Friday, October 8, 2010








Ini kisah benar..kisah seorang gadis Melayu, beragama Islam, tapi cetek pengetahuan tentang agama. Ceritanya begini, di sebuah negeri yang melaksanakan dasar ‘Membangun Bersama Islam’, kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis perniagaan dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis berkenaan menutup aurat.

Aku tak pasti berapa jumlah denda yang dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan, tapi selalunya merekaakan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati masih enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Lazimnya dalam setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para pegawai pihak berkuasa tempatan. Tugasnya adalah untuk menyampaikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak mampu memberi kesan yang mendalam.

Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di Pasaraya Billion telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat. Maka dia pun kena denda la…setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat, “..lepas ni diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan..peraturan ni bukan semata-mata peraturan majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga..kalau derhaka tak nak patuhi perintahNya,takut nanti tak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah. Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka…”

Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri,tiba-tiba membentak “Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka? Kenapa tak boleh sediakan syurga je? Macam tu ke Tuhan Maha Penyayang?” Mungkin dari tadi dia dah panas telinga, tak tahan dengar nasihat ustaz tu..dah la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung..

Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia. Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab: “Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi ustaz. Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa ayam.. hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti masuk syurga. Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur. Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga..Kan Tuhan tu baik?”

Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan: “Perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik, orang jahat, semua masuk syurga..maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan ‘lulus’ percuma. Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga..perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol disyurga..lepas tu boleh rogol lagi kalau dia nak..takde siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu ‘baik’. Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?”; tanya ustaz.

“Ah..mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas camtu je..” rungut si gadis.

Ustaz tersenyum dan menyoal lagi: “Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?”

Gadis tu terdiam.

Ustaz mengakhiri kata-katanya: “Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil. Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain. Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji kat atas dunia ni. Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan HAK kita untuk berpakaian sesuka hati kita. Ingatlah; semuanya dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian..semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita jugak. Assalamu’alaikum.”

Karenah dan Kerenah


PERNAHKAH anda mendengar atau membaca ayat contoh yang berikut ini?

1. Kejadian-kejadian ganjil yang sering terjadi kini menunjukkan karenah akhir zaman.

2. Kelambatan pemprosesan permohonan itu disebabkan oleh kerenah birokrasi.

Dalam kedua-dua ayat di atas perkataan yang bercetak condong ialah karenah (ayat 1), dan kerenah (ayat 2). Kedua-dua perkataan ini dibezakan sifat bunyinya oleh huruf vokal < a >, < e > pepet, dan < e > taling dalam suku-suku kata tertentu..

Kata karenah dibarisi oleh vokal < a > dalam suku kata pertama, dan vokal < e > taling dalam binaan suku kata kedua; maka bunyi kata ini ialah [ karénah ]. Kata kerenah dibunyikan sebagai [ k?r?nah ] dengan kedua-dua huruf vokal < e > dalam suku kata pertama dan suku kata kedua perkataan itu vokal < e > pepet.

Kata karenah yang berasal daripada perkataan bahasa Arab membawa empat maksud, iaitu makna alamat, bukti, tanda, dan cena (céna). Keempat-empat kata ini merupakan sinonim kepada kata karenah ini. Maksud karenah ini terkandung dalam ayat yang pertama di atas. Kita boleh sahaja menggantikan kata karenah dengan mana-mana kata sinonimnya, misalnya:

1. (a) Kejadian-kejadian ganjil yang sering terjadi kini menunjukkan tanda akhir

zaman.

(b) Kejadian-kejadian ganjil yang sering terjadi kini menunjukkan cena akhir

zaman; dan seterusnya.

Kata kerenah tidak asing lagi dimaklumi maknanya kerana kata ini sering

digunakan oleh komuniti bahasa Melayu dalam kegiatan berbahasa. Sedarlah bahawa ada beberapa maksud kata kerenah ini, iaitu ragam, tingkah laku, kemahuan dan perangai. Selain maksudnya yang terkandung dalam ayat (2) di atas, kata kerenah dapat digunakan seperti dalam ayat contoh (3) yang berikut:

3. Banyak benar kerenah budak ini, tidak terlayan oleh kakaknya.

Dan, jika hendak digantikan kata kerenah dalam ayat tersebut dengan kata-kata lain yang bersinonim dengannya, boleh sahaja. Misalnya:

3. (a) Banyak benar ragam budak ini, tidak terlayan oleh kakaknya.

atau

(b) Banyak benar kemahuan budak ini, tidak terlayan oleh kakaknya.

Selain itu, kata kerenah ini juga bermaksud oleh (sebab), dan cara. Kedua-dua maksud ini dibawakan oleh dua potong ayat yang di bawah ini:

4. Demikian itu kerenah dia bekerja, pantas tetapi kelam kabut sahaja.

(kerenah bermaksud cara)

5. Pekerja kontrak itu telah lama teraniaya kerenah tindakan majikan yang tidak bertimbang rasa.

(kerenah bermaksud oleh sebab)

Jelaslah, kata karenah dan kerenah, jika kita tersilap menggunakannya dalam

ayat, pastilah maksud ayat berubah, atau tidak mendukung maksud maklumat sebenar yang hendak diungkapkan. Oleh itu, berhati-hatilah memilih kata yang betul untuk menepati maksud sebenar yang hendak dinyatakan.

Karenah dan kerenah tidak sama dengan kata karena. Kata karena merupakan variasi ejaan kata kerana. Selain bentuk ejaan karena ini, dapat juga kita temukan bentuk-bentuk lain seperti kerana, kerena dan kerna. Oleh itu, kata kerana (bentuk ejaan baku bahasa Melayu) dieja juga sebagai karena, kerena dan kerna. Bentuk-bentuk, selain kerana, digunakan di negara jiran. Walaupun berkelainan ejaan, namun maksudnya tetap sama, iaitu hal yang menjadi sebab atau alasan

Begitulah bicara ringkas tentang kata karenah dan kerenah serta cara penggunaannya dalam bahasa Melayu. Semoga penjelasan ini bermanfaat kepada anda.

Kata Ganda Berimbuhan


KATA ganda berimbuhan ialah kata ganda yang memperoleh imbuhan, baik yang berupa awalan, akhiran, sisipan, atau apitan. Contohnya:

awalan: berangan-angan, mengangguk-angguk, jahit-menjahit, teresak-esak, asak-mengasak, setinggi-tinggi

akhiran: bau-bauan, sayur-sayuran, rumah-rumahan, puji-pujian, wangi-wangian

sisipan: tali-temali, turun-temurun, tulang-temulang

apitan: sehari-harian, bersorak-sorakan, kunjung-mengunjungi, melambat-lambatkan, kebiru-biruan, bercaci-cacian

Kata ganda berimbuhan boleh terdiri daripada pelbagai golongan kata, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif, dan kata tugas (kata keterangan).

Contohnya:

Golongan Kata Contoh

Kata Nama buah-buahan, daun-daunan, sayur-sayuran, tumbuh-tumbuhan

Kata kerja bantu-membantu, kasih-mengasihi, meminta-minta, terkebil-kebil

Kata Adjektif besar-besaran, kecil-kecilan, keanak-anakan, kegila-gilaan, kemalu-maluan

Kata Tugas (Kata Keterangan) mati-matian, turun-temurun , mudah-mudahan, setidak-tidaknya

Seperti penulisan kata ganda seluruh, kata ganda berimbuhan mesti disertai tanda sekat atau tanda sempang (-) juga. Misalnya, jahit-menjahit, karang-mengarang, tulis-menulis, kata-mengatai dan tolong-menolong ditulis dengan membubuhkan tanda sekat di antara kata dasar dengan kata yang digandakan. Semua kata ganda contoh tadi tidak dieja seperti *jahit menjahit, *karang mengarang, *tulis menulis, *kata mengatai dan *tolong menolong.

Pada umumnya, kata ganda menyatakan makna jamak atau keadaan yang berpanjangan. Misalnya puji-pujian bererti beberapa banyak pujian, berangan-angan bererti beberapa banyak atau sentiasa berangan-angan yang berpanjangan, menunggu-nunggu bermakna beberapa banyak kali atau sentiasa menunggu. Demikian jugalah berdebar-debar atau tertahan-tahan yang bererti beberapa banyak kali berdebar dan beberapa banyak kali tertahan.

Kata ganda berimbuhan yang berfungsi sebagai kata keterangan tidak semestinya menyatakan makna beberapa banyak kali, melainkan hanya bertugas sebagai keterangan sahaja. Misalnya kata seakan-akan dan seolah-olah, iaitu dua contoh kata ganda berimbuhan sebagai keterangan. Seakan-akan dan seolah-olah tidak bermakna beberapa banyak kali akan dan olah, melainkan mendukung makna sama benar, atau seperti sesuatu.

Dalam pada itu, ada kata ganda berimbuhan dalam golongan kata kerja yang menyatakan makna saling melakukan antara dua pihak. Misalnya, serang-menyerang dan tangkis-menangkis bererti saling melakukan serangan atau saling menyerang, dan saling menangkis.

Dalam kata ganda berimbuhan serang-menyerang dan tangkis-menangkis, awalan men- hanya diimbuhkan pada kata serang dan tangkis yang akhir lalu menjadi menyerang dan menangkis, sedangan kata serang dan tangkis sebagai permulaannya tidak menerima awalan men- itu. Harus diingat bahawa sebarang kata yang berawalan me- menjadikan sesuatu kata itu kata kerja aktif. Jika awalan me- digugurkan, maka terjadilah kata kerja pasif. Oleh sebab itu, kata serang-menyerang dan tangkis-menangkis mempunya makna pasif (serang, tangkis) dan makna aktif (menyerang, menangkis) sekali gus.

Sebagai misal, makna ayat Amdan dan Amzan serang-menyerang ialah Amdan diserang dan menyerang Amzan dan Amzan menyerang dan diserang Amdan.

Demikianlah huraian ringkas tentang kata ganda berimbuhan bahasa Melayu. Kata ganda jenis ini dapat membentuk satu bentuk ungkapan yang indah dan menarik dalam pengucapan.

Bahasa Kiasan


Bahasa Kiasan ialah ungkapan yang maknanya tidak diketahui daripada makna perkataan itu sendiri atau daripada susunan tatabahasanya. Dengan kata yang lain, maknanya tidak 100% oleh makna kata-kata dalam binaan bahasa kiasan tersebut. Dalam bahasa kiasan, sesuatu perkataan, frasa atau ayat mempunyai maksud yang berlainan dengan makna harfiah kata-kata yang membinanya.

Dalam bahasa kiasan, kita membuat perbandingan akan sesuatu perkara dengan benda yang lain. Perbandingan ini dibuat melalui bandingan yang nyata dengan atau tanpa menggunakan kata bandingan tertentu. Kita hanya mengiaskan sesuatu yang dimaksudkan itu dengan benda atau perkara yang lain.

Pendeta Za’ba mengatakan bahawa bahasa kiasan ialah bahasa yang mencakapkan sesuatu perkara dengan mengiaskannya kepada perkara lain, sama ada dengan menyebut bandingan antaranya atau dengan tiada menyebutkan bandingan lagi; tujuannya supaya menambahkan terang sesuatu yang dikatakan atau diceritakan dan menguatkan makna. Inilah keistimewaan bahasa kiasan.

Contoh bahasa kiasan yang menyatakan bandingan, antaranya termasuk jari seperti susun sirih, kuncup seperti sulur bakung, manis umpama lautan madu, tinggi macam galah, dan tumit umpama telur dikupas. Bahasa kiasan yang tidak menyebutkan perbandingan ialah abu jahal, mat jenin, ayam tambatan, pelanduk dua serupa dan puteri lilin.

Bentuk bahasa kiasan bahasa Melayu dapat digolongkan kepada dua golongan, iaitu kiasan jenis peribahasa dan kiasan jenis bukan peribahasa. Antara kedua-dua jenis bahasa kiasan ini, terdapat perbezaan yang nyata dari segi maksud. Bahasa kiasan jenis peribahasa mempunyai makna khas, iaitu tidak bergantung pada konteksnya. Misalnya makna kaki ayam, anak emas, dan langkah kanan tetap tidak berubah kendatipun dalam konteks apa-apa sekalipun.

Selain itu, bahasa kiasan peribahasa mempunyai makna selapis dan makna dua lapis. Yang bermakna selapis dapat terus difahami apabila kita membacanya. Misalnya biar lambat asal selamat; sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit; dan hendak seribu daya, tak hendak seribu upaya bermakna selapis kerana tiada makna yang tersirat daripada unsur kata yang menjadi binaan bahasa kiasan tersebut.

