempunyai maksud yang khas. Ular yang menyusur akar, tidak akan hilang bisanya bermaksud orang besar yang merendahkan diri tidak akan jatuh martabatnya, seperti talam dua muka bermakna orang yang berbuat baik kepada dua orang berseteru. Peribahasa seperti bajak wangkang makan diangkat pula bererti seseorang yang gemar dipuji orang.

Pengucapan yang menggunakan bahasa kiasan merupakan pengucapan yang halus dan dapat meningkatkan imej seseorang apabila orang itu menggunakannya dalam pertuturan. Mereka yang menggunakan bahasa kiasan sewaktu berbicara dengan orang lain digolongkan sebagai orang yang berbudi bahasa serta bijak berbahasa. Hal ini begitu jelas apabila wujudnya bahasa kiasan seperti ke sungai besar yang bermaksud ingin membuang air besar, dan bahasa kiasan datang bulan yang bermaksud datang haid. Pembicara yang bijak berbahasa kiasan sudah tentu memilih bahasa kiasan ini untuk menggantikan kata-kata yang kurang enak didengar.

Namun demikian terdapat juga unsur kata bahasa kiasan yang diubah dan disesuaikan dengan faktor budaya dan tuntutan bahasa Melayu itu sendiri. Misalnya, ungkapan kiasan ke sungai besar sudah jarang-jarang kita dengar; sebaliknya digantikan dengan buang air besar.

Apakah tujuan penggunaan bahasa kiasan ini dalam percakapan? Tujuannya adalah untuk menajamkan percakapan dan memberikan kesan yang mendalam pada hati dan fikiran pendengar. Selain sebagai perhiasan kerana bahasa kiasan banyak menggambarkan nilai estetika yang dikaitkan dengan alam semesta, penggunaannya merupakan satu cara untuk mengelakkan seseorang menyebut sesuatu perkara yang boleh menyebabkan rasa malu, takut atau kurang manis apabila didengar oleh orang lain. Hal ini melibatkan nilai kesantunan berbahasa seseorang.

Ada pelbagai jenis bahasa kiasan, seperti kiasan asal, kiasan berpindah, kiasan terus, kiasan bersajak, kiasan berbunga, kiasan pemanis/halus, kiasan melompat, kiasan melarat, dan kiasan berkacau. Jenis-jenis kiasan ini akan saya bicarakan dalam tulisan yang akan datang.

Anggapan dan Tanggapan


PEMILIHAN kata yang tepat bagi menggambarkan maksud sesuatu perkataan sangat penting. Sekiranya tersalah pilih, maka lain yang dimaksudkan, lalu lain pula yang ditanggap oleh pembaca atau pendengar. Bunyi yang hampir sama antara dua perkataan merupakan punca kita membuat pemilihan kata yang kurang tepat.

Sebagai contoh, kedua-dua perkataan anggapan dan tanggapan hampir sama bunyinya. Tahukah anda apakah maksud kedua-dua perkataan ini? Anggapan bermaksud andaian. Jika seorang anak memberitahu ibunya bahawa beliau tidak perlu menyiram pokok bunga pada petang nanti kerana hujan akan turun. Anggapan ini dibuat setelah anak itu melihat awan hitam yang mula membesar gumpalannya di langit.

Maksud tanggapan pula lebih merupakan pandangan yang terbentuk menerusi pemerhatian dan pengamatan menerusi pancaindera. Menanggap lebih mirip maknanya kepada mengkonsepsi. Kadang-kadang tanggapan juga berlaku daripada bayangan atau gambaran dalam hati. Kita, misalnya, pada suatu ketika dahulu membuat ketentuan bahawa kereta ialah barangan mewah kerana orang yang kaya mampu memiliki kereta. Mana-mana individu yang memiliki kereta dikatakan orang kaya. Kini, tanggapan ini sudah tidak wujud lagi oleh sebab kereta sudah menjadi harta keperluan yang perlu dimiliki oleh bukan sahaja orang kaya, malah oleh sesiapa jua.

Perkataan rasmi dan resmi ialah dua perkataan yang sering menimbulkan kesilapan pemilihan. Kedua-dua perkataan ini kerap digunakan dalam konteks yang tidak tepat lantaran kedua-duan hampir sebunyi, tetapi mempunyai maksud yang berbeza. Perkataan rasmi digunakan dalam rangkai kata tertentu seperti surat rasmi, lagu rasmi, bendera rasmi, bahasa rasmi, tugas rasmi, pakaian rasmi, upacara rasmi dan kediaman rasmi. Rasmi dalam rangkai kata tersebut bermaksud disahkan atau ditentukan oleh yang berwibawa, iaitu kerajaan.