Sebaliknya, bahasa kiasan dua lapis pula menggunakan gambaran lain bagi membayangkan maknanya. Misalnya ular yang menyusur akar itu tidak akan hilang bisanya; seperti talam dua muka dan bagai bajak wangkang makan diangkat. Semua peribahasa yang tersenarai mempunyai maksud yang khas. Ular yang menyusur akar, tidak akan hilang bisanya bermaksud orang besar yang merendahkan diri tidak akan jatuh martabatnya, seperti talam dua muka bermakna orang yang berbuat baik kepada dua orang berseteru. Peribahasa seperti bajak wangkang makan diangkat pula bererti seseorang yang gemar dipuji orang.

Pengucapan yang menggunakan bahasa kiasan merupakan pengucapan yang halus dan dapat meningkatkan imej seseorang apabila orang itu menggunakannya dalam pertuturan. Mereka yang menggunakan bahasa kiasan sewaktu berbicara dengan orang lain digolongkan sebagai orang yang berbudi bahasa serta bijak berbahasa. Hal ini begitu jelas apabila wujudnya bahasa kiasan seperti ke sungai besar yang bermaksud ingin membuang air besar, dan bahasa kiasan datang bulan yang bermaksud datang haid. Pembicara yang bijak berbahasa kiasan sudah tentu memilih bahasa kiasan ini untuk menggantikan kata-kata yang kurang enak didengar.

Namun demikian terdapat juga unsur kata bahasa kiasan yang diubah dan disesuaikan dengan faktor budaya dan tuntutan bahasa Melayu itu sendiri. Misalnya, ungkapan kiasan ke sungai besar sudah jarang-jarang kita dengar; sebaliknya digantikan dengan buang air besar.

Apakah tujuan penggunaan bahasa kiasan ini dalam percakapan? Tujuannya adalah untuk menajamkan percakapan dan memberikan kesan yang mendalam pada hati dan fikiran pendengar. Selain sebagai perhiasan kerana bahasa kiasan banyak menggambarkan nilai estetika yang dikaitkan dengan alam semesta, penggunaannya merupakan satu cara untuk mengelakkan seseorang menyebut sesuatu perkara yang boleh menyebabkan rasa malu, takut atau kurang manis apabila didengar oleh orang lain. Hal ini melibatkan nilai kesantunan berbahasa seseorang.

Ada pelbagai jenis bahasa kiasan, seperti kiasan asal, kiasan berpindah, kiasan terus, kiasan bersajak, kiasan berbunga, kiasan pemanis/halus, kiasan melompat, kiasan melarat, dan kiasan berkacau. Jenis-jenis kiasan ini akan saya bicarakan dalam tulisan yang akan datang.

Anggapan dan Tanggapan


PEMILIHAN kata yang tepat bagi menggambarkan maksud sesuatu perkataan sangat penting. Sekiranya tersalah pilih, maka lain yang dimaksudkan, lalu lain pula yang ditanggap oleh pembaca atau pendengar. Bunyi yang hampir sama antara dua perkataan merupakan punca kita membuat pemilihan kata yang kurang tepat.

Sebagai contoh, kedua-dua perkataan anggapan dan tanggapan hampir sama bunyinya. Tahukah anda apakah maksud kedua-dua perkataan ini? Anggapan bermaksud andaian. Jika seorang anak memberitahu ibunya bahawa beliau tidak perlu menyiram pokok bunga pada petang nanti kerana hujan akan turun. Anggapan ini dibuat setelah anak itu melihat awan hitam yang mula membesar gumpalannya di langit.

Maksud tanggapan pula lebih merupakan pandangan yang terbentuk menerusi pemerhatian dan pengamatan menerusi pancaindera. Menanggap lebih mirip maknanya kepada mengkonsepsi. Kadang-kadang tanggapan juga berlaku daripada bayangan atau gambaran dalam hati. Kita, misalnya, pada suatu ketika dahulu membuat ketentuan bahawa kereta ialah barangan mewah kerana orang yang kaya mampu memiliki kereta. Mana-mana individu yang memiliki kereta dikatakan orang kaya. Kini, tanggapan ini sudah tidak wujud lagi oleh sebab kereta sudah menjadi harta keperluan yang perlu dimiliki oleh bukan sahaja orang kaya, malah oleh sesiapa jua.

Perkataan rasmi dan resmi ialah dua perkataan yang sering menimbulkan kesilapan pemilihan. Kedua-dua perkataan ini kerap digunakan dalam konteks yang tidak tepat lantaran kedua-duan hampir sebunyi, tetapi mempunyai maksud yang berbeza. Perkataan rasmi digunakan dalam rangkai kata tertentu seperti surat rasmi, lagu rasmi, bendera rasmi, bahasa rasmi, tugas rasmi, pakaian rasmi, upacara rasmi dan kediaman rasmi. Rasmi dalam rangkai kata tersebut bermaksud disahkan atau ditentukan oleh yang berwibawa, iaitu kerajaan.

Resmi pula digunakan dalam konteks yang berlainan, seperti dalam peribahasa: “Ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk”, “jangan ikut resmi lalang, makin berisi makin tegak”; atau dalam ayat: “Resmi Mak Piah tidak ubah seperti ayam betina, bertelur sebiji riuh sekampung”. Perkataan resmi dalam peribahasa yang tersebut itu membawa maksud sifat atau resam.

Perkataan semesta dan semester juga hampir-hampir sebunyi. Perkataan semesta (kedua-dua huruf vokal e dalam perkataan itu ialah huruf vokal e pepet) berasal daripada kata Melayu klasik yang mendukung maksud seluruh, segenap, atau sekaliannya. Kita lazim mendengar atau menemukan ungkapan semesta alam atau alam semesta dalam berbahasa. Maksud ungkapan ini ialah seluruh alam.

Perkataan semester (vokal e dalam suku kata pertama dan suku kata kedua ialah huruf vokal e taling, manakala huruf vokal e dalam suku kata ketiga ialah vokal e pepet) bermaksud sesi pengajian dalam sesuatu tahun akademik di pusat pengajian seperti di universiti, maktab, sekolah dan lain-lain. Pada masa lalu, sesi pengajian ini disebut penggal. Semester pertama atau semester kedua bermaksud penggal pertama atau penggal kedua.

Perkataan komedi (huruf “e” dalam ejaan kata ini ialah huruf vokal “e” taling) kadang-kadang disebut sebagai komidi. Ada orang menyebut komidi untuk maksud komedi. Komedi dan komidi dua perkataan yang bukan bersinonim kerana kedua-duanya membawa maksud yang sungguh berbeza. Oleh itu kedua-duanya tidak saling berganti.

Perkataan komedi berasal daripada perkataan bahasa Inggeris “comedy”. Filem yang ringan serta lucu; terkadang mengandungi sindiran dikatakan filem komedi. Lazimnya, cerita komedi ini berakhir dengan kegembiraan atau keriangan.

Komidi pula bermaksud pertunjukan pelbagai kepandaian gerak badan dalam senaman, misalnya permainan akrobatik. Bentuk permainan begini dapat kita lihat dalam pertunjukan sarkas, atau pertunjukan tatu. Komidi juga membawa maksud suatu lakonan di pentas. Jika kita mengatakan komidi bangsawan, maksudnya sandiwara tentang cerita-cerita lama, khususnya cerita tentang raja-raja. Sekiranya seseorang yang melakukan perbuatan yang tidak berterus-terang seperti berdolak-dalik dalam percakapan; atau perilakunya berpura-pura maka dikatakan orang itu berkomidi. Jelaslah betapa besarnya perbezaan antara perkataan komedi dengan komidi. Oleh itu untuk kita menyatakan maksud sesuatu yang lucu, maka perkataan yang tepat ialah komedi, bukan komidi.

Kita seharusnya mengetahui perbezaan perkataan yang seakan-akan sebunyi yang sudah pasti berbeza maksudnya, agar kita dapat membuat pilihan yang tepat untuk mendukung sesuatu maksud yang khusus. Dengan demikian, dapatlah kita berbahasa dengan persis.

Perihal Bahasa


BAHASA ialah penyatuan sistem lambang-lambang bunyi yang digunakan sebagai wahana perhubungan untuk menyatakan fikiran, perasaan dan tujuan dalam lingkungan kelompok manusia. Daripada perkataan bahasa dapat diterbitkan beberapa banyak ungkapan tertentu. Ungkapan-ungkapan ini mengandungi pengertian khusus bagi menyatakan sesuatu pula.

Dalam masyarakat Melayu, jika kita berbudi bahasa, sopan dan tahu akan adat resam dikatakan kita berbahasa, yakni tahu menggunakan bahasa yang sesuai pada tempat, suasana, dan konteks. Kita seharusnya tahu memilih bentuk bahasa yang padan apabila berbicara dengan seseorang. Jika berkomunikasi dengan anggota golongan raja, sultan atau kerabat utama raja, walhal kita sebagai pembicara orang biasa, sudah tentu bentuk bahasa dalam yang kita gunakan. Bahasa dalam ialah bahasa halus yang digunakan di istana. Kata-kata seperti patik (saya), tuanku (awak), junjung kasih (terima kasih), santap (makan), gering (sakit), mencemar duli (berangkat), dan sebagainya digunakan sebagai wahana bicara.

Sebaliknya, apabila kita bercakap dengan orang biasa tetapi dewasa, matang usianya, atau terhormat kerana pangkat kedudukan serta tinggi tahap sosialnya, sudah tentu kita akan memilih penggunaan bahasa halus. Kata-kata dalam bahasa halus lembut tidak dirasakan kasar atau yang boleh menyentuh perasaan. Dengan bahasa ini, misalnya, kita mengelakkan penggunaan kata ganti nama aku dan engkau bagi menurujuk diri sendiri dan orang yang dilawan bercakap. Kita sudah tentu menggunakan saya, tuan, Tan Sri, dan seumpamanya. Kita juga berasa janggal menggunakan perkataan mati untuk manusia, tetapi menggantikannya dengan perkataan mangkat (raja), meninggal dunia, atau dengan kiasan sudah pergi atau sudah tiada lagi (orang biasa). Demikianlah betapa perlunya kebijaksanaan kita memilih perkataan yang amat serasi.

Bercakap dengan orang yang dihormati ini tidak molek, kiranya, kita menggunakan bahasa harian sepenuhnya, kerana bentuk bahasa basahan ini mengandungi perkataan dan ayat yang tidak mematuhi rumus tatabahasa baku. Lenggok bahasanya ringkas serta mudah. Ada perkataan tanpa imbuhan, tanpa gandaan, ayat tergantung tanpa subjek, predikat yang tidak sempurna, serta direncahi dengan bahasa daerah/bahasa dialek, yang hanya sesuai digunakan apabila bercakap dengan anggota keluarga atau rakan dalam suasana tidak rasmi. Penggunaan bentuk bahasa basahan ini dapat mewujudkan komunikasi natural, dan hubungan yang intim. Tetapi, apabila bercakap dengan rakan sejawatan atau sejabatan, kita merojakkan bahasa kita (bahasa rojak). Pada suatu ketika kita menggunakan perkataan bahasa Melayu dan seketika yang lain kita menggunakan perkataan bahasa Inggeris/bahasa Arab tanpa menghitung keluhuran tatabahasa.

Akan ada perbezaan pula bahasa yang kita gunakan apabila lawan bicara kita daripada kalangan bangsa asing (orang Cina, India atau Benggali). Atas dasar untuk tujuan pemahaman maksud yang mudah lagi pantas, kesenangan dan kelancaran komunikasi, maka bahasa pasar menjadi wahana. Apabila bahasa kacukan (bahasa pasar) menjadi bahasa perantaraan, sudah pasti bahasanya menyimpang jauh daripada bentuk bahasa baku kerana yang diutamakan ialah pemahaman inti pati bicara dan kelancaran berbahasa.

Bagi kalangan penutur yang rendah martabat sosialnya, bentuk bahasa slanga, yakni salah satu bentuk bahasa terhad menjadi bahasa bicara. Bahasa slanga yang mendapat perhatian sedikit pada masa lampau ialah slanga kutu, yakni bentuk slanga bagi kalangan mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan narkotik. Bahasa ini mengandungi perkataan-perkataan baharu atau perkataan biasa dengan pengertian tertentu. Langgam bahasanya banyak dipengaruhi oleh perkataan atau struktur bahasa asing, khususnya bahasa pasar. Antara bentuk bahasa slanga ini:

“Itu lu punya pasal. Lu tangkap kawin ke, cintan-cintun ke itu lu punya hal.

Gua tak peduli. Lu nak bikin apa sama gua? Lu mahu sekeh kepala gua? Pigila.”

Lain pula halnya ketika kita berada dalam suasana atau keadaan yang tidak terkawal oleh emosi. Ketika itu, perasaan masa bercakap menjadi penentu bentuk bahasa yang kita pilih. Ghalibnya, dalam keadaan marah, kita hilang pertimbangan dalam berbahasa. Kita menjadi orang yang kurang bahasa atau tak tahu bahasa lalu kita menggunakan bahasa kasar, bahasa yang dianggap tidak sopan atau tidak manis dituturkan. Kekadang, apabila rasa amarah memuncak, kita menggunakan bahasa kesat, bahasa yang lebih rendah tarafnya daripada bahasa kasar. Bentuk bahasa ini mengandungi kata maki hamun yang boleh menyakitkan hati orang lain. Natijahnya, kita akan dianggap orang yang tidak berbahasa lantaran berbicara tanpa budi bahasa. Anggapan ini cocok untuk orang yang seperti itu, kerana bahasa menunjukkan bangsa, dan bahasa jiwa bangsa pembicara.

Bagi orang ilmuan, mereka terdidik untuk menggunakan bahasa baku, iaitu bahasa yang teratur dan mantap dalam pelbagai aspek seperti sebutan, ejaan, dan tatabahasa. Oleh sebab bahasa ini dikatakan bahasa ilmu, maka bentuk bahasa ini digunakan sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan (pengajaran), perbincangan, forum dan sebagainya. Jalan bahasa golongan cendekiawan ini cukup mantap dan berkesan.

Dalam penulisan atau persuratan pelbagai bidang, selain menggunakan laras bahasa menurut lapangannya, pastilah bahasa ilmu yang teratur lagi baik itu digunakan, hingga ada yang menganggap bahasa itu sebagai bahasa kitab. Bahasa persuratan mereka ini bertenaga kerana langgam bahasa yang digunakan indah, tepat dan berkesan. Dalam karya kreatif, bahasa karyawan ini dirampaikan pula dengan bahasa kiasan, peribahasa, bahasa puisi sebagai rencah bahasa persuratan tinggi yang dapat menimbulkkan kesan segar perisa bahasa.

Demikianlah betapa banyak dan luas ungkapan yang bersabit dengan perkataan bahasa dalam bahasa Melayu. Jelaslah bahawa, bahasa dapat menunjukkan hati budi penuturnya, kerana bahasa ceminan hati budi manusia.

Kata Majmuk Endosentrik

PEMAJMUKAN merupakan satu proses membentuk perkataan dengan cara menggabungkan dua atau lebih perkataan, dan perkataan baharu yang terbit daripadanya membawa konsep atau makna yang berlainan daripada makna asal perkataan-perkataan. Contohnya, beg tangan berbeza makna daripada beg dan tangan, kereta api berbeza maknanya daripada kereta dan api, setiausaha berbeza maknanya daripada setia dan usaha.

Dari segi bentuk, terdapat persamaan antara kata majmuk dengan frasa kerana kedua-duanya terbentuk daripada gabungan dua atau lebih perkataan. Kata majmuk bertindak sebagai satu unit, iaitu bentuknya tidak boleh menerima sebarang penyisipan unsur lain. Bagi frasa, di tengah-tengahnya boleh disisipkan dengan unsur lain tanpa mengubah makna frasa itu.

Misalnya, frasa tangan kanan, baju biru dan rumah besar boleh disisipkan perkataan yang menjadi tangan yang kanan, baju yang biru, dan rumah yang besar. Tetapi kata majmuk rumah sakit, kerusi malas dan kereta api tidak boleh diubah menjadi rumah yang sakit, kerusi yang malas dan kereta yang api.

Kata majmuk dieja terpisah, misalnya, gambar rajah, alat tulis, tengah hari, reka bentuk, kertas kerja dan lain-lain. Namun terdapat sebilangan kecil bentuk kata majmuk yang penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan yang utuh, walaupun bentuk kata tersebut ternyata mengandungi dua kata dasar. Perkataan yang demikian tetap dieja bercantum sebagai satu perkataan. Bentuk-bentuk kata tersebut ialah antarabangsa, bumiputera, olahraga, tanggungjawab, setiausaha, jawatankuasa, matahari dan sebagainya.

Kata majmuk yang menerima imbuhan disebut kata makmuk kompleks. Antara contohnya, persuratkhabaran, bertanggungjawab, ketidakseimbangan, dianaktirikan, dan lain-lain. Kata majmuk yang menerima imbuhan apitan mestilah ditulis serangkai sebagai satu perkataan. Contoh: ke + ibu bapa + an¬ = keibubapaan. Di + anak tiri + kan = dianaktirikan, Sebaliknya, jika kata majmuk itu menerima imbuhan awalan atau akhiran sahaja, maka ejaannya tidak ditulis serangkai sebagai satu perkataan. Contohnya: beribu bapa (ber+ibu bapa) dieja beribu bapa, yakni perkataan ibu bergabung dengan awalan ber- manakala perkataan bapa terpisah. Demikian halnya dengan kata majmuk me + kenal pasti = mengenal pasti.

Ada dua jenis kata majmuk dalam bahasa Melayu. Kata majmuk itu ialah kata majmuk endosentrik dan kata majmuk eksosentrik. Kata majmuk endosentrik ialah kata majmuk yang salah satu unsur kata yang membentuknya dapat menggantikan fungsi kata majmuk itu dalam ayat. Teliti ayat contoh berikut:

1. Kereta api itu merah

2. Beg tangannya besar.

3. Tanah itu hak milik kami.

Kata majmuk dalam ayat (1) , (2) dan (3) di atas ialah kereta api, beg tangan dan hak milik. Semua kata majmuk itu berfungsi sebagai subjek. Salah satu perkataan yang membentuknya boleh menggantikan fungsi kata majmuk itu. Misalnya, kata majmuk kereta api dalam ayat (1) dapat dipisahkan dan masing-masing perkataan kereta dan api boleh berfungsi sebagai subjek baharu dalam dua ayat yang berasingan seperti yang berikut:

1. (a) Kereta itu merah atau

(b) Api itu merah.

Beg dan tangan dalam ayat (2), dan hak serta milik juga dalam ayat (3) dapat menjadi subjek dalam ayat yang baharu seperti yang berikut:

2. (a) Begnya besar atau

(b) Tangannya besar.

3. (a) Tanah itu hak kami. atau

(b) Tanah itu milik kami.

Dalam keadaan seperti inilah kata majmuk kereta api, beg tangan dan hak milik dikatakan kata majmuk endosentrik.

Kata majmuk eksosentrik pula ialah kata majmuk yang tidak ada daripada perkataan-perkataan yang membentuknya yang boleh menggantikan fungsi seluruh kata majmuk itu dalam ayat. Telitilah contoh kata majmuk eksosentrik tanggungjawab, setiausaha dan terima kasih dalam ayat-ayat contoh berikut:

4. Tanggungjawab saya berat.

5. Setiausaha mesyuarat belum tiba lagi.

6. Saya ucapkan terima kasih.

Ayat-ayat (4), (5) dan (6) tidak boleh diubah menjadi ayat 4 (a), (b), 5 (a), (b) dan 6 (a), (b)

4. (a) *Tanggung saya berat atau

(b) *Jawab saya berat.

5. (a) *Setia mesyuarat belum tiba lagi atau

(b) *Usaha mesyuarat belum tiba lagi

6. (a) *Saya ucapkan terima atau

(b) *Saya ucapakan kasih.

Oleh yang demikian, dapatlah dikatakan bahawa kata majmuk tanggungjawab, setiausaha dan terima kasih ialah kata majmuk eksosentrik.

Begitulah perbezaan antara kata majmuk endosentrik dengan kata majmuk eksosentrik. Semoga anda mendapat kefahaman yang jelas tentang kedua-dua jenis kata majmuk ini.

Sunday, January 24, 2010

“Cuma” – Perobah Makna Ayat

Oleh MUHAMMED SALLEHUDIN AMAN

KATA cuma merupakan jenis ‘kata penegas’ dalam golongan kata tugas bahasa Melayu. Kata penegas ialah bentuk kata yang digunakan untuk menguatkan sesuatu kenyataan dalam ayat. Kata penegas dapat dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu bentuk kata partikel dan bentuk kata akar.

Contoh kata partikel ialah lah, kah, tah, dan pun, dan contoh kata akar ialah juga, jua, lagi, hanya, sahaja, memang, dan cuma. Jika kata penegas partikel menekankan maksud perkataan yang bercantum dengannya, kata penegas berbentuk akar pula menekankan subjek atau predikat ayat, termasuklah unsur keterangan dalam sesuatu ayat.

Makna sesuatu ayat boleh berubah jika mana-mana satu konstituen yang hadir sebagai unsur binaan ayat itu berbeza-beza letaknya. Lazimnya, konstituen atau unsur kata yang berkenaan terdiri daripada kata tugas yang berfungsi sebagai penegas subjek atau predikat.

Kata penegas cuma bermaksud “hanya”, “melainkan”, dan “semata-mata”, “yang satu-satunya”, “sekadar”, dan “cuming”. Maksud yang demikian ini terkandung dalam ayat contoh yang berikut: Aku cuma anak pungut, tidak dapat berbuat banyak, dan ayat: Saya datang cuma kerana saudari.

Selain itu, kata cuma juga membawa maksud “tidak ada yang lain (sendirian)”. Maksud yang demikian itu, dapat difahami melalui ayat: Cuma dia yang datang, tidak ada yang lain.

Telah ditegaskan bahawa perubahan makna ayat boleh berlaku apabila satu perkataan tertentu dalam ayat dipindahkan tempat letaknya. Perkataan cuma yang menjadi unsur dalam binaan ayat dapat mengubah makna ayat jika kedudukannya dalam ayat itu berubah-ubah. Ayat: Zawiyah menemui Zaidah di rumah ibunya pada hari Jumaat mengandungi makna yang cukup jelas, iaitu menerangkan perihal Zawiyah menemui Zaidah di rumah ibunya (ibu Zaidah), dan perbuatan menemui itu dilakukan pada hari Jumaat. Teranglah bahawa tiada penegasan yang khusus dalam bahagian-bahagian tertentu ayat tersebut sama ada pada bahagian frasa subjek mahupun bahagian predikat ayat.

Jika perkataan cuma diletakkan di tempat yang berbeza-beza dalam ayat itu, sudah tentu maknanya berbeza-beza pula. Telitilah ayat yang sama dengan cuma berada pada tempat yang berbeza-beza.

1. Cuma Zawiyah menemui Zaidah di rumah ibunya pada hari Jumaat.

2. Zawiyah cuma menemui Zaidah di rumah ibunya pada hari Jumaat.

3. Zawiyah menemui cuma Zaidah di rumah ibunya pada hari Jumaat.

4. Zawiyah menemui Zaidah cuma di rumah ibunya pada hari Jumaat.

5. Zawiyah menemui Zaidah di rumah ibunya cuma pada hari Jumaat.

Ayat yang pertama membawa maksud bahawa orang yang bernama Zawiyah sahajalah yang melakukan perbuatan menemui itu; bukan orang lain. Letak kata cuma dalam ayat yang kedua telah mengubah makna ayat yang pertama. Ayat yang kedua ini membawa makna bahawa Zawiyah menemui, bukan memukul, bukan mencubit Zaidah.

Ayat yang ketiga pula berubah maksudnya lagi kerana perubahan letak perkataan cuma. Ayat tersebut bermakna bahawa Zawiyah menemui Zaidah sahaja, bukan perempuan lain. Dalam ayat yang keempat pula, penegasan terletak pada tempat pertemuan antara Zawiyah dengan Zaidah, iaitu di rumah ibunya, bukan di rumah orang lain.

Ayat yang kelima, iaitu Zawiyah menemui Zaidah di rumah ibunya cuma pada hari Jumaat menegaskan waktu pertemuan itu terjadi. Ayat yang kelima ini menerangkan bahawa Zawiyah menemui Zaidah pada hari Jumaat, bukan hari Khamis atau hari Sabtu, atau hari-hari yang lain selain hari Jumaat.

Kita dapat juga melihat perubahan makna kelima-lima ayat yang di atas itu jika perkataan cuma digantikan dengan perkataan-perkataan lain seperti daripada kata penegas hanya, memang; kata bantu sudah, pernah, sedang, akan; atau kata nafi tidak, dan sebagainya.

Demikianlah wujudnya perubahan makna dalam sesuatu ayat apabila sesuatu perkataan yang menjadi unsur binaan ayat itu diletakkan di tempat yang berbeza-beza.