Resmi pula digunakan dalam konteks yang berlainan, seperti dalam peribahasa: “Ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk”, “jangan ikut resmi lalang, makin berisi makin tegak”; atau dalam ayat: “Resmi Mak Piah tidak ubah seperti ayam betina, bertelur sebiji riuh sekampung”. Perkataan resmi dalam peribahasa yang tersebut itu membawa maksud sifat atau resam.

Perkataan semesta dan semester juga hampir-hampir sebunyi. Perkataan semesta (kedua-dua huruf vokal e dalam perkataan itu ialah huruf vokal e pepet) berasal daripada kata Melayu klasik yang mendukung maksud seluruh, segenap, atau sekaliannya. Kita lazim mendengar atau menemukan ungkapan semesta alam atau alam semesta dalam berbahasa. Maksud ungkapan ini ialah seluruh alam.

Perkataan semester (vokal e dalam suku kata pertama dan suku kata kedua ialah huruf vokal e taling, manakala huruf vokal e dalam suku kata ketiga ialah vokal e pepet) bermaksud sesi pengajian dalam sesuatu tahun akademik di pusat pengajian seperti di universiti, maktab, sekolah dan lain-lain. Pada masa lalu, sesi pengajian ini disebut penggal. Semester pertama atau semester kedua bermaksud penggal pertama atau penggal kedua.

Perkataan komedi (huruf “e” dalam ejaan kata ini ialah huruf vokal “e” taling) kadang-kadang disebut sebagai komidi. Ada orang menyebut komidi untuk maksud komedi. Komedi dan komidi dua perkataan yang bukan bersinonim kerana kedua-duanya membawa maksud yang sungguh berbeza. Oleh itu kedua-duanya tidak saling berganti.

Perkataan komedi berasal daripada perkataan bahasa Inggeris “comedy”. Filem yang ringan serta lucu; terkadang mengandungi sindiran dikatakan filem komedi. Lazimnya, cerita komedi ini berakhir dengan kegembiraan atau keriangan.

Komidi pula bermaksud pertunjukan pelbagai kepandaian gerak badan dalam senaman, misalnya permainan akrobatik. Bentuk permainan begini dapat kita lihat dalam pertunjukan sarkas, atau pertunjukan tatu. Komidi juga membawa maksud suatu lakonan di pentas. Jika kita mengatakan komidi bangsawan, maksudnya sandiwara tentang cerita-cerita lama, khususnya cerita tentang raja-raja. Sekiranya seseorang yang melakukan perbuatan yang tidak berterus-terang seperti berdolak-dalik dalam percakapan; atau perilakunya berpura-pura maka dikatakan orang itu berkomidi. Jelaslah betapa besarnya perbezaan antara perkataan komedi dengan komidi. Oleh itu untuk kita menyatakan maksud sesuatu yang lucu, maka perkataan yang tepat ialah komedi, bukan komidi.

Kita seharusnya mengetahui perbezaan perkataan yang seakan-akan sebunyi yang sudah pasti berbeza maksudnya, agar kita dapat membuat pilihan yang tepat untuk mendukung sesuatu maksud yang khusus. Dengan demikian, dapatlah kita berbahasa dengan persis.

Perihal Bahasa


BAHASA ialah penyatuan sistem lambang-lambang bunyi yang digunakan sebagai wahana perhubungan untuk menyatakan fikiran, perasaan dan tujuan dalam lingkungan kelompok manusia. Daripada perkataan bahasa dapat diterbitkan beberapa banyak ungkapan tertentu. Ungkapan-ungkapan ini mengandungi pengertian khusus bagi menyatakan sesuatu pula.

Dalam masyarakat Melayu, jika kita berbudi bahasa, sopan dan tahu akan adat resam dikatakan kita berbahasa, yakni tahu menggunakan bahasa yang sesuai pada tempat, suasana, dan konteks. Kita seharusnya tahu memilih bentuk bahasa yang padan apabila berbicara dengan seseorang. Jika berkomunikasi dengan anggota golongan raja, sultan atau kerabat utama raja, walhal kita sebagai pembicara orang biasa, sudah tentu bentuk bahasa dalam yang kita gunakan. Bahasa dalam ialah bahasa halus yang digunakan di istana. Kata-kata seperti patik (saya), tuanku (awak), junjung kasih (terima kasih), santap (makan), gering (sakit), mencemar duli (berangkat), dan sebagainya digunakan sebagai wahana bicara.

Sebaliknya, apabila kita bercakap dengan orang biasa tetapi dewasa, matang usianya, atau terhormat kerana pangkat kedudukan serta tinggi tahap sosialnya, sudah tentu kita akan memilih penggunaan bahasa halus. Kata-kata dalam bahasa halus lembut tidak dirasakan kasar atau yang boleh menyentuh perasaan. Dengan bahasa ini, misalnya, kita mengelakkan penggunaan kata ganti nama aku dan engkau bagi menurujuk diri sendiri dan orang yang dilawan bercakap. Kita sudah tentu menggunakan saya, tuan, Tan Sri, dan seumpamanya. Kita juga berasa janggal menggunakan perkataan mati untuk manusia, tetapi menggantikannya dengan perkataan mangkat (raja), meninggal dunia, atau dengan kiasan sudah pergi atau sudah tiada lagi (orang biasa). Demikianlah betapa perlunya kebijaksanaan kita memilih perkataan yang amat serasi.

Bercakap dengan orang yang dihormati ini tidak molek, kiranya, kita menggunakan bahasa harian sepenuhnya, kerana bentuk bahasa basahan ini mengandungi perkataan dan ayat yang tidak mematuhi rumus tatabahasa baku. Lenggok bahasanya ringkas serta mudah. Ada perkataan tanpa imbuhan, tanpa gandaan, ayat tergantung tanpa subjek, predikat yang tidak sempurna, serta direncahi dengan bahasa daerah/bahasa dialek, yang hanya sesuai digunakan apabila bercakap dengan anggota keluarga atau rakan dalam suasana tidak rasmi. Penggunaan bentuk bahasa basahan ini dapat mewujudkan komunikasi natural, dan hubungan yang intim. Tetapi, apabila bercakap dengan rakan sejawatan atau sejabatan, kita merojakkan bahasa kita (bahasa rojak). Pada suatu ketika kita menggunakan perkataan bahasa Melayu dan seketika yang lain kita menggunakan perkataan bahasa Inggeris/bahasa Arab tanpa menghitung keluhuran tatabahasa.

Akan ada perbezaan pula bahasa yang kita gunakan apabila lawan bicara kita daripada kalangan bangsa asing (orang Cina, India atau Benggali). Atas dasar untuk tujuan pemahaman maksud yang mudah lagi pantas, kesenangan dan kelancaran komunikasi, maka bahasa pasar menjadi wahana. Apabila bahasa kacukan (bahasa pasar) menjadi bahasa perantaraan, sudah pasti bahasanya menyimpang jauh daripada bentuk bahasa baku kerana yang diutamakan ialah pemahaman inti pati bicara dan kelancaran berbahasa.

Bagi kalangan penutur yang rendah martabat sosialnya, bentuk bahasa slanga, yakni salah satu bentuk bahasa terhad menjadi bahasa bicara. Bahasa slanga yang mendapat perhatian sedikit pada masa lampau ialah slanga kutu, yakni bentuk slanga bagi kalangan mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan narkotik. Bahasa ini mengandungi perkataan-perkataan baharu atau perkataan biasa dengan pengertian tertentu. Langgam bahasanya banyak dipengaruhi oleh perkataan atau struktur bahasa asing, khususnya bahasa pasar. Antara bentuk bahasa slanga ini:

“Itu lu punya pasal. Lu tangkap kawin ke, cintan-cintun ke itu lu punya hal.

Gua tak peduli. Lu nak bikin apa sama gua? Lu mahu sekeh kepala gua? Pigila.”

Lain pula halnya ketika kita berada dalam suasana atau keadaan yang tidak terkawal oleh emosi. Ketika itu, perasaan masa bercakap menjadi penentu bentuk bahasa yang kita pilih. Ghalibnya, dalam keadaan marah, kita hilang pertimbangan dalam berbahasa. Kita menjadi orang yang kurang bahasa atau tak tahu bahasa lalu kita menggunakan bahasa kasar, bahasa yang dianggap tidak sopan atau tidak manis dituturkan. Kekadang, apabila rasa amarah memuncak, kita menggunakan bahasa kesat, bahasa yang lebih rendah tarafnya daripada bahasa kasar. Bentuk bahasa ini mengandungi kata maki hamun yang boleh menyakitkan hati orang lain. Natijahnya, kita akan dianggap orang yang tidak berbahasa lantaran berbicara tanpa budi bahasa. Anggapan ini cocok untuk orang yang seperti itu, kerana bahasa menunjukkan bangsa, dan bahasa jiwa bangsa pembicara.