“Ada” sebagai Kata Penegas

Oleh MUHAMMED SALLEHUDIN AMAN

KATA penegas dalam bahasa Melayu disebut juga partikel. Partikel ialah sejumlah perkataan yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat.

Ayat yang mengandungi kata penegas disebut ayat penegas kerana mengandungi sesuatu penegasan tentang sesuatu perkara. Kita mengenal sesuatu ayat penegas itu melalui adanya kata penegas dalam binaan predikat ayat. Dengan adanya kata penegas itu, hal atau perkara yang hendak ditekankan, atau yang hendak diutamakan dapat disampaikan dengan jelas.

Selain partikel -kah, -lah, -tah (penegas frasa predikat, dan bahagian-bahagiannya), juga, jua, pun, sahaja, lagi, dan memang (penegas frasa subjek, dan frasa predikat), kata kerja tak transitif ada juga dapat berfungsi sebagai penegas ayat.

Sebagai penegas, ada menjadi unsur dalam binaan predikat ayat. Ayat yang mengandungi kata ada dinamai ayat penegas. Perhatikan penggunaan kata penegas ada dalam ayat-ayat contoh yang berikut:

1. Saya / ada bersamanya ketika itu.

2. Dia / ada mengatakan hal itu kepadanya.

Dalam ayat (1) dan (2), kata penegas ada, yang menjadi unsur utama predikat ayat digunakan untuk menegaskan kesungguhan sesuatu hal. Hal demikian itu terkandung dalam makna frasa kerja ayat (1) dan (2), iaitu ada bersamanya, dan ada mengatakan. Jadi, untuk menegaskan frasa kerja, maka kata penegas ada dapat digunakan.

Bagaimana pula halnya untuk menegaskan frasa nama, frasa adjektif dan frasa sendi nama? Untuk frasa adjektif dan frasa sendi nama, kata penegas ada perlu ditambahkan dengan partikel di belakangnya, lalu membentuk kata adalah.

Harus diingat, dalam golongan kata bahasa Melayu, kata adalah ialah kata pemeri. Fungsi kata pemeri tidak lain daripada berfungsi sebagai unsur yang menjadi pemeri hal selain sebagai perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Dengan kata lain maksud pemerian merupakan suatu penegasan. Hal demikian dapat kita perhatikan dalam ayat-ayat contoh yang berikut:

3. Selendang sutera ini adalah untuk kekasihnya.

(adalah diikuti oleh frasa sendi nama, dan penegas frasa sendi nama)

4. Pendapatnya adalah tepat.

(adalah diikuti oleh frasa adjektif, dan penegas frasa adjektif)

Untuk frasa nama, kata pemeri ialah, bukan adalah digunakan kerana penggunaan ialah menunjukkan pemerihalan secara persamaan, atau ekuatif. Oleh itu, untuk maksud yang demikian itu, ialah hadir di hadapan frasa nama. Contohnya dalam ayat:

5. Wanita itu ialah jurujual.

(ialah diikuti oleh frasa nama, dan penegas frasa nama)

Untuk tujuan pertanyaan pula, partikel -kah digabungkan dengan kata ada, dan ia membentuk kata tanya adakah dan iakah. Partikel -kah pada kata ada, ia bertujuan semata-mata untuk menegaskan hal yang ditanyakan. Lihatlah tanya jawab yang berikut yang menunjukkan cara kata penegas tanya itu digunakan:

6. Adakah Nasir datang ke sini?

Ya, Nasir ada datang ke sini.

7. Adakah berita itu benar?

Ya, berita itu adalah benar.

8. Iakah orang itu guru baru?

Ya, orang itu ialah guru baru.

Harus diingat bahawa kata tanya apakah tidak boleh dijadikan kata penegas tanya seperti adakah atau iakah. Perhatikan betapa janggalnya ayat tanya yang menggunakan kata tanya apakah dalam ayat tanya yang berikut:

9. *Apakah keluarganya menerima pinanganmu?

Seharusnya: Adakah keluarganya menerima pinanganmu?

10. *Apakah orang itu mantan pengetua?

Seharusnya: Iakah orang itu mantan pengetua?

11. *Apakah bandar Melaka ibu negeri Melaka?

Seharusnya: Adakah bandar Melaka ibu negeri Melaka?

Begitulah huraian tentang bentuk kata ada yang berfungsi sebagai kata penegas dalam ayat bahasa Melayu.

Monday, November 9, 2009

Pilis dan pitis





Oleh Muhammed Salehudin Aman

SEORANG pelajar telah bertanya kepada saya tentang maksud kata pilis. Tanyanya lagi; adakah perkataan ini variasi sebutan kata pilih? Maksudnya, kedua-dua kata itu boleh saling berganti untuk maksud yang sama. Teringat oleh saya akan seuntai bait lagu Melayu yang bunyinya lebih kurang:

Direnjis-renjis dipilis

Ditepungilah tawar

Hai beras kunyit ditabur

Disiram si air mawar.

Apakah maksud perkataan pilis? Ada dua maksud perkataan pilis ini. Pertama, pilis ialah ubat yang dipalit atau ditepekkan di dahi. Pada zaman dahulu, ada sejenis ubat yang dikenal sebagai ubat guna-guna atau ubat pengasih. Lazimnya, ubat ini dibuat daripada minyak. Jika seseorang itu berkehendak akan seseorang gadis supaya gadis itu jatuh kasih kepadanya, maka dicalitkan sedikit ubat guna-guna itu pada tubuh si gadis. Perbuatan “mencalit” ini disebut pilis atau palit.

Maksud pilis yang kedua pula ialah garis pangkah di dahi untuk tujuan menghindarkan sebarang penyakit. Dalam perubatan tradisi orang Melayu, apabila seseorang itu jatuh sakit, misalnya terkena sampuk orang halus, maka seketul kunyit hidup dikerat beberapa kerat; kemudian dibacakan jampi, lalu dengan kunyit itu, ditulis garis silang bentuk “X” di dahinya. Kadangkala, bukan sahaja pada dahi tetapi di bahagian lain tubuh pesakit seperti di kedua-dua tangan atau lengannya. Tujuannya sebagai tangkal penyakit.

Di sesetengah tempat, ubat pilis ini berwarna hitam yang juga dipalitkan atau dilekatkan di dahi dan di pelipis pesakit sakit kepala, atau wanita yang baru bersalin.

Pipis yang sebutan lengkapnya “berpipis” bermaksud sudah dilumatkan, atau sudah dihaluskan dengan batu giling/batu tumbuk. Perbuatan memipis itu dinamai juga “memipik”. Lazimnya, barang yang dipipis atau dipipik itu lada atau rempah. Bukankah dalam peribahasa Melayu terungkap kalimat “Burung terbang dipipiskan lada”? Maksud peribahasa ini bersiap sedia untuk meraih hasil yang belum diperoleh.

Pitis pula ialah sejenis mata wang yang digunakan pada zaman dahulu. Pitis ini dibuat daripada tembaga atau timah nipis yang berlubang bulat di tengahnya. Di negeri Kelantan dan di ranah Minangkabau, pitis disebut sebagai pitih.

Seperti halnya dengan kata pilis, kata pitis juga banyak terakam dalam peribahasa Melayu; antaranya termasuklah “Pitis habis, kemahuan tiba” (ertinya: Kemahuan datang setelah jatuh miskin). Jika dikatakan “Buang pitis” maksudnya perbuatan mempersembahkan wang kepada wali atau orang keramat untuk mendapatkan kepastian tentang sesuatu hal atau nasib seseorang.

Kata yang bersinonim dengan pitis ialah picis. Kata picis merupakan bahasa arkaik, yakni bahasa yang tidak ghalib digunakan lagi. Picis berupa wang yang bernilai sepuluh sen yang bersamaan dengan satu ketip. Jadi nilai sepuluh sen (pitis) ialah satu ketip.

Apabila kata picis diakhiri akhiran –an, maka terbitlah kata picisan. Picisan bermaksud sesuatu yang rendah mutunya. Lihatlah maksud picisan dalam ayat-ayat contoh yang berikut ini:

1. Mereka lebih suka membaca majalah picisan daripada majalah ilmiah.

2. “Sekarang, banyak benar roman picisan terjual di kios buku.” kata Ramli kepada Rahman.

Kata pisis pula berasal daripada bahasa Cina yang sama maksudnya dengan kata picis dan pitis, iaitu benda yang berkaitan dengan wang logam. Jadi, baik pitis, picis atau pisis maksudnya sama, iaitu kepingan wang logam yang digunakan pada zaman dahulu.

Satu lagi bentuk kata lain yang hampir sama bunyi sebutannya dengan kata pisis ialah pises. Pises ialah lambang yang kedua belas dalam zodiak bagi orang yang dilahirkan antara julat 21 Februari hingga 20 Mac.

Pinis ialah ringkasan daripada ejaan lengkap kata tempinis. Tempinis sejenis tumbuhan (kayu) yang keras batangnya dan tahan lama. Kayu tempinis disebut juga sebagai kepinis. Kayu tempinis ini banyak jenisnya, seperti tempinis hitam, tempinis merah, tempinis putih. Para pelajar harus berhati-hati apabila mengeja kata pinis ini. Jika kedua-dua huruf vokal dalam suku kata pertama dan suku kata kedua kata itu digantikan dengan huruf vokal e taling, terbentuklah ejaan penes. Penes ialah sejenis kapal yang saiznya kecil.

Demikianlah huraian tentang kata pilis (dan kata-kata lain yang hampir serupa bentuknya). Nyatalah bahawa kata pilis bukan bermaksud pilih; dan oleh itu pilis dan pilih tidak boleh saling berganti, kerana kedua-dua bentuk kata ini tidak bersinonim. Semoga huraian ini dapat menjawab soalan pelajar tadi.

Kata Sendi Nama Waktu

Oleh MUHAMMED SALLEHUDIN AMAN

PENGGUNAAN kata sendi nama waktu dalam konteks berbahasa, baik bahasa lisan mahu pun bahasa tulisan, masih kerap menimbulkan permasalahan yang sungguh menonjol. Dengan melihat kesalahan-kesalahan bahasa yang berkaitan dengan penggunaan kata sendi ini, dapat kita rumuskan seolah-olah pengguna bahasa tidak bijak memilih kata sendi nama yang sesuai untuk menyatakan sesuatu hal, khususnya hal yang bersabit dengan faktor waktu.

Pada sesetengah orang, kesalahan-kesalahan tersebut hanyalah permasalahan kecil sahaja, yang tidak pula menjadikan bahasa itu rancu. Anggapan begitu tidak harus dijadikan alasan untuk membiarkan bentuk bahasa yang sedemikian rupa. Ketidakprihatinan kita terhadap usaha membetulkannya akan mencetuskan bentuk bahasa yang tidak keruan kerana bahasa yang tidak menurut acuannya.

Tulisan pada kali ini berfokus pada kesalahan penggunaan beberapa kata sendi nama waktu bahasa Melayu.

Kata sendi nama dari, ke, pada, hingga, sejak (semenjak) digunakan di hadapan kata atau frasa nama yang menunjukkan waktu (masa). Selain itu, kata sendi dari, ke dan pada digunakan juga di hadapan kata nama yang menunjukkan tempat dan arah, seperti dalam frasa dari atas, dari Kajang, ke kedai, ke utara, ke sisi, pada Aiman,dan pada pipinya .

Kata sendi dari menjadi penanda frasa sendi nama yang menyatakan waktu. Hal ini ditunjukkan seperti dalam ayat yang berikut:

1. Mesyuarat itu berlangsung dari pukul 2.00 hingga 4.30 petang.

2. Penduduk kampung itu berkawal dari waktu Maghrib hingga waktu Subuh.

Kata sendi dari tidak boleh ditukar ganti dengan kata sendi nama daripada kerana kata sendi daripada tidak digunakan sebagai penanda waktu melainkan untuk menyatakan hal-hal seperti yang berikut:

(a) Punca bagi manusia, haiwan atau benda (daripada Ain, daripada Jabatan Perdana Menteri)

(b) asal kejadian dan sumber (daripada muntah lembu, daripada emas)

(c) unsur perbandingan atau perbezaan (lebih bijak daripada Sail)

(d) unsur pecahan atau bahagian (separuh daripada keseluruhannya)

(e) benda dan hal yang abstrak ( daripada pandangannya itu)

Oleh itu, ayat-ayat yang berikut ini tidaklah tepat penggunaan kata sendi nama daripada untuk waktu:

3. *Saya menunggu kamu daripada pukul 3.00 petang.

(seharusnya: ... dari pukul 3.00 petang)

4. *Syahmi tidur daripada pukul 8.00 pagi tadi.