Bagi orang ilmuan, mereka terdidik untuk menggunakan bahasa baku, iaitu bahasa yang teratur dan mantap dalam pelbagai aspek seperti sebutan, ejaan, dan tatabahasa. Oleh sebab bahasa ini dikatakan bahasa ilmu, maka bentuk bahasa ini digunakan sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan (pengajaran), perbincangan, forum dan sebagainya. Jalan bahasa golongan cendekiawan ini cukup mantap dan berkesan.

Dalam penulisan atau persuratan pelbagai bidang, selain menggunakan laras bahasa menurut lapangannya, pastilah bahasa ilmu yang teratur lagi baik itu digunakan, hingga ada yang menganggap bahasa itu sebagai bahasa kitab. Bahasa persuratan mereka ini bertenaga kerana langgam bahasa yang digunakan indah, tepat dan berkesan. Dalam karya kreatif, bahasa karyawan ini dirampaikan pula dengan bahasa kiasan, peribahasa, bahasa puisi sebagai rencah bahasa persuratan tinggi yang dapat menimbulkkan kesan segar perisa bahasa.

Demikianlah betapa banyak dan luas ungkapan yang bersabit dengan perkataan bahasa dalam bahasa Melayu. Jelaslah bahawa, bahasa dapat menunjukkan hati budi penuturnya, kerana bahasa ceminan hati budi manusia.

Kata Majmuk Endosentrik

PEMAJMUKAN merupakan satu proses membentuk perkataan dengan cara menggabungkan dua atau lebih perkataan, dan perkataan baharu yang terbit daripadanya membawa konsep atau makna yang berlainan daripada makna asal perkataan-perkataan. Contohnya, beg tangan berbeza makna daripada beg dan tangan, kereta api berbeza maknanya daripada kereta dan api, setiausaha berbeza maknanya daripada setia dan usaha.

Dari segi bentuk, terdapat persamaan antara kata majmuk dengan frasa kerana kedua-duanya terbentuk daripada gabungan dua atau lebih perkataan. Kata majmuk bertindak sebagai satu unit, iaitu bentuknya tidak boleh menerima sebarang penyisipan unsur lain. Bagi frasa, di tengah-tengahnya boleh disisipkan dengan unsur lain tanpa mengubah makna frasa itu.

Misalnya, frasa tangan kanan, baju biru dan rumah besar boleh disisipkan perkataan yang menjadi tangan yang kanan, baju yang biru, dan rumah yang besar. Tetapi kata majmuk rumah sakit, kerusi malas dan kereta api tidak boleh diubah menjadi rumah yang sakit, kerusi yang malas dan kereta yang api.

Kata majmuk dieja terpisah, misalnya, gambar rajah, alat tulis, tengah hari, reka bentuk, kertas kerja dan lain-lain. Namun terdapat sebilangan kecil bentuk kata majmuk yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan yang utuh, walaupun bentuk kata tersebut ternyata mengandungi dua kata dasar. Perkataan yang demikian tetap dieja bercantum sebagai satu perkataan. Bentuk-bentuk kata tersebut ialah antarabangsa, bumiputera, olahraga, tanggungjawab, setiausaha, jawatankuasa, matahari dan sebagainya.

Kata majmuk yang menerima imbuhan disebut kata makmuk kompleks. Antara contohnya, persuratkhabaran, bertanggungjawab, ketidakseimbangan, dianaktirikan, dan lain-lain. Kata majmuk yang menerima imbuhan apitan mestilah ditulis serangkai sebagai satu perkataan. Contoh: ke + ibu bapa + an¬ = keibubapaan. Di + anak tiri + kan = dianaktirikan, Sebaliknya, jika kata majmuk itu menerima imbuhan awalan atau akhiran sahaja, maka ejaannya tidak ditulis serangkai sebagai satu perkataan. Contohnya: beribu bapa (ber+ibu bapa) dieja beribu bapa, yakni perkataan ibu bergabung dengan awalan ber- manakala perkataan bapa terpisah. Demikian halnya dengan kata majmuk me + kenal pasti = mengenal pasti.

Ada dua jenis kata majmuk dalam bahasa Melayu. Kata majmuk itu ialah kata majmuk endosentrik dan kata majmuk eksosentrik. Kata majmuk endosentrik ialah kata majmuk yang salah satu unsur kata yang membentuknya dapat menggantikan fungsi kata majmuk itu dalam ayat. Teliti ayat contoh berikut:

1. Kereta api itu merah

2. Beg tangannya besar.

3. Tanah itu hak milik kami.

Kata majmuk dalam ayat (1) , (2) dan (3) di atas ialah kereta api, beg tangan dan hak milik. Semua kata majmuk itu berfungsi sebagai subjek. Salah satu perkataan yang membentuknya boleh menggantikan fungsi kata majmuk itu. Misalnya, kata majmuk kereta api dalam ayat (1) dapat dipisahkan dan masing-masing perkataan kereta dan api boleh berfungsi sebagai subjek baharu dalam dua ayat yang berasingan seperti yang berikut:

1. (a) Kereta itu merah atau

(b) Api itu merah.

Beg dan tangan dalam ayat (2), dan hak serta milik juga dalam ayat (3) dapat menjadi subjek dalam ayat yang baharu seperti yang berikut:

2. (a) Begnya besar atau

(b) Tangannya besar.

3. (a) Tanah itu hak kami. atau

(b) Tanah itu milik kami.

Dalam keadaan seperti inilah kata majmuk kereta api, beg tangan dan hak milik dikatakan kata majmuk endosentrik.

Kata majmuk eksosentrik pula ialah kata majmuk yang tidak ada daripada perkataan-perkataan yang membentuknya yang boleh menggantikan fungsi seluruh kata majmuk itu dalam ayat. Telitilah contoh kata majmuk eksosentrik tanggungjawab, setiausaha dan terima kasih dalam ayat-ayat contoh berikut:

4. Tanggungjawab saya berat.

5. Setiausaha mesyuarat belum tiba lagi.

6. Saya ucapkan terima kasih.

Ayat-ayat (4), (5) dan (6) tidak boleh diubah menjadi ayat 4 (a), (b), 5 (a), (b) dan 6 (a), (b)

4. (a) *Tanggung saya berat atau

(b) *Jawab saya berat.

5. (a) *Setia mesyuarat belum tiba lagi atau

(b) *Usaha mesyuarat belum tiba lagi

6. (a) *Saya ucapkan terima atau

(b) *Saya ucapakan kasih.

Oleh yang demikian, dapatlah dikatakan bahawa kata majmuk tanggungjawab, setiausaha dan terima kasih ialah kata majmuk eksosentrik.

Begitulah perbezaan antara kata majmuk endosentrik dengan kata majmuk eksosentrik. Semoga anda mendapat kefahaman yang jelas tentang kedua-dua jenis kata majmuk ini.

Sunday, January 24, 2010

“Cuma” – Perobah Makna Ayat

Oleh MUHAMMED SALLEHUDIN AMAN

KATA cuma merupakan jenis ‘kata penegas’ dalam golongan kata tugas bahasa Melayu. Kata penegas ialah bentuk kata yang digunakan untuk menguatkan sesuatu kenyataan dalam ayat. Kata penegas dapat dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu bentuk kata partikel dan bentuk kata akar.

Contoh kata partikel ialah lah, kah, tah, dan pun, dan contoh kata akar ialah juga, jua, lagi, hanya, sahaja, memang, dan cuma. Jika kata penegas partikel menekankan maksud perkataan yang bercantum dengannya, kata penegas berbentuk akar pula menekankan subjek atau predikat ayat, termasuklah unsur keterangan dalam sesuatu ayat.

Makna sesuatu ayat boleh berubah jika mana-mana satu konstituen yang hadir sebagai unsur binaan ayat itu berbeza-beza letaknya. Lazimnya, konstituen atau unsur kata yang berkenaan terdiri daripada kata tugas yang berfungsi sebagai penegas subjek atau predikat.

Kata penegas cuma bermaksud “hanya”, “melainkan”, dan “semata-mata”, “yang satu-satunya”, “sekadar”, dan “cuming”. Maksud yang demikian ini terkandung dalam ayat contoh yang berikut: Aku cuma anak pungut, tidak dapat berbuat banyak, dan ayat: Saya datang cuma kerana saudari.