(seharusnya: ...dari pukul 8.00 pagi tadi)

Kata sendi hingga digunakan di hadapan kata/frasa nama untuk membawa maksud perihal peringkat dan had masa, atau jarak waktu tentu. Tidak seperti kata sendi nama dari, kata hingga dapat bertukar ganti dengan kata sendi nama sampai yang juga menunjukkan konsep perhinggaan masa. Ayat contohnya:

5. (a) Mereka bergadang hingga dinihari.

(b) Mereka bergadang sampai dinihari.

6. (a) Pasukan ini mara hingga peringkat separuh akhir.

(b) Pasukan ini mara sampai peringkat separuh akhir.

Sebagai penanda jarak waktu tertentu, yakni merujuk lamanya tempoh dari detik permulaan sesuatu kejadian hingga detik penghabisan kejadian yang sama, kata sendi nama dari dan hingga atau sampai digunakan bersama. Contoh penggunaannya:

6. Petani gigih itu bekerja dari pukul 7.00 pagi hingga pukul 5.00 petang.

7. Tawaran barangan harga rendah itu bermula dari

1 November hingga 30 November 2009.

Oleh sebab kata sendi hingga dan sampai sedia mengandungi maksud titik penghabisan berlakunya sesuatu kejadian itu, maka kata sendi nama ke tidak perlu lagi mengikuti kata sendi nama hingga dan sampai itu. Ayat-ayat yang berikut ini tidak gramatis tatabahasanya:

8. (a) *Ayahnya keluar dari awal pagi hingga ke lewat malam.

(a) *Ayahnya keluar dari awal pagi sampai ke lewat malam.

Kata sendi nama sampai tetap juga menunjukkan titik penghabisan berlakunya sesuatu kejadian apabila digunakan tanpa berpasangan dengan kata sendi dari. Contohnya:

9. Pegawai itu bekerja sampai pukul 5.00 petang.

Selain digunakan untuk manusia, binatang, benda abstrak, dan benda konkrit tertentu, kata sendi nama pada digunakan juga untuk menunjukkan waktu. Hal ini ditunjukkan penggunaannya dalam ayat yang berikut:

10. Rombongan kebudayaan itu tiba pada pukul 10.00 lagi.

11. Kamus telapak itu ada pada Husna. (manusia)

12. Pada pendapat saya, rancangan itu baik. (abstrak)

13. Minyak angin itu disapukan pada kulitnya.

Harus diingat, kata sendi nama pada tidak boleh bersilih ganti dengan kata sendi di, kerana di digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Oleh itu, ayat-ayat contoh yang berikut ini salah tatabahasanya.

14. *Suasana di pagi hari raya sungguh meriah.

(seharusnya: pada pagi...)

15. *Di masa kemelesetan ekonomi ini, kita harus berhemat berbelanja.

(seharusnya: Pada masa ...)

Sebagai kata sendi nama, kata sejak/semenjak membawa maksud penanda waktu, yakni menyatakan makna bermula dari sesuatu masa tertentu, maka mestilah digunakan di hadapan kata nama dan frasa nama. Contoh penggunaannya:

16. Adib tinggal bersama-sama dengan bapa angkatnya sejak lima tahun yang lalu.

17. Semenjak kematian isterinya beberapa bulan ini, beliau kelihatan sugul sahaja.

Kata sendi nama yang menunjukkan waktu seterusnya ialah kata sendi ke. Contoh penggunaan kata tersebut dalam ayat adalah seperti yang berikut:

18. Pemeriksaan cukai jalan kenderaan akan diadakan dari

semasa ke semasa.

Dalam hal frasa sendi nama dari semasa ke semasa ini boleh sahaja disebut dari satu masa ke satu masa kerana awalan se itu membawa maksud satu. Salah pula jika kata bilangan satu atau se tidak digunakan pada kedua-dua kata nama itu sekali gus. Contoh-contoh kalimat yang salah:

19. *Pembangunan negara akan dilaksanakan dari masa ke semasa.

20. *Senarai daftar pengundi akan diperkemas dari semasa ke masa.

21. *Pemeriksaan kebersihan gerai-gerai makanan akan dilakukan oleh pihak Penguat Kuasa Perbandaran dari masa ke satu masa.

Penggunaan pasangan kata dari yang diikuti sendi nama ke tidak boleh digantikan dengan pasangan daripada dengan kepada seperti yang berikut:

22. *Pemeriksaan cukai jalan kenderaan akan diadakan daripada masa kepada semasa.

atau

23. *Daripada sehari kepada sebulan; daripada bulan kepada tahun usia kita akan bertambah.

Begitulah huraian tentang penggunaan kata sendi nama yang berkaitan atau yang menunjukkan waktu. Hakikat yang jelas ialah bahawa kata sendi nama waktu ini digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan hal waktu.

Aktif, aktiviti dan aktivisme






Oleh Muhammed Salehudin Aman

KATA adjektif aktif berasal daripada kata bahasa Inggeris active. Kata ini mendukung beberapa maksud, iaitu pertama, bertenaga dan giat (berkenaan orang, tubuh, otak). Yang kedua, bermakna pantas, deras atau cepat; dan yang ketiga ialah banyak menjalankan (sesuatu), atau terlibat dalam kegiatan-kegiatan. Ketiga-tiga maksud yang dinyatakan itu ditunjukkan dalam ayat-ayat contoh yang berikut:

1. Haris ialah murid Tahun Enam Bestari yang aktif.

2. Anggota Kadet Bomba itu bergerak dengan aktif sebaik-baik sahaja menerima arahan.

3. Aiman mengambil bahagian yang aktif dalam kegiatan kokurikulum di sekolahnya.

Dalam ketiga-tiga ayat contoh di atas, kata aktif dapat digantikan dengan kata cergas, kerana makna kata cergas dalam ketiga-tiga ayat tersebut sudah merangkumi makna active dalam bahasa Inggeris.

1. (a) Haris ialah murid Tahun Enam Bestari yang cergas.

2. (a) Anggota Kadet Bomba itu bergerak dengan cergas sebaik-

baik sahaja menerima arahan.

3. (a) Aiman mengambil bahagian yang cergas dalam kegiatan

kokurikulum di sekolahnya.

Penggunaan kata cergas dapat menunjukkan sifat kemelayuan ayat-ayat tersebut itu.

Kata aktif, yang digunakan dalam bidang ilmu linguistik, menunjukkan subjek ayat melakukan sesuatu terhadap objek. Maknanya, objek mengalami (menderita) oleh makna kata kerja aktif tersebut. Contohnya:

4. Hafiz memukul bulu tangkis dengan raketnya.

Dalam ayat 4, pelakunya, iaitu subjek ayat (Hafiz) melakukan perbuatan pukul terhadap objek ayat (bulu tangkis), dan objek menerima kata kerja aktif “memukul”. Oleh itu, ayat 4 itu dikatakan ayat aktif.

Dalam bidang ekonomi pula, khususnya yang berkaitan dengan pasaran saham, kata aktif juga kerap digunakan. Contohnya:

5. Warta Perdana menyiarkan berita tentang tujuh saham yang paling aktif apabila Bursa Saham ditutup.

Satu lagi makna kata aktif ialah giat. Perhatikan penggunaannya dalam ayat yang berikut:

6. Dato’Asyraf aktif dalam pergerakan politik. Atau

6. (a) Dato’Asyraf giat dalam pergerakan politik.

Daripada kata aktif, terbit bentuk kata aktiviti. Kata ini merupakan padanan daripada kata bahasa Inggeris activity.

7. Puan Rosmawati berminat dalam aktiviti sosial, sukan dan budaya.

Dalam bahasa Melayu, activity bermaksud kegiatan. Jadi, kata aktiviti dalam ayat 7 itu boleh digantikan dengan kegiatan.

Kata aktiviti digunakan juga dalam beberapa kata istilah khusus bidang tertentu, seperti dalam bidang pentadbiran, bidang sains, bidang linguistik, dan lain-lain. Misalnya, dalam bidang pentadbiran, perniagaan dan ekonomi ada istilah seperti akaun aktiviti (activity account), nisbah aktiviti (activity ratio) dan persampelan aktiviti (activity sampling).

Dalam bidang sains, dan linguistik terdapat istilah nitrogen aktif (active netrogen), jisim aktif (active mass), dan ayat aktif (active sentence).

Orang yang melibatkan diri dalam sesuatu kegiatan secara aktif digelar aktivis (activist). Contoh ayat:

8. Pada setiap kali sambutan ulang tahun kemerdekaan, kerajaan

memberikan penghormatan yang istimewa kepada tokoh-tokoh yang menjadi aktivis gerakan kemerdekaan negara.

Kata nama terbitan bagi kata aktif ialah keaktifan, yang bermaksud perihal bertindak dengan cergas. Ayat contohnya:

9. Kerana keaktifan dan semangat juangnya yang kental, Dato’ Murad sentiasa dipilih sebagai presiden parti pada setiap kali mesyuarat agung parti tersebut diadakan.

Seperti halnya dengan kata aktiviti, kata keaktifan juga digunakan untuk istilah sains. Misalnya, penalar keaktifan (activity constant), dan pekali keaktifan (activity coefficient).

Akhir sekali ialah aktivisme (activism). Aktivisme bermaksud amalan yang berteraskan tindakan kekerasan untuk mencapai sesuatu tujuan, khususnya tujuan politik.

Demikianlah huraian tentang kata aktif, iaitu salah satu kata serapan daripada kata bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu. Sesungguhnya amat digalakkan, kita menggunakan kata dalam bahasa Melayu yang sama maksudnya dengan kata aktif serta kata-kata terbitan daripadanya.

Buah Beralun-alun?

Oleh Muhammed Salehudin Aman

Ayat: Gugusan buah dipohon beralun-alun ditiup angin.

Hal tentang kegramatisan ayat contoh di atas pernah ditanyakan kepada saya. Gramatiskah kata kerja tak transitif berganda beralun-alun dalam predikat ayat, bagi menggambarkan keadaan gerakan gugusan buah di pokok?

Kata beralun-alun bermaksud berombak-ombak secara memanjang, dan tidak memecah; atau ombak yang bergulung-gulung (biasanya tidak tinggi daripada ombak biasa). Kata ini memang ghalib dikaitkan dengan hal ombak, Nyatalah, beralun-alun sesuai digunakan bagi menggambarkan keadaan pergerakan air, sama ada air laut atau air tasik yang besar dan luas bidangnya. Contohnya:

1. Laut luas beralun-alun.

2. Air danau Singkarak beralun-alun.

Benda-benda yang bergugus seperti buah langsat, buah dokong, jambu madu, duku, longan, mata kucing, dan lain-lain seumpamanya memang bergerak-gerak apabila ditiup angin (kencang). Gerakan yang berlaku itu tidaklah dikatakan beralun-alun, kerana beralun-alun tidak sesuai digunakan untuk menggambarkan gugusan buah yang bergerak-gerak. Kata yang sesuai bagi gambaran itu ialah berbuai-buai atau berayun-ayun.

Berbuai bermaksud berayun, sama ada ke belakang atau ke hadapan, ke kiri atau ke kanan. Jika digandakan kata berbuai menjadi berbuai-buai, maka maknanya berbuai berulang-ulang. Makna ini dinyatakan dalam ayat yang berikut:

3. Badannya yang gemuk itu kelihatan berbuai-¬buai apabila ia berjalan.

4. Kereta itu kelihatan bergantung dan berbuai-buai.

Kata lain yang seerti dengan berbuai-buai ialah berayun-ayun, dan bergoyang-goyang. Berayun-ayun menunjukkan sesuatu yang bergantung dan bergerak ke hadapan atau ke belakang, ke kiri atau ke kanan secara teratur. Maksud ini dapat difahami daripada ayat berikut:

5. Kanak-kanak sedang melihat kera berayun-ayun di pokok.

Sama seperti maksud kata berayun-ayun, bergoyang-goyang juga membawa maksud bergerak-gerak. Pergerakan itu berulang kali. Maksud seperti ini tersirat dalam ayat 6:

6. Kereta kecil itu bergoyang-goyang kerana jalan yang dilaluinya berlubang-lubang.

Jadi, maksud bergerak ke hadapan, ke belakang, ke kiri dan ke kanan terkandung dalam maksud kata berbuai-buai, berayun-ayun dan bergoyang-goyang. Dahan pokok bergoyang-goyang; buahnya berbuai-buai atau berayun-ayun. Ombak laut beralun-alun. Demikian itulah nama pergerakan yang terjadi pada dahan pokok (termasuk ranting dan daun), buah dan air laut.