Selain itu, kata cuma juga membawa maksud “tidak ada yang lain (sendirian)”. Maksud yang demikian itu, dapat difahami melalui ayat: Cuma dia yang datang, tidak ada yang lain.

Telah ditegaskan bahawa perubahan makna ayat boleh berlaku apabila satu perkataan tertentu dalam ayat dipindahkan tempat letaknya. Perkataan cuma yang menjadi unsur dalam binaan ayat dapat mengubah makna ayat jika kedudukannya dalam ayat itu berubah-ubah. Ayat: Zawiyah menemui Zaidah di rumah ibunya pada hari Jumaat mengandungi makna yang cukup jelas, iaitu menerangkan perihal Zawiyah menemui Zaidah di rumah ibunya (ibu Zaidah), dan perbuatan menemui itu dilakukan pada hari Jumaat. Teranglah bahawa tiada penegasan yang khusus dalam bahagian-bahagian tertentu ayat tersebut sama ada pada bahagian frasa subjek mahupun bahagian predikat ayat.

Jika perkataan cuma diletakkan di tempat yang berbeza-beza dalam ayat itu, sudah tentu maknanya berbeza-beza pula. Telitilah ayat yang sama dengan cuma berada pada tempat yang berbeza-beza.

1. Cuma Zawiyah menemui Zaidah di rumah ibunya pada hari Jumaat.

2. Zawiyah cuma menemui Zaidah di rumah ibunya pada hari Jumaat.

3. Zawiyah menemui cuma Zaidah di rumah ibunya pada hari Jumaat.

4. Zawiyah menemui Zaidah cuma di rumah ibunya pada hari Jumaat.

5. Zawiyah menemui Zaidah di rumah ibunya cuma pada hari Jumaat.

Ayat yang pertama membawa maksud bahawa orang yang bernama Zawiyah sahajalah yang melakukan perbuatan menemui itu; bukan orang lain. Letak kata cuma dalam ayat yang kedua telah mengubah makna ayat yang pertama. Ayat yang kedua ini membawa makna bahawa Zawiyah menemui, bukan memukul, bukan mencubit Zaidah.

Ayat yang ketiga pula berubah maksudnya lagi kerana perubahan letak perkataan cuma. Ayat tersebut bermakna bahawa Zawiyah menemui Zaidah sahaja, bukan perempuan lain. Dalam ayat yang keempat pula, penegasan terletak pada tempat pertemuan antara Zawiyah dengan Zaidah, iaitu di rumah ibunya, bukan di rumah orang lain.

Ayat yang kelima, iaitu Zawiyah menemui Zaidah di rumah ibunya cuma pada hari Jumaat menegaskan waktu pertemuan itu terjadi. Ayat yang kelima ini menerangkan bahawa Zawiyah menemui Zaidah pada hari Jumaat, bukan hari Khamis atau hari Sabtu, atau hari-hari yang lain selain hari Jumaat.

Kita dapat juga melihat perubahan makna kelima-lima ayat yang di atas itu jika perkataan cuma digantikan dengan perkataan-perkataan lain seperti daripada kata penegas hanya, memang; kata bantu sudah, pernah, sedang, akan; atau kata nafi tidak, dan sebagainya.

Demikianlah wujudnya perubahan makna dalam sesuatu ayat apabila sesuatu perkataan yang menjadi unsur binaan ayat itu diletakkan di tempat yang berbeza-beza.

“Ada” sebagai Kata Penegas

Oleh MUHAMMED SALLEHUDIN AMAN

KATA penegas dalam bahasa Melayu disebut juga partikel. Partikel ialah sejumlah perkataan yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat.

Ayat yang mengandungi kata penegas disebut ayat penegas kerana mengandungi sesuatu penegasan tentang sesuatu perkara. Kita mengenal sesuatu ayat penegas itu melalui adanya kata penegas dalam binaan predikat ayat. Dengan adanya kata penegas itu, hal atau perkara yang hendak ditekankan, atau yang hendak diutamakan dapat disampaikan dengan jelas.

Selain partikel -kah, -lah, -tah (penegas frasa predikat, dan bahagian-bahagiannya), juga, jua, pun, sahaja, lagi, dan memang (penegas frasa subjek, dan frasa predikat), kata kerja tak transitif ada juga dapat berfungsi sebagai penegas ayat.