Janggal benar kiranya kita mengatakan bahawa dahan pokok beralun-alun atau berayun-ayun. Untuk keadaan gerakan pokok, kata bergoyang-goyang yang lebih tepat. Untuk gugusan buahnya pula, kata berbuai-buai dan berayun-ayun yang sangat sesuai.

Harus diingat, kata ganda separa berimbuhan beralun-alun, selain menggambarkan pergerakan air ombak, kata ini dapat digunakan sebagai maksud kiasan pergerakan pokok padi. Misalnya:

7. Pokok padi beralun-alun seperti ombak di lautan apabila ditiup

angin.

Begitulah jawapannya kepada persoalan kegramatisan ayat “Gugusan buah dipohon beralun-alun ditiup angin”. Ketaralah bahawa beralun-alun, berbuai-buai dan berayun-ayun, dan bergoyang-goyang digunakan bagi menggambarkan keadaan yang tertentu untuk sesuatu benda yang tertentu juga.

Monday, September 28, 2009

Halangan-halangan Penggunaan Kata Ganti Diri I dan II

KATA ganti nama dikenal sebagai bentuk kata yang tugasnya menjadi pengganti nama. Kata ganti ini terbahagi kepada kata ganti diri, kata ganti tanya, kata ganti tempat, kata ganti tunjuk, dan kata ganti tak tentu. Contoh-contoh kata ganti nama tersebut adalah seperti yang berikut:

Kata ganti diri: saya, awak, dia

Kata ganti tanya: apa, siapa, mana

Kata ganti tempat: sana, sini, situ

Kata ganti tunjuk: ini, itu

Kata ganti tak tentu: apa-apa, siapa-siapa, mana-mana

Sama ada kita sedar atau tidak, bahawa kata ganti nama diri merupakan kata ganti yang banyak larangan ketika menggunakannya. Larangan ini memandu kita memilih kata ganti diri itu yang betul lagi tepat, kerana ketidaktepatan penggunaan kata ganti nama diri itu, bukan sahaja menyalahi hukum tatabahasa, bahkan menyalahi norma-norma kesantunan bahasa pula.

Kata aku, misalnya, tidak manis serta kurang sopan digunakan apabila kita bercakap dengan seseorang yang belum mesra dengan kita, atau seseorang yang lebih tua, atau seseorang yang perlu kita hormati. Kepada mereka ini, kata saya dianggap cukup neutral dan paling sesuai; dan jika dengan golongan raja, kata ganti diri patik pula lebih cocok daripada kata saya.

Kami ialah satu lagi kata ganti diri yang kerap salah digunakan pada masa berkomunikasi. Kata kami digunakan apabila kita bercakap dengan orang yang kedua. Namun, orang yang diajak bercakap (pihak yang ketiga) tidak disertakan. Sebaliknya, jika orang yang diajak bercakap itu disertakan, maka kata ganti diri kita, bukan kami paling tepat lagi sesuai.

Kata ganti nama daku mudah dikesan kesalahan penggunaannya dalam lirik atau seni kata lagu. Harus diingat, kata daku hanya boleh digunakan sesudah kata yang diakhiri huruf konsonan “n”. Demikian itulah peraturannya. Dengan demikian, jika kata sebelum daku bukan huruf “n”, gunakan sahaja kata aku. Perhatikan kesalahan penggunaan daku dalam ayat yang berikut:

1. *Dia memanggil daku dengan suara yang lantang.

Seharusnya: Dia memanggil aku dengan suara yang lantang.

Bentuk penggunaan kata daku yang betul seperti dalam ayat contoh 2 dan 3 yang berikut:

2. Dia meninggalkan daku bersendirian dalam kesejukan yang mencengkam tulang.

3. Masih cintakah engkau akan daku?

Selain itu, daku juga tidak boleh digunakan sebagai subjek atau predikat

ayat. Ayat-ayat contoh yang berikut ini dianggap salah tatabahasanya:

4. *Daku / sanggup menemanimu ke pesta muda mudi itu.

(daku sebagai subjek ayat)

5. *Dakulah / yang menemaninya pada malam itu.

(daku sebagai predikat ayat)

Oleh sebab kata daku tidak boleh berfungsi sebagai subjek dan predikat ayat, maka kata daku harus digantikan dengan kata aku, seperti ayat contoh 4 (a) dan 5 (a).

4. (a) Aku / sanggup menemanimu ke pesta muda mudi itu.

5. (a) Akulah / yang menemaninya pada malam itu.

Bagaimana dengan penggunaan kata ganti diri kedua pula? Seperti halnya dengan kata ganti diri pertama, kata ganti diri kedua juga mempunyai beberapa larangan dalam penggunaannya. Kata awak, engkau (kau), kamu dan anda tidak boleh digunakan untuk orang yang dihormati, atau orang yang lebih tua usianya. Oleh itu, wajarlah kita menggunakan kata panggilan menurut pangkat kekeluargaan, seperti kakak, abang, pak cik, mak cik; atau nama gelaran, iaitu Encik, Datuk (Dato’), Tuan Haji, Datuk Seri, Tan Sri, Datin, dan lain-lain seumpamanya.

Kata dikau ialah padanan kepada kata ganti diri pertama daku. Seperti juga halnya dengan daku, kata dikau tidak boleh digunakan sesudah kata yang tidak berakhir dengan huruf konsonan “n”. Jadi, gantikan sahaja kata dikau dengan kata engkau atau kamu supaya betul penggunaan kata ganti diri ini. Contohnya:

6. Sayangku! *Daku ucapkan selamat berbahagia kepada dikau!

Seharusnya: Sayangku! Aku ucapkan selamat berbahagia kepadamu (kamu)!

Kata ganti diri kedua anda dapat digunakan untuk maksud tunggal dan jamak. Kata ini digunakan untuk diri orang yang kedua apabila tidak berhadapan dengan kita, misalnya dalam surat-menyurat, dan dengan orang yang sebaya. Jika seseorang yang dihormati oleh status dan usianya, kata anda sungguh tidak sesuai untuknya.

Satu persoalan yang sering ditimbulkan, mengapakah kata ganti diri aku dan engkau (kau) digunakan apabila kita berdoa kepada Tuhan? Penggunaan aku dan engkau (kau) kepada Tuhan menunjukkan dekatnya kita dengan Tuhan seolah-olah tiada batas antara kita dengan Tuhan yang dapat menghalang permintaan kita dalam doa kepada-Nya.

Begitulah beberapa larangan yang juga berupa peraturan penggunaan beberapa kata ganti diri pertama dan kedua dalam berbahasa. Larangan merupakan peraturan yang dapat memandu kita menggunakan kata ganti diri dengan tepat lagi betul.

Wacana

SETIAP ayat yang dibina mempunyai satu tumpuan makna yang membentuk satu fokus pemikiran. Fokus pemikiran ini disebut wacana. Wacana ialah satu unit bahasa yang lengkap, yang melebihi batas ayat.

Dari segi tatatingkat tatabahasa, wacana terletak pada tingkat yang tertinggi selepas ayat, yakni bermula daripada “perkataan” di tingkat bawah kepada “frasa” (di tingkat kedua), kemudian “klausa”; selepas itu “ayat”, dan tingkat yang tertinggi “wacana”. Kedudukan ini diperjelas melalui rajah yang berikut:

Perkataan > Frasa > Klausa > Ayat > Wacana

Wacana boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian, dialog, bab, buku, siri buku dan sebagainya, yang memperlihatkan hubungan dan perkembangan fikiran secara berurutan serta lengkap. Sesuatu wacana, sama ada dalam bentuk lisan (pidato, khutbah), atau tulisan (surat, novel, cerpen, artikel) diujarkan/ditulis bagi tujuan menyampaikan sesuatu maklumat tentang sesuatu topik. Wacana bentuk tulisan ditulis dalam pelbagai bentuk, iaitu sama ada bentuk naratif (pemerian), deskriptif (penggambaran, eksposisi (pendedahan) atau penghujahan.

Sesuatu wacana yang utuh mempunyai dua ciri utama, iaitu kohesi (tautan) dan koheren (runtutan).

Kohesi bermaksud bahawa keserasian hubungan antara satu unsur linguistik dengan satu unsur linguistik yang lain. Keserasian hubungan ini, lazimnya, melalui hubungan antara satu perkataan, frasa atau ayat dengan perkataan, frasa atau ayat lain dalam wacana yang sama. Hal ini dijelaskan dalam ayat contoh yang berikut:

1. Pada waktu ini, abang dan kakak tinggal di bandar Kajang.

2. Sekarang, mereka tinggal di sana.

Kohesi antara ayat 1 dengan ayat 2 wujud melalui pertalian antara Pada waktu ini dengan Sekarang, abang dan kakak dengan mereka, dan di bandar Kajang dengan di sana.

Koheren atau runtutan pula merupakan kesinambungan idea yang terdapat dalam sesuatu wacana sehingga menjadikan teks itu bermakna. Contohnya:

Ekonomi Malaysia masih dalam keadaan gawat. Jelaslah, ekonomi kita masih belum betul-betul pulih. Harga komoditi kita masih rendah. Imbangan dagangan kita masih belum meningkat. Oleh itu, kita mesti menghadapi kenyataan ini dengan realistik. Kita tidak harus berbelanja lebih kerana keadaan ini.

Dalam contoh di atas, kesinambungan idea tentang keadaan ekonomi yang tidak menentu terjalin melalui perkataan dan frasa ekonomi Malaysia dalam ayat 1, belum betul-betul pulih dalam ayat 2, harga komoditi dalam ayat 3, imbangan dagangan dalam ayat 4, dan menghadapi kenyataan ini dalam ayat 5. Kelima-lima ayat dalam perenggan di atas menjadi koheren yang bermakna.

Untuk memahami ciri koheren dengan lebih jelas lagi, telitilah satu contoh lagi.

Sebutan berdasarkan ejaan dikenal juga sebagai sebutan fonemik.

Sebutan fonemik menegaskan bahawa pengucapan sesuatu bunyi

itu menurut nilai bunyi yang dilambangkan oleh huruf atau grafem.

Prinsip ini berasaskan hakikat bahawa hampir setiap fonem dalam

bahasa Melayu dilambangkan oleh sesuatu atau satu grafem yang

mendukung satu nilai bunyi.

Dalam contoh di atas, koheren terjalin daripada sebutan berdasarkan ejaan dalam ayat 1, sebutan fonemik dan pengucapan sesuatu bunyi itu menurut nilai bunyi yang dilambangkan oleh huruf atau grafem dalam ayat 2, prinsip ini dan morfem dilambangkan oleh sesuatu atau satu grafem dalam ayat 3. Ketiga-tiga ayat dalam perenggan ini menjadi koheren yang bermakna.

Selain ciri kohesi dan koheren ini, terdapat juga ciri-ciri lain yang membantu menghasilkan wacana yang utuh, seperti tujuan sesuatu wacana, penerimaan oleh pendengar atau pembaca, maklumat yang terkandung, keadaan yang mewujudkan wacana dan peranan wacana.

Dalam bentuk tulisan, seperti surat kiriman, esei dan lain-lain, wacana yang utuh mempunyai tubuh, yakni format teks yang lengkap. Format teks itu mengandungi pendahuluan, tubuh (isi dengan jalinan bahasa yang mantap), penutup, dan unsur lain (yang melengkapkan wacana seperti graf, jadual, peta, statistik, dan sebagainya).

Begitulah huraian tentang wacana dalam berbahasa. Wacana begitu penting dalam menentukan kegramatisan bahasa.

Diftong dan Vokal Rangkap




Bagaimanakah anda membunyikan (menyebut) perkataan meterai dan mulai?

(a) me. te. rai

(b) me. te. ra. i

(c) mu. lai

(d) mu. la. i

Jika anda memilih jawapan (a) dan (c) bermakna dua huruf vokal ai yang segugus dalam suku kata akhir perkataan-perkataan itu ialah diftong; maka bunyi diftong ai [ ai ] yang dilafazkan. Jikalau jawapan anda (b) dan (d), maka huruf vokal ai dalam suku kata akhir kata meterai dan mulai itu ialah vokal rangkap.

Diftong ialah gabungan dua bunyi vokal yang dilafazkan secara berterusan dalam satu hembusan nafas. Hal ini seperti demikian kerana bunyi diftong terhasil apabila bunyi satu vokal menggeluncur dengan cepatnya ke suatu vokal lain. Ertinya, lidah pada mulanya diletakkan pada keadaan sebagaimana membunyikan sesuatu vokal, kemudian digeluncurkan ke arah membunyikan vokal yang lain. Diftong dianggap sebagai satu suku kata, dan dilambangkan oleh dua vokal tetapi bertindak sebagai satu fonem.