Sebagai penegas, ada menjadi unsur dalam binaan predikat ayat. Ayat yang mengandungi kata ada dinamai ayat penegas. Perhatikan penggunaan kata penegas ada dalam ayat-ayat contoh yang berikut:

1. Saya / ada bersamanya ketika itu.

2. Dia / ada mengatakan hal itu kepadanya.

Dalam ayat (1) dan (2), kata penegas ada, yang menjadi unsur utama predikat ayat digunakan untuk menegaskan kesungguhan sesuatu hal. Hal demikian itu terkandung dalam makna frasa kerja ayat (1) dan (2), iaitu ada bersamanya, dan ada mengatakan. Jadi, untuk menegaskan frasa kerja, maka kata penegas ada dapat digunakan.

Bagaimana pula halnya untuk menegaskan frasa nama, frasa adjektif dan frasa sendi nama? Untuk frasa adjektif dan frasa sendi nama, kata penegas ada perlu ditambahkan dengan partikel di belakangnya, lalu membentuk kata adalah.

Harus diingat, dalam golongan kata bahasa Melayu, kata adalah ialah kata pemeri. Fungsi kata pemeri tidak lain daripada berfungsi sebagai unsur yang menjadi pemeri hal selain sebagai perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Dengan kata lain maksud pemerian merupakan suatu penegasan. Hal demikian dapat kita perhatikan dalam ayat-ayat contoh yang berikut:

3. Selendang sutera ini adalah untuk kekasihnya.

(adalah diikuti oleh frasa sendi nama, dan penegas frasa sendi nama)

4. Pendapatnya adalah tepat.

(adalah diikuti oleh frasa adjektif, dan penegas frasa adjektif)

Untuk frasa nama, kata pemeri ialah, bukan adalah digunakan kerana penggunaan ialah menunjukkan pemerihalan secara persamaan, atau ekuatif. Oleh itu, untuk maksud yang demikian itu, ialah hadir di hadapan frasa nama. Contohnya dalam ayat:

5. Wanita itu ialah jurujual.

(ialah diikuti oleh frasa nama, dan penegas frasa nama)

Untuk tujuan pertanyaan pula, partikel -kah digabungkan dengan kata ada, dan ia membentuk kata tanya adakah dan iakah. Partikel -kah pada kata ada, ia bertujuan semata-mata untuk menegaskan hal yang ditanyakan. Lihatlah tanya jawab yang berikut yang menunjukkan cara kata penegas tanya itu digunakan:

6. Adakah Nasir datang ke sini?

Ya, Nasir ada datang ke sini.

7. Adakah berita itu benar?

Ya, berita itu adalah benar.

8. Iakah orang itu guru baru?

Ya, orang itu ialah guru baru.

Harus diingat bahawa kata tanya apakah tidak boleh dijadikan kata penegas tanya seperti adakah atau iakah. Perhatikan betapa janggalnya ayat tanya yang menggunakan kata tanya apakah dalam ayat tanya yang berikut:

9. *Apakah keluarganya menerima pinanganmu?

Seharusnya: Adakah keluarganya menerima pinanganmu?

10. *Apakah orang itu mantan pengetua?

Seharusnya: Iakah orang itu mantan pengetua?

11. *Apakah bandar Melaka ibu negeri Melaka?

Seharusnya: Adakah bandar Melaka ibu negeri Melaka?

Begitulah huraian tentang bentuk kata ada yang berfungsi sebagai kata penegas dalam ayat bahasa Melayu.

Monday, November 9, 2009

Pilis dan pitis





Oleh Muhammed Salehudin Aman

SEORANG pelajar telah bertanya kepada saya tentang maksud kata pilis. Tanyanya lagi; adakah perkataan ini variasi sebutan kata pilih? Maksudnya, kedua-dua kata itu boleh saling berganti untuk maksud yang sama. Teringat oleh saya akan seuntai bait lagu Melayu yang bunyinya lebih kurang:

Direnjis-renjis dipilis

Ditepungilah tawar

Hai beras kunyit ditabur

Disiram si air mawar.

Apakah maksud perkataan pilis? Ada dua maksud perkataan pilis ini. Pertama, pilis ialah ubat yang dipalit atau ditepekkan di dahi. Pada zaman dahulu, ada sejenis ubat yang dikenal sebagai ubat guna-guna atau ubat pengasih. Lazimnya, ubat ini dibuat daripada minyak. Jika seseorang itu berkehendak akan seseorang gadis supaya gadis itu jatuh kasih kepadanya, maka dicalitkan sedikit ubat guna-guna itu pada tubuh si gadis. Perbuatan “mencalit” ini disebut pilis atau palit.