Dalam bahasa Melayu, terdapat tiga jenis diftong, iaitu ai, au, dan oi. Bagaimanakah kita menghasilkan bunyi ketiga-tiga diftong tersebut?

Perlu diingat bahawa dalam proses pengeluaran bunyi-bunyi bahasa, lidah merupakan alat artikulasi (pertuturan) yang paling aktif lagi penting. Untuk menghasilkan bunyi diftong ai, lidah berkeadaan sebagaimana membunyikan vokal “a”, dan secara cepat geluncurkan lidah ke arah membunyikan vokal “i” pula. Demikian juga halnya cara membunyikan diftong au, dan oi. Kedudukan lidah pada keadaan membunyikan vokal yang pertama, lalu dengan pantasnya lidah digeluncurkan ke arah membunyikan vokal yang kedua pula.

Berdasarkan penelitian terhadap kamus, diftong ai merupakan yang paling banyak digunakan dalam pembentukan kata bahasa Melayu. Antara contohnya:

Aidilfitri baiduri meterai

Aidiladha syaitan landai

aising zaitun tapai

Harus diingat, bunyi diftong ai berlainan sekali dengan bunyi “ai” dalam perkataan-perkataan seperti dimulai, disukai, dihargai, memurkai, mengurniai, dan menganiayai. Vokal ai dalam kesemua perkataan tersebut merupakan vokal rangkap. Huruf vokal “i” dalam gandingan “ai” itu ialah akhiran “i”. Oleh itu, gugus “ai” dalam suku kata akhir perkataan-perkataan tersebut bukanlah diftong ai.

Contoh perkataan bahasa Melayu yang mengandungi diftong au, dan oi ialah:

aurat saujana lampau

autograf maujud imbau

auditorium tauliah kemarau

kaloi boikot tampoi

ngongoi konvoi sekoi

Apakah pula vokal rangkap? Dalam bahasa Melayu, ada deretan vokal yang menyamai diftong, iaitu deretan vokal ai, au dan oi seperti dalam perkataan air, aur, ajaib, daun, mulai, gaun, dan eksploit. Namun, jelas bahawa ai, au dan oi bukan satu bunyi yang tunggal; dan oleh itu bukan diftong. Kedua-dua vokal itu dapat berdiri sendiri secara terasing. Hal ini dapat diperhatikan apabila kita pecahkan perkataan-perkataan itu menjadi suku kata, iaitu:

a.ir a.ur a.ja.ib da.un ...dan seterusnya.

Sebagai kesimpulannya, deretan vokal itu ialah kewujudan dua bunyi vokal secara berurutan dalam perkataan, dan kedua-dua vokal itu terpisah dalam suku kata yang berlainan. Deretan vokal itu dinamai huruf vokal rangkap.

Selain tiga bentuk deretan vokal rangkap itu, ada lagi vokal rangkap yang lain yang wujud dalam perkataan bahasa Melayu asli, atau perkataan-perkataan serapan daripada bahasa Arab, bahasa Inggeris dan bahasa Sanskrit yang sudah menjadi kosa kata bahasa Melayu. Beberapa banyak contoh perkataan yang mengandungi vokal-vokal rangkap yang berkenaan adalah seperti yang berikut:

ai: aiskrim cair ghaib sains

au: taun maung kedaung pepauh

oi: koir heroin eksploit eksploitasi

ia: biara piagam sia-sia pianggang

io: ion biola antibiotik Zionis

iu: cium kiub siuman piutang

ua: buai buapak dualisme kuarantin

ui: juita puisi tuil suis

ea: bea gear teater reaktor

eo: neon video geometri ideologi

eu: neurologi neutral neutron reumatik

Begitulah huraian tentang huruf diftong dan vokal rangkap yang terdapat dalam perkataan-perkataan bahasa Melayu. Dengan mengenal bentuk huruf ini maka dapatlah kita membunyikan perkataan itu dengan betul lagi tepat.

Tanda Sempang, Tanda Pisah






Penggunaan tanda baca dalam penulisan, terutama bentuk penulisan naratif amatlah penting. Tanpa tanda baca atau kesalahan penggunaan tanda baca pada tempat yang perlu dan sesuai menyebabkan berlakunya kesalahan bahasa. Kesalahan yang berpunca daripada tanda baca ini boleh mengubah keseluruhan makna ayat.

Tulisan pada kali ini akan menyentuh cara penggunaan dua tanda baca yang hampir serupa, iaitu tanda sempang dan tanda pisah. Tanda pisah disebut juga sebagai tanda sekat atau tanda sengkang. Penggunaan kedua-dua tanda baca ini tidaklah begitu tinggi kekerapannya seperti penggunaan tanda koma (,) dan tanda noktah (.).

Tanda sempang berbeza penggunaannya daripada tanda pisah (dash). Garis yang dibuat sebagai tanda sempang itu lebih pendek daripada garis yang dibuat sebagai tanda pisah. Dengan perbezaan kecil ini, maka cara penulisan atau penggunaan tanda ini juga berbeza.

Dalam penggunaan tanda sempang, tiada ruang diberikan di antara kata dengan tanda sempang itu. Misalnya, kata kura-kura. Perhatikan bahawa di antara vokal “a” dalam perkataan kura yang pertama dengan tanda sempang, dan huruf konsonan “k” dalam perkataan kura yang kedua, selepas tanda sempang itu tiada ruang diberikan. Tetapi dari segi penggunaan tanda pisah pula, di antara kata dengan tanda pisah – baik sebelum atau selepas tanda pisah itu – sedikit ruang yang diberikan, Misalnya: Januari – Jun bukan *Januari-Jun.

Perhatikan perbezaan pada garis untuk tanda sempang dan tanda pisah, serta penggunaan kedua-dua tanda baca tersebut dalam ayat contoh yang berikut:

Beribu-ribu penonton – lelaki dan perempuan, tua dan muda – menyaksikan perasmian pembukaan bangunan baru itu oleh Perdana Menteri.

Sekarang, marilah kita lihat fungsi tanda sempang dan tanda pisah ini dalam penulisan.

Tanda sempang digunakan untuk menunjukkan kata ganda (termasuk penulisan kata ganda dalam ejaan Jawi). Contohnya: budak-budak, adik-beradik dan lintang-pukang. Fungsi tanda sempang yang kedua ialah tanda itu digunakan untuk menunjukkan atau menegaskan ejaan sesuatu perkataan. Contoh:

s-e-y-o-g-i-a bukan s-a-y-u-g-i-a

l-a-n-c-o-n-g dan l-a-n-c-u-n-g mempunyai makna yang berlainan

k-e-r-u-h maksudnya tidak jernih, k-e-r-o-h pula ertinya curang

Dalam penulisan dialog, tanda sempang boleh digunakan untuk menunjukkan pertuturan yang tidak lancar. Contohnya:

“Bu-bu-bukan saya yang melakukannya, tu-tuan,” katanya dengan gagap.

Fungsi ketiga tanda sempang adalah untuk tujuan memisahkan deretan angka yang berbeza fungsi. Contohnya:

O3-2148214, dan 013-2137540 (nombor telefon)

570831-10-5209 (tarikh lahir)

060 00930921 52-5 (nombor akaun bank)

983-41469-5-7 (International Standard Book Number – ISBN)

Merangkaikan kata dasar yang dipendekkan untuk menyatakan sifat sesuatu bangsa ialah fungsi tanda sempang yang keempat. Contohnya: Indo-Belanda, Anglo-China.

Selain itu , tanda sempang digunakan untuk memenuhi fungsi memisahkan angka daripada huruf; dan memisahkan huruf kecil daripada huruf besar. Contohnya:

ke-7, 1960-an

hamba-Mu, anti-Amerika

Dalam pada itu, tanda sempang perlu digunakan untuk memisahkan kata-kata yang tidak dapat ditulis selengkapnya oleh sebab ketiadaan ruang. Contohnya:

(a) ...pendengaran-

nya...

(b) ...sayur-

sayuran

Seperti juga tanda sempang, tanda pisah memenuhi beberapa fungsi tertentu. Pertama, tanda ini memisahkan keterangan bagi sesuatu idea atau satu siri idea sama ada di bahagian tengah ayat atau di bahagian akhir ayat. Contohnya:

(a) Segala impian – wang, nama dan kuasa – kini, musnah akibat

perbuatannya sendiri.

Tanda pisah juga digunakan untuk menyisipkan kata, frasa, klausa dalam ayat bagi menunjukkan aliran fikiran penulis yang berubah-ubah, terganggu, atau terhenti. Contohnya:

Semasa saya meninggalkan syarikat itu – hampir 15 tahun saya di sana – jawatan terakhir saya ialah sebagai pengurus.

Akhir sekali tanda pisah digunakan sebagai pengganti kata hubung “hingga”. Contohnya:

Jun – Disember

Tahun 2000 – 2005

Demikian huraian tentang penggunaan tanda sempang dan tanda pisah dalam penulisan.

Cekup, Cekut ???




Cara memasukkan makanan ke dalam mulut berbeza antara bangsa di negara kita ini. Ada yang menggunakan alat tertentu, dan banyak pula yang tidak menggunakan alat. Orang Melayu, orang India memasukkan makanan ruji mereka ke dalam mulut dengan menggunakan tangan tanpa alat. Orang Cina menggunakan batang sepit yang diperbuat daripada kayu, buluh atau plastik. Para pelancong, khususnya mereka yang dari Barat, seperti orang Inggeris menggunakan sudu dan garpu.

Dalam sesuatu majlis makan yang bersifat rasmi, hadirin daripada kalangan orang Melayu, Cina dan India, lazimnya menggunakan sudu dan garpu. Penggunaan alat ini dikatakan rasmi dan menurut protokol ketika makan.

Sejak dahulu lagi, cara orang Melayu makan menggunakan tangan kanan. Tentulah agak ganjil atau dikatakan kurang manis sekiranya tangan kiri digunakan. Sudu digunakan oleh orang Melayu apabila mereka makan bubur, makan emping padi, sensagun, atau menyuapkan makanan ke mulut bayi.

Jari-jari tangan berperanan membentuk kuncupan untuk menggenggam makanan yang diambil. Bentuk atau saiz genggaman ini pula bergantung pada jenis, bentuk dan kuantiti makanan itu. Kerana bentuk-bentuk yang dikatakan itulah lahirnya beberapa istilah bagi menggambarkan cara makanan itu diambil.

Jika kita mengambil sesuatu makanan dengan hujung jari sahaja, seperti mengambil sedikit garam, sedikit kelapa parut maka dikatakan cekup. Di sesetengah daerah, kata cekup tidak digunakan, dan sebaliknya istilah cekut dan jemput menjadi gantian. Perbuatan cekut ini dapat kita lihat apabila seorang ibu yang mengambil secekut nasi lalu disuapkannya ke dalam mulutnya atau mulut anak kecilnya.

Orang lelaki dewasa yang menghisap rokok menggunakan paip akan mengambil sejemput tembakau kemudian dimasukkannya ke dalam dapur (lubang) di bahagian kepala paipnya. Demikian jua halnya orang perempuan yang menggoreng kuih jemput-jemput. Perempuan ini menggunakan hujung jari bagi menjemput adunan, lalu memasukkannya sejemput demi sejemput ke dalam kuali. Berdasarkan perbuatan inilah maka kuih tersebut dinamai jemput-jemput.

Perbuatan yang hampir serupa dengan maksud cekup, cekut dan jemput ialah cubit. Nama lain yang bersinonim dengan cubit ialah sepit, dan jepit. Mencubit (seperti mencubit pipi) bermaksud menjepit sesuatu dengan menggunakan hujung ibu jari dan hujung jari telunjuk (atau hujung jari-jari yang lain). Jika mengambil sedikit makanan dengan menggunakan kaedah ini dinamai mencubit juga. Makanan tradisi seperti lempeng dicubit secubit demi secubit lalu disuapkan ke dalam mulut. Cara makan begini menunjukkan betapa tertibnya seseorang itu makan.

Orang Melayu tidak akan menggenggam atau mengepal makanan lempeng tadi atau makanan-makanan lain seumpamanya untuk dimakan. Jika ada yang berbuat begitu maka gelojohlah namanya. Cara makan seperti ini dikatakan tidak sopan, atau lebih kesat lagi dikatakan pelahap.

Ada pihak yang tertentu menganggap bahawa cekut dan cubit sama maknanya. Persamaan mungkin terletak pada kuantiti makanan yang diambil melalui kedua-dua cara ini. Ketidaksamaan pula terletak pada penggunaan jari tangan yang melakukan perbuatan cekut dan cubit itu. Orang yang melakukan perbuatan mencekut akan menggunakan hujung-hujung jari yang dikatupkan. Tetapi orang yang mencubit menggunakan ibu jari dan jari telunjuk, atau jari-jari yang lain menyepit makanan yang dicubit itu, tanpa menggunakan kesemua hujung jari.

Bila pula kita menggenggam makanan? Genggam bermaksud memegang makanan seperti keadaan mencengkam. Makanan itu ditutup oleh jari-jari tangan dengan rapat di atas tapak tangan. Orang Melayu, malah orang lain juga, tidak menggenggam nasi yang hendak dimakan, kerana sukar nanti menyuapkannya ke dalam mulut. Nasi yang digenggam itu terlalu banyak kuantitinya, maka sukar pula memasukkannya ke dalam mulut. Nasi itu dijemput dengan jari-jari sejemput demi sejemput.

Namun, ada ketika-ketika tertentu, kita memadatkan nasi, ubi atau sagu yang diparut, dan bahan-bahan mentah lain seumpamanya untuk membentukkannya menjadi bulat bergumpal; kemudian dimasak atau digoreng. Perbuatan menggumpal bahan ini dinamai mengepal. Air batu yang diparut halus juga dikepal hingga padat dengan tangan untuk dijadikan air batu kepal.

Makanan seperti tebu yang tidak dipotong kecil-kecil menurut ruasnya, harus dipegang agar mudah kita menguliti kulitnya yang keras itu dengan gigi. Perbuatan begini dinamai mengunggis atau mengerumit.

Begitulah huraian ringkas tentang beberapa cara kita mengambil makanan. Cara-cara tersebut, sesungguhnya, bergantung pada jenis, bentuk, serta kuantiti makanan yang diambil itu. Semua faktor itu menentukan kita mencekut, mencubit atau mengunggis makan itu.

Prafrasa dan parafrasa

Dalam ilmu tatabahasa terdapat dua istilah yang seakan-akan sama bentuk dan bunyinya, iaitu prafrasa dan parafrasa, walhal begitu jauh beza maknanya. Apakah maksud kedua-dua istilah ini?

Kata prafrasa merupakan istilah tatabahasa dalam bidang morfologi, yakni dalam aspek golongan kata tugas. Kata tugas termasuk sebagai salah satu empat golongan kata utama bahasa Melayu. Tiga golongan kata yang lain itu ialah kata nama, kata kerja, dan kata adjektif.

Pra ialah bentuk awalan daripada bahasa Sanskrit. Maksud pra dari segi bahasa ialah sebelum atau syarat kepada sesuatu yang mengikutinya. Perkataan prasekolah bermaksud sebelum memasuki sekolah (sekolahan dasar), dan prasiswazah bermakna sebelum lulus sebagai siswazah.

Namun, tidak setiap perkataan yang didahului di hadapannya dengan pra membawa maksud sebelum atau syarat kepada sesuatu yang mengikutinya. Misalnya, kata prasarana bermaksud keseluruhan kemudahan dan perkhidmatan seperti kemudahan pengangkutan dan perhubungan, bekalan elektrik, air yang perlu bagi pembangunan, dan prasetia bermaksud niat atau janji yang teguh.

Dalam golongan kata tugas, kata prafrasa merupakan kata yang agak besar jumlahnya, dan kerap pula menimbulkan masalah kepada pengguna bahasa Melayu. Kata prafrasa ialah sejumlah perkataan yang terletak di hadapan frasa, iaitu sama ada frasa nama, frasa kerja, atau frasa adjektif. Kata prafrasa ini mendukung tugas-tugas seperti maksud yang terkandung dalam ayat, yakni tugas membantu, menguatkan, menegaskan, menafikan, memerikan, menyendikan, membilang, dan lain-lain

Berdasarkan tugas-tugas ini, maka kata prafrasa mengandungi sembilan subjenis, iaitu kata bantu (telah, masih, harus), kata penguat (paling, nian, sangat), kata penegas (-kah, -tah, juga), kata sendi nama (daripada, antara, seperti), kata arah (atas, segi, samping), kata bilangan (dua, segala, setiap), dan kata adverba (selalu, begitu, demikian).

Yang berikut dipaparkan satu contoh penggunaan setiap jenis kata prafrasa:

1. Pekerja itu telah pulang. (kata bantu aspek)

2. Masakan isteri saya paling sedap. (kata penguat)

3. Anak siapakah yang menangis ini? (kata tanya)

4. Ayah tidak ke pejabat pagi tadi. (kata nafi)

5. Senaman ringan adalah baik untuk kesihatan. (kata pemeri)

6. Pengawal keselamatan itu berjaga hingga pagi. (kata sendi)

7. Para pemain berlatih di tengah padang. (kata arah)

8. Ibu membubuh sedikit garam ke dalam masakannya. (kata bilangan)

9. Kami selalu memperkatakan hal itu. (kata adverba)

Kata parafrasa termasuk dalam bidang sintaksis, yakni yang berkaitan dengan pembentukan ayat. Parafrasa bermaksud pengungkapan semula kandungan sesuatu tulisan (ayat) dengan menggunakan kata-kata lain tanpa mengubah makna atau maksud ayat asal. Dengan pengertian yang lain bahawa dua atau lebih ayat dianggap berparafrasa apabila ayat-ayat tersebut mengandungi pengertian, atau memberikan penerangan yang sama, walaupun ayat-ayat yang berkenaan mempunyai struktur dan aturan kata yang berbeza daripada struktur asal, seperti ayat-ayat yang berikut:

10. (a) Haji Aziz mengecat rumahnya itu.

(b) Rumahnya itu dicat oleh Haji Aziz.

11. (a) Engku Aiman ke Melaka setiap hari.

(b) Ke Melaka Engku Aiman setiap hari.

(c) Setiap hari, Engku Aiman ke Melaka.

Jika dilihat dari segi binaannya, kedua-dua ayat 10 (a) dan 10 (b) membawa penegasan yang berlainan kerana ayat (a) memberikan penegasan kepada Haji Aziz, manakala dalam ayat (b) penegasannya pada rumahnya. Ayat 10 (a) ayat aktif transitif, manakala ayat 10 (b) ialah ayat pasif. Tetapi oleh sebab kedua-dua ayat tersebut memberikan penerangan yang sama, maka ayat-ayat ini dikatakan berparafrasa.

Demikian juga halnya dengan ayat 11 (a), 11 (b), dan 11 (c). Ayat 11 (a) menjudulkan Engku Aiman; ayat 11 (b) memberikan penekanan kepada frasa sendi nama ke Melaka; dan ayat 11 (c) menonjolkan frasa keterangan (adverba) setiap hari sebagai penegasan. Kendatipun unsur-unsur ayat berkenaan berbeza letaknya dalam ayat, namun pengertian yang tersirat dalamnya tetap sama, iaitu mengisahkan bahawa Engku Aiman ke Melaka setiap hari. Ketiga-tiga ayat contoh tersebut itu ayat tunggal yang di songsangkan unsur predikatnya.

Begitulah penerangan tentang prafrasa dan parafrasa dalam bahasa Melayu.

Frasa Adverba

Sejak bertambah subjenis kata tugas, iaitu kata adverba timbul pendapat yang mengatakan wujud pula permasalahan bahasa yang baharu. Huraian kata adverba bahasa Melayu terkandung dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga terbitan tahun 2008.

Adakah pendapat ini benar? Untuk menjawab persoalan ini, moleklah kiranya difahami tentang kata adverba itu.

Kata adverba ialah perkataan yang menerangkan kata kerja, kata adjektif, kata nama, dan frasa sendi nama dari aspek cara, masa dan tempat. Contoh penggunaannya dalam ayat adalah seperti yang berikut:

1. Pengetua sering kali menasihati kami.

2. Keluarga kami akan datang hari esok.

3. Pak Limat sihat sentiasa.

4. Encik Lim kadang-kadang ke bandar raya.

Sering kali, esok, sentiasa, dan kadang-kadang dalam ayat 1 – 4 tergolong dalam kata adverba jati. (Dalam bahasa Melayu, ada empat golongan kata adverba, iaitu adverba jati, adverba yang asalnya daripada kata kerja, adverba yang asalnya daripada kata adjektif, dan adverba ganda). Kata adverba sering kali menerangkan kata kerja “menasihati”, esok menerangkan kata nama “hari”, sentiasa menerangkan kata adjektif “sihat”, dan kadang-kadang menerangkan frasa sendi nama “ke bandar raya”.

Kita begitu mudah mengenal pasti pembahagian binaan subjek dan predikat ayat seperti pemenggalan yang berikut ini:

1. Pengetua / sering kali menasihati kami.

2. Keluarga kami / datang hari esok.

3. Pak Limat / sihat sentiasa.

4. Encik Lim / kadang-kadang ke bandar raya.

Subjek ayat 1, 2, 3 dan 4 ialah “Pengetua”, “Keluarga kami”, “Pak Limat”, dan “Encik Lim”; manakala predikat keempat-empat ayat itu pula ialah “sering kali menasihati kami”, “datang hari esok”, “sihat sentiasa”, dan “kadang-kadang ke bandar raya”. Keempat-empat ayat contoh yang tersebut itu mempunyai pola ayat dasar FN + FK (ayat 1), FN + FK (ayat 2), FN + FA (ayat 3) dan FN + FSN (ayat 4).

Kata adverba tidak dianggap sebagai golongan kata utama bahasa Melayu, kerana tidak boleh menjadi unsur inti kepada konstituen frasa predikat, seperti halnya dengan kata nama, kata kerja, dan kata adjektif. Kata ini hanya berfungsi sebagai keterangan. Oleh hal yang demikian itu, tidak wujud frasa adverba (F Adv) sebagai frasa utama binaan ayat bahasa Melayu. Frasa utama yang ada hanyalah FN, FK, FA dan FSN, dan semua frasa ini dapat menjadi unsur inti kepada konstituen frasa predikat.

Jadi, bagaimana pula tentang hal kegramatisan ayat-ayat contoh yang berikut ini, yang sering kita dengar dituturkan atau ditulis:

5. Perkahwinannya / esok.

6. Tingkah lakunya / begitu.

7. Hal ini / demikian.

Predikat ayat 5 – 7 terdiri daripada kata adverba esok, begitu, dan demikian. Ketiga-tiga ayat yang tersebut itu, seolah-olah beracuan pola *FN + F Adverba yang tidak ada dalam pola ayat dasar bahasa Melayu, selain empat pola yang telah dihuraikan tadi. Oleh sebab tidak ada pola FN + F Adverba, maka pastilah ayat-ayat 5 – 7 itu salah tatabahasanya, kerana mana mungkin kata adverba dapat berfungsi sebagai predikat.

Sebenarnya, ayat-ayat tersebut, yang kelihatan mengandungi kata adverba yang berfungsi sebagai predikat, merupakan ayat minimal. Ayat minimal bermaksud ayat yang ada bahagiannya telah digugurkan kerana dipengaruhi oleh bahasa lisan atau bahasa basahan.

Ayat penuh bagi ayat-ayat minimal di atas adalah seperti dalam 5 (a) – 7 (a) yang berikut:

5. (a) Perkahwinannya / pada hari esok.

6. (a) Tingkah lakunya / secara begitu.

7. (a) Hal ini / secara demikian.

Dalam ayat penuh 5 (a) kata adverba esok menerangkan frasa sendi nama “pada hari”, dalam ayat penuh 6 (a) kata adverba begitu menerangkan frasa nama “secara” dan dalam ayat penuh 7 (a) kata adverba demikian menerangkan frasa nama “secara”, yang menunjukkan bahawa kata adverba sahaja tidak boleh menjadi unsur inti bagi predikat melainkan didahului oleh sesuatu frasa utama.

Sehubungan dengan itu, ayat majmuk keterangan yang sering kita gunakan seperti “Hal ini demikian kerana ...” menjadi tidak baku kerana kata adverba demikian menjadi inti predikat sebagai frasa adverba. Oleh yang demikian, ayat penuhnya haruslah berbunyi atau ditulis sebagai “Hal ini secara demikian kerana ...”, baharulah ayat ini kelihatan baku (gramatis), yakni tidak terpengaruh oleh sebarang bentuk bahasa lisan (tidak baku).

Jelaslah bahawa kegramatisan ayat terletak pada kesempurnaan binaan ayat yang mengandungi unsur-unsur yang wajar ada pada setiap binaan ayat. Dengan hal yang demikian baharulah kepersisan sesuatu ayat terpelihara.

Demikian huraian bahawa tidak wujud frasa adverba dalam binaan predikat ayat bahasa Melayu. Semoga huraian ringkas ini dapat menyelesaikan masalah bahasa yang berkaitan dengan kata adverba bahasa Melayu.