Maksud pilis yang kedua pula ialah garis pangkah di dahi untuk tujuan menghindarkan sebarang penyakit. Dalam perubatan tradisi orang Melayu, apabila seseorang itu jatuh sakit, misalnya terkena sampuk orang halus, maka seketul kunyit hidup dikerat beberapa kerat; kemudian dibacakan jampi, lalu dengan kunyit itu, ditulis garis silang bentuk “X” di dahinya. Kadangkala, bukan sahaja pada dahi tetapi di bahagian lain tubuh pesakit seperti di kedua-dua tangan atau lengannya. Tujuannya sebagai tangkal penyakit.

Di sesetengah tempat, ubat pilis ini berwarna hitam yang juga dipalitkan atau dilekatkan di dahi dan di pelipis pesakit sakit kepala, atau wanita yang baru bersalin.

Pipis yang sebutan lengkapnya “berpipis” bermaksud sudah dilumatkan, atau sudah dihaluskan dengan batu giling/batu tumbuk. Perbuatan memipis itu dinamai juga “memipik”. Lazimnya, barang yang dipipis atau dipipik itu lada atau rempah. Bukankah dalam peribahasa Melayu terungkap kalimat “Burung terbang dipipiskan lada”? Maksud peribahasa ini bersiap sedia untuk meraih hasil yang belum diperoleh.

Pitis pula ialah sejenis mata wang yang digunakan pada zaman dahulu. Pitis ini dibuat daripada tembaga atau timah nipis yang berlubang bulat di tengahnya. Di negeri Kelantan dan di ranah Minangkabau, pitis disebut sebagai pitih.

Seperti halnya dengan kata pilis, kata pitis juga banyak terakam dalam peribahasa Melayu; antaranya termasuklah “Pitis habis, kemahuan tiba” (ertinya: Kemahuan datang setelah jatuh miskin). Jika dikatakan “Buang pitis” maksudnya perbuatan mempersembahkan wang kepada wali atau orang keramat untuk mendapatkan kepastian tentang sesuatu hal atau nasib seseorang.

Kata yang bersinonim dengan pitis ialah picis. Kata picis merupakan bahasa arkaik, yakni bahasa yang tidak ghalib digunakan lagi. Picis berupa wang yang bernilai sepuluh sen yang bersamaan dengan satu ketip. Jadi nilai sepuluh sen (pitis) ialah satu ketip.

Apabila kata picis diakhiri akhiran –an, maka terbitlah kata picisan. Picisan bermaksud sesuatu yang rendah mutunya. Lihatlah maksud picisan dalam ayat-ayat contoh yang berikut ini:

1. Mereka lebih suka membaca majalah picisan daripada majalah ilmiah.

2. “Sekarang, banyak benar roman picisan terjual di kios buku.” kata Ramli kepada Rahman.

Kata pisis pula berasal daripada bahasa Cina yang sama maksudnya dengan kata picis dan pitis, iaitu benda yang berkaitan dengan wang logam. Jadi, baik pitis, picis atau pisis maksudnya sama, iaitu kepingan wang logam yang digunakan pada zaman dahulu.

Satu lagi bentuk kata lain yang hampir sama bunyi sebutannya dengan kata pisis ialah pises. Pises ialah lambang yang kedua belas dalam zodiak bagi orang yang dilahirkan antara julat 21 Februari hingga 20 Mac.

Pinis ialah ringkasan daripada ejaan lengkap kata tempinis. Tempinis sejenis tumbuhan (kayu) yang keras batangnya dan tahan lama. Kayu tempinis disebut juga sebagai kepinis. Kayu tempinis ini banyak jenisnya, seperti tempinis hitam, tempinis merah, tempinis putih. Para pelajar harus berhati-hati apabila mengeja kata pinis ini. Jika kedua-dua huruf vokal dalam suku kata pertama dan suku kata kedua kata itu digantikan dengan huruf vokal e taling, terbentuklah ejaan penes. Penes ialah sejenis kapal yang saiznya kecil.

Demikianlah huraian tentang kata pilis (dan kata-kata lain yang hampir serupa bentuknya). Nyatalah bahawa kata pilis bukan bermaksud pilih; dan oleh itu pilis dan pilih tidak boleh saling berganti, kerana kedua-dua bentuk kata ini tidak bersinonim. Semoga huraian ini dapat menjawab soalan pelajar tadi.